Pendakwaan secara in absentia itu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki warga Great Britain itu yang dikatakan telah melarikan diri ke luar negara selepas kekalahan bekas Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mengikut pertuduhan, Stadlen didakwa telah mengarahkan pembayaran melalui 27 transaksi membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM8,111,322.43 dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada beberapa individu dan syarikat di antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki berkenaan didakwa mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6, 139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Sementara itu, menurut kenyataan SPRM seorang peguam berpangkat Datuk telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, hari ini.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.25 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Peguam terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok. - UTUSAN ONLINE