Difahamkan, kegiatan tiga individu tempatan berusia antara 30 hingga 48 tahun itu disedari orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak polis yang kemudiannya menemukan dua komponen digunakan untuk mencuri nombor pin serta mengimbas kad ATM di mesin tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, beberapa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang menemukan komponen tersebut terus membuat tangkapan terhadap tiga suspek yang berada berdekatan dengan mesin ATM berkenaan.

“Hasil pemeriksaan anggota tersebut dengan bantuan beberapa anggota URB dan seorang awam telah menemukan satu unit benda asing yang mencurigakan dilekatkan pada ruangan atas papan kekunci mesin ATM dan satu lagi pada ruangan masuk kad ATM.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat tersebut adalah komponen pengimbas kad kredit dan debit serta alat perakam video,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Shaharuddin, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Dang Wangi untuk disoal siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ekoran daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebooknya membuat hantaran di link https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/videos/1562568117221511/ tentang cara mengenal pasti mesin ATM yang telah dicerobohi penggodam.

Dalam video berdurasi satu minit 34 saat itu, pengguna diminta memeriksa papan kekunci serta ruangan masuk kad ATM dengan menarik keluar komponen tersebut, sekiranya mudah tertanggal, orang ramai diminta membuat laporan polis secepat mungkin dan elakkan daripada membuat sebarang transaksi.