Namun, tidak ramai mengetahui Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid adalah antara individu yang bertanggungjawab di sebalik penubuhan pasukan berprestij itu pada 1995.

Beliau dan rakan-rakan seperjuangan lain terlibat dalam merangka spesifikasi teknikal, perancangan perolehan jentera serta membuat garis panduan tatacara pengurusan insiden serta bencana pasukan khas tersebut.

Mohammad Hamdan, 56, ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini memberitahu, idea penubuhan pasukan Hazmat tercetus apabila beliau menjadi pegawai JBPM pertama menghadiri kursus Hazmat di Fire Service College di Gloucestershire, England pada 1992.

“Ini kerana di negara maju, kejadian kebocoran dan kebakaran melibatkan bahan berbahaya adalah di bawah tanggungjawab pihak bomba. Jadi kita telah mengadakan perbincangan dengan beberapa negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, Finland, Sweden dan Jepun.

“Hasilnya, kita hantar beberapa kumpulan yang terdiri daripada 12 pegawai berkursus di Sweden dan England untuk mempelajari cara-cara pengurusan Hazmat,” katanya.

Lebih menarik, anak ketujuh daripada lapan beradik itu merupakan antara pegawai yang menyumbang dalam penubuhan Unit Udara Bomba dan Penyelamat Malaysia apabila beliau bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah merancang dan merangka pengoperasian perkhidmatan kebombaan melalui udara.

Mengulas lanjut beliau berkata, ini juga termasuk perolehan dua pesawat helikopter Rusia jenis Mi-17 bagi memantapkan tugas-tugas kebombaan untuk mencari dan menyelamat.

“Pada 1998, sehari sebelum Sukan Komanwel, negara telah menerima dua pesawat terbabit bagi memulakan operasi pasukan Unit Udara JBPM.

“Ketika dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan pada tahun 2000, sebanyak 120 balai baharu serta pembinaan semula kemudahan fizikal kebombaan, makmal siasatan kebakaran, pusat Pangkalan Operasi Unit Udara Bomba dan Pusat Kejuruteraan Mekanikal Bomba telah dibina bagi memenuhi standard antarabangsa kebombaan seiring dengan transformasi perkhidmatan kebombaan negara,” ujarnya.

Selain itu, pada 1998, Mohammad Hamdan bersama pegawai-pegawai dari pelbagai agensi terlibat dalam rancangan pembinaan akademi bomba terbesar di ASEAN di Wakaf Tapai, Terengganu yang kini menjadi pusat kecemerlangan latihan operasi dan taktikal kebombaan di rantau ini.

Malah, beliau turut mempelopori penubuhan Bank Helon Malaysia yang bertanggungjawab dalam urusan mendaftar, mengumpul serta menapis bahan helon seperti klorofluorokarbon (CFC) bagi kegunaan strategik.

Op Jerebu angkat nama JBPM

MENGETUAI operasi memadam kebakaran serta menyelamat mangsa dalam beberapa insiden bencana besar dalam dan luar negara antara pengalaman Mohammad Hamdan melibatkan operasi-operasi besar. Antaranya kebakaran di Mahkamah Tinggi di Bangunan Sultan Abdul Samad, kebakaran di bangunan logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kebakaran kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh dan letupan kapal Choon Hong di Pelabuhan Klang serta runtuhan Kondominium Highland Tower di Hulu Kelang pada 11 Disember 1993.

Menceritakan pengalaman itu, Mohammad Hamdan yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengarah Operasi Kuala Lumpur berkata, itu merupakan salah satu operasi menyelamat yang agak sukar pada ketika itu kerana pertama kali berlaku di negara ini.

Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, beliau amat terkejut melihat keadaan salah sebuah blok kondominium elit itu yang rebah ke bumi dengan keadaan lokasi sangat senyap.

“Tiba-tiba kami terdengar bayi menangis dan operasi menyelamat terus dilakukan bagi mencari bunyi tangisan. Akhirnya bayi serta ibunya yang merupakan pembantu rumah kepada satu keluarga di kediaman tersebut ditemukan serta diselamatkan menggunakan tangga.

