Adakah ini masalah peranakan jatuh?

Jawapan:

Peranakan jatuh atau saintifiknya prolaps uterus atau rahim boleh disahkan melalui pemeriksaan pangkal rahim dengan membandingkan ketumbuhan yang keluar (kemungkinan servik atau rahim) relatif dengan aras tertentu bahagian pelvis bawah.

Tahap prolaps dibahagikan kepada tahap satu, dua dan tiga bergantung kepada bahagian pangkal rahim yang menonjol keluar dari pintu kemaluan.

Ia berlaku disebabkan otot lantai dan ligamen yang menyokong rahim tidak lagi utuh. Masalah ini berpunca daripada:

1) Tekanan dalam abdomen yang tinggi seperti batuk yang kronik atau masalah sembelit yang kronik.

2) Bilangan kelahiran atau kehamilan yang ramai lebih enam kelahiran.

3) Melahirkan bayi yang bersaiz besar.

4) Pekerjaan yang memerlukan seseorang mengangkat atau menampung beban yang berat.

Semua risiko di atas akan bertambah apabila mereka telah melalui fasa menopaus.

Selepas pemeriksaan dilakukan, rawatan yang akan diberikan bergantung kepada tahap prolaps itu.

Untuk tahap satu, pesakit tidak perlu risau kerana kaedah senaman boleh dilakukan untuk menguatkan otot pelvis yang dinamakan senaman kegel. Selain itu, cuba berusaha untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

Tahap dua juga boleh dirawat dengan menggunakan alatan sokongan pessary di dalam vagina untuk menolak rahim ke posisi atas.

Tahap tiga pula memerlukan rawatan segera sekiranya melibatkan pundi kencing atau usus. rawatan yang disyorkan ialah pembedahan histerektomi (pembedahan pembuangan rahim).