Uniknya, kumpulan tersebut bukan sahaja menyanyikan lagu-lagu yang didendangkan malah turut sama mengajak pengunjung menyanyi bersama.

Sentuhan Busker yang mempunyai lapan anggota dengan diketuai Muhammad Aizad Azman, 28, akan mengadakan persembahan di hadapan kompleks tersebut setiap hari bermula pukul 5 petang di Sogo dan 10 malam di Jalan Bukit Bintang.

Menurutnya, dia melakukan pekerjaan itu sejak 10 tahun dengan menghiburkan pengunjung yang berada di situ.

Tambahnya, sejak menceburi bidang itu imej penghibur jalanan kini dipandang lebih baik berbanding dahulu yang sering dikaitkan dengan masalah sosial masa kini.

“Orang ramai kini sudah memandang kami sebagai penghibur. Tanggapan kami membawa imej negatif sudah lama berlalu.

“Kami bukan sahaja menyanyi di hadapan pengunjung malah turut sama menyanyi sekali gus suasana seperti berada dalam konsert,” katanya kepada Utusan Online baru-baru ini.

Tambah Muhammad Aizad, menjadi penghibur jalanan bukan setakat bermain muzik dan menyanyi malah mereka memerhati realiti kehidupan golongan bawahan yang berjuang untuk hidup.

“Kami melayan pengunjung yang datang secara ikhlas kerana mereka mahu menonton persembahan kami juga dengan ikhlas tanpa paksaan,” ujarnya sambil memberitahu turut menerima tempahan bagi majlis rasmi dan makan malam.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi peluang kepada penghibur jalanan bermain muzik di sekitar ibu kota dan berharap supaya diperbanyakkan lagi tempat khas buat golongan itu.

Selain mengadakan persembahan di jalanan, dia memberitahu, kumpulan yang juga boleh membawakan lagu-lagu dari negara luar ini, turut menerima tempahan untuk majlis rasmi dan makan malam. - UTUSAN ONLINE