“Difahamkan, sebelum kejadian, apabila bangunan itu hendak rebah, mangsa-mangsa berlari ke tangga bagi menyelamatkan diri dan di situlah mangsa dipercayai mati akibat tertindih. Jadi ada yang kita jumpa mayatnya tidak sempurna. Organ, tangan, jari dan sebagainya kita kutip serta serahkan kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu menurut beliau, selama 11 hari di lokasi kejadian, proses mencari dan menyelamat agak mencabar kerana kekurangan peralatan yang canggih berbanding negara-negara lain.

Jelasnya lagi, operasi mencari dan menyelamat memerlukan penggunaan kamera, alat pengesan bunyi serta anjing pengesan sehingga dibantu pasukan bomba dari beberapa negara luar seperti Jepun, Perancis dan Singapura.

“Yang menariknya, Perancis membawa anjing pengesan dari Paris, namun apabila tiba di negara ini anjing tersebut selesema akibat perubahan cuaca. Malah anjing itu tidak biasa bau-bau pelik seperti cencaluk, belacan serta sebagainya sehingga demam.

“Di sinilah bermulanya titik tolak penubuhan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau SMART yang ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan jemaah menteri serta Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujarnya.

Mohammad Hamdan yang menyertai pasukan bomba sejak 1988 turut menceritakan pengalaman beliau semasa mengetuai Op Jerebu bersama 1,200 pegawai dan anggota bomba memadamkan kebakaran tanah gambut di Sumatera, Indonesia pada September 1997.

Menceritakan lebih lanjut, beliau yang ketika itu selaku Komander Operasi menerima arahan mengejut kira-kira 48 jam untuk berangkat dari Pelabuhan Klang ke Dumai serta bertugas di sana selama 30 hari kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan negara terjejas teruk sehingga diisytiharkan darurat.

Katanya lagi, pasukannya membawa kira-kira 200 tan bahan peralatan serta logistik, kenderaan serta bahan makanan kerana mereka tidak dimaklumkan bagaimana topografi di sana.

“Kesemua 1,200 anggota ditugaskan kepada 17 pos bagi memadamkan kebakaran di 2,000 lokasi di seluruh Sumatera dan saya perlu merancang serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

“Malah, kami turut digelar sebagai Wira Negara sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadikan JBPM petunjuk aras dalam melatih dan mengkoordinasi pengurusan bencana kebakaran hutan di rantau ASEAN,” ujarnya.

Pelbagai penambahbaikan perlu diteliti

HAMPIR setahun mengemudi JBPM, Mohammad Hamdan tidak menjangka menempuh pelbagai peristiwa duka melibatkan anggota bomba termasuk kematian lapan anak buahnya ketika bertugas.

Menurut beliau, kehilangan enam Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA), anggota ERMS, Muhammad Adib Mohd. Kassim serta ‘raja’ ular, Abu Zarin Hussin amat mengejutkan seluruh pasukan penyelamat itu.

“Ini adalah cabaran yang besar kerana kesemua anggota berkenaan merupakan mereka yang berdedikasi, namun itu realiti yang terpaksa dihadapi.

“Siasatan dalaman dan bebas telah dilakukan, banyak perkara yang telah dipelajari seperti dari aspek persekitaran telah berubah, tempat yang berisiko rendah kini telah menjadi berisiko tinggi. Contohnya, anggota PPDA yang lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, mereka pernah menyelamatkan mangsa di lokasi yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut Mohammad Hamdan berkata, pihaknya mendapati pelbagai penambahbaikan perlu dilakukan seperti penilaian baik oleh komander, aspek peralatan dan teknologi yang cukup dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diteliti dari masa ke semasa.

Katanya, aspek kebajikan, perlindungan serta pampasan waris juga perlu diambil berat serta undang-undang dan penguatkuasaan yang teratur.

“Pada tahun lalu kita menerima panggilan kecemasan paling tinggi iaitu sebanyak 110,000 melibatkan kebakaran dan khidmat kemanusiaan,” ujarnya.