Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima 395 laporan polis dari seluruh negara ekoran status menghina nabi yang dimuat naik di akaun Facebook bernama Foo Sing Wai.

“Lelaki berusia 68 tahun itu kini disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai juga dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi.

Jelasnya, bentuk provokasi itu melibatkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman hingga boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood mengesahkan suspek telah ditahan di rumahnya di Mentakab, Termerloh, Pahang kira-kira pukul 11.30 pagi. - UTUSAN ONLINE