Menurut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 36, ia termasuk tidak melengkapkan promosi produk tersebut sebanyak sembilan kali catatan di laman Instagram dan mengadakan lima kali penampilan awam.

Pelakon utama drama Gol & Gincu itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman oleh pemilik Maydan Trading, Narhamdan Abd. Malek selaku plaintif terhadapnya dan Universal Music yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

“Saya tidak melengkapkan perkara itu atas arahan defendan kedua kerana plaintif telah menghantar notis tuntutan bertarikh 20 Oktober 2017 yang mana menurut defendan kedua, melalui notis tersebut, plaintif telah membatalkan dan menolak perjanjian di antara mereka.

“Saya sentiasa bersedia jika diarahkan oleh defendan kedua untuk melaksanakan sembilan catatan di Instagram dan lima penampilan awam kerana saya masih mempunyai tiga hingga empat bulan tempoh masa sebelum perjanjian tamat,” katanya.

Fazura berkata, beliau mengetahui tentang Maydan Trading melalui pengurus peribadinya, Iman Tang.

“Saya tidak terlibat dalam perbincangan mengenai terma serta syarat dalam perjanjian ini. Malah, ia ditandatangani antara plaintif dengan defendan kedua dan saya hanya menjalankan tugas saya sebagaimana arahan yang diberikan oleh defendan kedua,” katanya yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan.

Narhamdan sebagai pemilik dan menjual produk kesihatan atas nama dagang Maydan yang salah satu produknya adalah Q-Tab telah memfailkan saman tersebut pada 16 Disember 2017.

Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura bagi memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram miliknya membabitkan 12 catatan (postings).

Sementara itu, defendan pertama dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa beliau ada memasuki sebarang perjanjian dengan plaintif selain menegaskan bahawa Iman Tang bukan ejen atau wakilnya sebaliknya hanya pengurus.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Firuz Jaffril bersambung 6 Mei ini.