Terletak di Setiu, Terengganu, Gunung Sarut dengan ketinggian 1,229 meter dari paras laut telah lama menjadi ‘port’ kegemaran pendaki dari Terengganu, Kelantan dan Pahang. Tarikan utamanya adalah keindahan dan keunikan yang mungkin tidak terdapat di gunung lain.

Air Terjun Lata Payung, Blue Pool, hamparan awan permaidani serta pokok bonsai renek ala di hutan lumut di Cameron Highlands merupakan antara tarikan yang membuatkan pendaki tidak bosan untuk menempuh laluan mencabar ke puncak.

Perkongsian maklumat dengan beberapa kumpulan pendaki di Pantai Timur dan pembacaan blog pendaki yang pernah menawan puncak gunung itu berjaya menarik minat The Semput Hikers dari Melaka untuk mengutip pengalaman menakluk gunung tersebut.

Ekspedisi disertai sembilan pendaki iaitu empat lelaki dan lima perempuan dan diketuai Aliff Tarmimi Samsudin, 26, bermula di Kuantan, Pahang kerana selain dari Melaka, ada juga ahli kelab bergerak dari Rompin, Pahang.

Setelah cukup ahli kumpulan, kami bergerak ke Kampung Lata Payung. Kami memulakan ekspedisi dua hari satu malam dari perkarangan sebuah masjid di kampung berkenaan.

Tepat pukul 10 pagi, selesai taklimat ringkas dan bacaan doa, kami memulakan langkah menyahut cabaran untuk menakluk puncak tertinggi di Setiu itu.

Tidak sampai dua jam pendakian, kami tiba di Blue Pool. Kami berhenti untuk berehat, mengalas perut dan mandi manda sebelum meneruskan perjalanan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari menuju ke tapak perkhemahan Kem Bonsai.

Blue Pool sememangnya terkenal sebagai lokasi tumpuan untuk mandi-manda disebabkan airnya yang sangat jernih, berwarna hijau kebiruan dan masih belum dicemari. Namun perlu waspada, sering berlaku kepala air di kawasan itu terutamanya jika hujan di puncak gunung.

Selepas empat jam meredah hutan segar tanpa sebarang masalah, kesemua pendaki The Semput Hikers selamat sampai di Kem Bonsai pada pukul 4.30 petang. Kami segera memacak khemah untuk bermalam di kawasan itu yang merupakan tempat paling strategik kerana terdapat sumber air bersih.

Seorang pendaki, Aida Suliana Radzuan, 33, berkata, mereka perlu bermalam kerana pendakian ke puncak tidak mudah, ditambah pula dengan adanya ahli kumpulan yang mungkin kurang daya tahan untuk meneruskan pendakian ke puncak jika tidak mendapat rehat yang cukup.

“Jika diikutkan ketinggian gunung ini, memang boleh didaki dalam tempoh sehari suntuk, tetapi kami mengambil keputusan untuk bermalam bagi merasai keseronokan dan keterujaan ekspedisi.

“Lagipun, kita perlu ada semangat berpasukan kerana tidak semua ahli kumpulan ini cukup ‘fit’ untuk meredah trek terus ke puncak,” katanya.

Cabaran utama pendakian ini adalah pada laluannya yang hampir 75 peratus menegak dan hanya 25 peratus laluan landai, selain perlu merentasi tiga anak sungai.

Setelah mendapat rehat, air serta makanan secukupnya, kami menyambung semula perjalanan keesokan harinya bermula seawal pukul 7 pagi.

Sepanjang perjalanan menuju ke puncak, kami menikmati keindahan alam semula jadi yang begitu mengujakan terutama pokok-pokok bonsai dan pelbagai spesies pokok renek.

Perjalanan selama dua jam seakan tidak terasa, malah laluan yang mencabar pada awalnya kini menjadi lebih ‘tenteram’ kerana pemandangan begitu cantik. Kami tiba di puncak tepat pukul 9 pagi.