Adakah pemiliknya terlalu berani atau mereka ini dilin­dungi oleh pihak tertentu walaupun penangkapan telah dilakukan?

Di mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya mengambil tindakan tegas de­ngan menyita pusat-pusat urut ini dan menarik serta merta le­sen perniagaan mereka?

Mungkinkah pusat urut yang diserbu itu hanya ditutup ketika serbuan dan beroperasi semula berapa jam kemudian atau keesokan harinya?

Pusat urut tersebut di­serbu Jabatan Imigresen pada Sabtu lalu dan kelmarin pula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap 14 orang yang bersekongkol, termasuk tujuh penjawat awam yang disyaki menerima wang sogokan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat urut haram terlibat hari ini mendapati premis berkenaan beroperasi seperti tiada apa yang berlaku terhadapnya.

Mereka juga masih menawarkan perkhid­matan urut dan akti­viti persun­da­lan de­ngan harga biasa iaitu RM160 per jam.

Sementara itu, sumber memberitahu, ada kemungkinan pusat urut yang baru diserbu kembali beroperasi seperti biasa kerana mereka mempunyai pekerja tambahan bagi menggantikan yang telah ditahan pihak berkuasa.

Ujarnya, pusat urut berkenaan mungkin kembali aktif kerana pemotongan bekalan elek­trik dan air tidak dilaksanakan, lesen tidak ditarik, pengusaha tidak disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa tempatan dan dilindungi penguat kuasa yang belum ditangkap.

“Sukar untuk memberkas penguat kuasa gelap mata ini, ada yang beli aset tetapi sukar dibuktikan dari mana wang tersebut diperoleh kerana kutipan setiap bulan tidak tetap,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi memberitahu siasatan lanjut ke atas tangkapan masih berjalan.