Cuma, sejak akhir-akhir ini, sering kedengaran kisah yang membabitkan penyalahgunaannya sama ada membabitkan kes di dalam dan luar negara.

Apa yang membimbangkan, penggunaan dron secara meluas telah mendatangkan ancaman, apatah lagi ‘mesin’ ini berkemampuan untuk diubah suai dan dijadikan sebagai mesin pembunuh.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang yang tidak pasti dari mana arah dan tujuannya baru-baru ini.

Kini, pelbagai persoalan timbul. Adakah ia milik awam yang tersasar atau milik pihak tertentu bagi tujuan pengintipan? Pencerobohan sebegini mengundang risiko kerana segala maklumat boleh diperoleh dengan lebih terperinci meliputi setiap sudut berbanding pengintipan menerusi sistem satelit.

Jika benar untuk pengintipan, ia ancaman serius dalam keadaan masa kini yang terdedah dengan aktiviti pengganas. Apa yang membimbangkan, dron mudah didapati dan boleh ditambah aksesori tambahan yang sudah cukup untuk memberi satu kesan dahsyat tanpa mengira sesiapa pun.

Terbaharu, Presiden Vanezeula, Nicolas Maduro sendiri hampir maut semasa berucap dalam majlis sambutan hari ulang tahun Venezuela National Guard akibat kumpulan penentang kerajaan yang digelar ‘Soldiers in T-Shirt’.

Ketika kejadian itu, ramai yang sedar dengan kehadiran dron terbabit dan menyangka ia digunakan untuk mengambil gambar, tetapi tanggapan itu silap. Dron yang digunakan sebenarnya membawa bahan peledak jenis C4 tetapi ia gagal meletup seperti yang dirancang.

Berdasarkan kapasiti dan kemampuan dron, alat ini sebenarnya mampu terbang jauh sehingga lebih tiga kilometer (km) dan boleh digunakan dalam jangka hayat lebih lama dengan menggunakan bateri tambahan.

Bebanan yang mampu ditanggung pula adalah sehingga 30 kilogram (kg). Sudah tentu dengan kemampuan yang ada, tugas boleh dilaksanakan dengan lebih efektif termasuk dalam aktiviti penyeludupan.

Bayangkan pula jika pengganas meletakkan senjata termasuk raifal berat dan bahan peledak sebagai sebahagian ciptaan senjata mereka?

Pelbagai persoalan timbul termasuk sejauh manakah persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani ancaman ini?

Mampukah serangan dipatahkan secepat mungkin jika dron lengkap bersenjata menyerang kepentingan strategik pertahanan termasuk kem atau pangkalan tentera?

Inilah antara persoalan utama yang harus diberikan perhatian pada setiap agensi keselamatan terutama dalam menghadapi ancaman ini.

Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengesan dan memusnahkan dron. Antaranya pemasangan jaring dan penggunaan radar yang dilengkapi kamera optik seperti ‘Electro-Optical InfraRed’ yang lebih baik berbanding penggunaan mata manusia.

Selain itu, kaedah lain termasuklah seperti menembak jatuh, pintasan elektronik dan serangan udara serta tembakan laser. Ada juga pihak industri pertahanan yang membangunkan sistem pengesanan baharu seperti pengesanan dengan menggunakan isyarat frekuensi radio.

Dron komersial menggunakan frekuensi tersebut, sekali gus membolehkan kedudukan dron dan pengendali dikesan serentak. Walau bagaimanapun, setiap daripada kaedah ini mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri.

Apa yang menyukarkan, teknologi dron juga semakin berkembang dengan reka bentuk dan spesifikasi terkini sehingga mampu beroperasi dengan lebih baik serta berkeupayaan kembali semula kepada pengendali walaupun terputus hubungan selepas mengalami gangguan.

Walau apa pun, salah satu cara terbaik dalam aspek mengawal penggunaan dron ini adalah melalui penggubalan undang-undang terutama dalam jangka masa panjang.

Walaupun Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menetapkan peraturan dan mengenakan tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab, ia masih tidak diendahkan.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan memulakan langkah yang lebih ketat termasuklah mewajibkan pendaftaran kepada setiap pemilik dron, menyediakan aspek latihan dan kursus keselamatan serta mempunyai pendaftaran sebagaimana yang dikenakan kepada pesawat atau helikopter.

Dengan itu, tahap penguatkuasaan dan keselamatan penggunaannya dapat dimaksimumkan supaya tidak salah guna terutama oleh pengganas.

UNDANG-UNDANG BERKENAAN DRON

  • Penggunaan dron termaktub bawah Civil Aviation Regulation 2016 (CAR 2016) atau Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 bawah Kaedah 140 hingga 144.
  • Bagi pengendali dron yang melanggar undang-undang, hukuman bawah Peraturan 206 (3)(a) atau 206 (3)(b) CAR 2016 boleh dikenakan iaitu individu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Syarikat yang didapati bersalah pula boleh didenda tidak lebih RM100,000.
  • Bagi dron yang digunakan untuk mengambil gambar atau merakam video, ia tertakluk Akta Rahsia Rasmi 1972 bawah Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2007 iaitu Pekeliling Arahan Keselamatan Terhadap Dokumen Geospatial Terperingkat.
  • Pengendali dron yang ingin menjalankan kerja mengambil gambar atau video dan kerja ukur perlulah memohon permit bagi menjalankan aktiviti.
  • Sekiranya pengendali dron melakukan kesalahan dengan mengambil gambar di kawasan larangan dan sensitif tanpa permit, pengendali boleh disabitkan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 bawah Seksyen 4 iaitu larangan mengambil atau membuat apa-apa suratan, ukuran, pemeruman atau kerja ukur mengenai atau dalam sesuatu kawasan larangan yang membolehkan hukuman iaitu dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun.
  • Pengguna yang menerbangkan dron di kawasan sensitif yang digazetkan, mereka boleh didakwa bawah Seksyen 7 iaitu larangan membawa perkakasan fotografi yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.