Jenazah Allahyarham Azlan Yahya, 47, ditemukan oleh sepasukan anggota kira-kira pukul 10.50 pagi semalam sebelum ke Kem Pacat pukul 5 petang dan tiba di kaki gunung pukul 6.05 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pasukan penyelamat berdepan cabaran membawa turun mangsa berikutan keadaan laluan yang licin dan curam antara 80 hingga 90 darjah serta persekitaran hutan tebal.

Menurutnya, cuaca hujan sejak beberapa hari lalu menambahkan lagi kesukaran apabila laluan menjadi berair menyebabkan membataskan pergerakan, selain keadaan fizikal anggota itu keletihan berikutan sudah mula bertugas sejak operasi dimulakan pada Sabtu lalu.

“Keadaan fizikal mangsa yang kira-kira lebih 100 kilogram juga menguji kecekalan semua yang terbabit dalam operasi itu. Walau bagaimanapun, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki gunung.

“Pasukan penyelamat bersama mangsa tiba di kaki gunung dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda pada 6.05 minit dan mangsa diserahkan untuk pengesahan Kementerian Kesihatan pada pukul 6.15 pagi. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.35 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.