Ini kerana dari kecil sehingga dewasa, kita dibelai manja dan sudah biasa menikmati kasih sayang ibu bapa, namun tiba-tiba kita kehilangan mereka dalam sekelip mata.

Perasaan itu bukan mudah, akui Nurul Syaidatulaini Ismail, gadis dari Ipoh, Perak.

Kini berusia 23 tahun, anak bongsu daripada lima beradik itu kehilangan ibunya ketika dia berusia 11 tahun akibat komplikasi buah pinggang.

Ketika berusia 18 tahun, bapa kesayangannya pula pulang ke rahmatullah akibat sakit jantung.

“Sedihnya bapa meninggal dunia pada 1 Syawal waktu Maghrib,” katanya kepada S2.

Nurul Syaidatulaini yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa itu berkata, sejak kehilangan kedua ibu bapanya, dia dijaga oleh abang dan tinggal di Kuala Lumpur.

Katanya, hubungan dia dengan abang dan kakak begitu rapat. Namun, dia menyedari mereka semua telah berkeluarga. Justeru, dia berusaha mencari pendapatan sendiri.

“Jadi, setiap kali cuti semester, saya akan mencari kerja sambilan agar dapat menampung perbelanjaan saya di kolej,” katanya.

Menurutnya, dia lega kerana setelah tamat pengajian, dia kini sudah mempunyai pekerjaan tetap dan fokus terhadap apa yang dilakukannya.

Mengenai minat, Nurul Syaidatulaini berkata, dia begitu meminati bidang sukan dan sering terlibat dengan pelbagai acara larian, bola baling, bola tampar dan bola jaring.

Kini, sukan badminton menjadi pilihannya untuk mengisi waktu senggang.

Mengenai perancangan masa depan, Nurul Syaidatulaini berkata, dia merancang mahu memiliki sebuah perniagaan online sendiri.