KUALA LUMPUR 2 NOVEMBER 2017 : Fotografi pelakon Alvin Chong di sini hari ini . GAMBAR : NOOR AZLINA JAAFAR . PEMBERITA : AL FAIZAL / S2

Alvin Chong, 26, antara nama yang disebut-sebut berjaya menarik perhatian peminat drama berbahasa Melayu dengan karisma dan kebolehan lakonan bersifat natural dan bersahaja.

Walaupun masih setahun jagung dalam industri, anak jati Pulau Pinang ini ‘laris’ di pasaran dengan tawaran lakonan dan nyanyian yang tidak putus-putus menghujani dirinya.

Selain rupa paras komersial, kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu membawa ‘tuah’ buat anak pertama daripada tiga beradik ini.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Alvin mengakui kelebihan itu membantu dirinya untuk menyerlah. Katanya, dia bersyukur kerana diterima baik peminat Melayu walaupun masih baharu membina nama dalam bidang lakonan.

“Saya bertuah kerana memiliki ramai kawan-kawan Melayu sejak kanak-kanak lagi. Keadaan itu sedikit sebanyak membantu saya mendalami dan bertutur dalam bahasa tersebut dengan baik.

“Kebolehan ini turut membawa rezeki apabila banyak stesen penyiaran dan syarikat produksi memberi keyakinan kepada saya untuk berlakon dalam drama berbahasa Melayu,” katanya.

Sebagai pendatang baharu, Alvin tidak mampu lari daripada kontroversi. Paling memeritkan apabila dia dikritik hebat dan dilabel mempersenda Islam oleh segelintir netizen apabila melakonkan watak sebagai individu mualaf dalam drama terbaru, Awak Suka Saya Tak yang ditayangkan di Astro Ria.

Disoal tentang itu, Alvin meluahkan sedikit kekecewaan atas situasi tersebut. Katanya, dia tidak langsung berniat untuk mempersenda Islam dan hanya memenuhi tuntutan karakter yang dibawanya.

“Saya kesal dengan sesetengah netizen yang menghukum saya kerana menyentuh al-Quran ketika melakonkan watak tersebut. Ingin dinyatakan bahawa sebelum berbuat demikian, saya telah mendapatkan nasihat rakan-rakan beragama Islam dan mengikut panduan yang telah diberikan.

“Segala kecaman dan kritikan tidak memberi apa-apa kesan kepada saya. Apa yang saya lakukan hanyalah semata-mata untuk menghidupkan watak dan tidak ada langsung niat untuk mempersendakan Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Alvin menjelaskan dia senang dengan kehidupannya kini yang masih solo. Katanya, tumpuan 100 peratus diberikan kepada kerjaya dan tidak terburu-buru mencari pasangan hidup.

“Saya tidak fikirkan sangat tentang cinta. Biar jodoh datang sendiri tanpa perlu saya mencarinya. Tambahan pula, buat masa ini jadual saya dipenuhi dengan aktiviti lakonan dan tiada masa untuk mencari teman istimewa.

“Tiada istilah cinta lokasi dalam kamus hidup saya. Tidak dinafikan, saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pelakon wanita yang bekerja dengan saya. Namun jika kami dilihat intim, itu hanya sekadar memenuhi keperluan bagi mewujudkan keserasian ketika berlakon bersama,” tambahnya.