Pernah memiliki keahlian, namun dibubarkan untuk memberi lebih peluang kepada orang awam atau pemain golf amatur bermain dan merasai kelainan di KGSS tanpa mempunyai handikap kad atau keahlian mana-mana kelab golf di negara ini.

Seperti mana ramai yang tahu, KGSS memiliki keunikan yang tersendiri. Kualiti lapangan, tee box dan greennya setanding dengan beberapa padang golf tersohor di Lembah Klang. Untuk terus menjaga kualiti, KGSS kini dalam proses menaik taraf fairway, tee box dan green.

Dengan penggunaan rumput Bermuda Greenlees Park di fairway dan rough, sementara green pula dari Bermuda Tifdwarf, pastinya pemain yang beraksi di sini akan teruji dengan kesukaran di lapangan yang sempit dan beralun hasil rekaan Ross Watson.

KGSS dari dahulu hingga sekarang memang terkenal dengan kelajuan greennya. Tidak mustahil KGSS merupakan antara lapangan yang menjadi kegemaran beberapa pemain profesional negara menjalani latihan sebelum kejohanan bermula.

Sebenarnya jika bermain di KGSS, boleh dikatakan ramai pemain tidak tahan sabar dengan greennya. Purata kelajuan adalah antara 10 hingga 11, kadang-kadang mencecah 11.5 stimpmeter. Tetapi realitinya sukar untuk diduga, ditambah lagi dengan permukaannya yang mengelirukan pasti menambahkan kesengsaraan.

Pukulan driver cantik diikuti pukulan ke green yang menepati sasaran pun belum tentu bola akan berhenti atas green. Sesetengah greennya pula kecil dan cukup beralun sehinggakan bola pemain yang jatuh ke green akan melantun dan bergolek keluar. Itulah cabaran dan tarikan apabila beraksi di KGSS.

Ramai pemain tidak berpuas hati kerana gagal bermain dengan baik, malah ingin mengulangi beraksi di KGSS sehingga puas hati. Memang KGSS berbeza dengan lapangan yang lain sehingga ada yang berkata, jika seseorang pemain boleh bermain di KGSS maka dia tidak akan ada masalah untuk melakukan skor yang baik di lapangan yang lain.

Sebenarnya setiap padang di mana-mana kelab golf akan terdapat lubang yang senang dan susah, panjang dan pendek. Tetapi di KGSS boleh dikatakan kebanyakan lapangannya sukar untuk mencipta par apatah lagi birdie kerana jaraknya agak panjang bagi pemain-pemain berstatus amatur.

Lubang nombor 10 par 4 pada jarak 356 meter dari tee box biru misalnya sedikit lencong ke kanan. Di kiri bukit dan kanan paya menyebabkan pemain tidak mempunyai pilihan melainkan meletakkan bola di fairway. Jika terbabas ke kanan maknanya bola masuk air.

Begitu juga pada lubang 11 par 4. Walaupun fairwaynya lurus dengan jarak 306 meter dari tee box hitam, namun jika pukulan driver tersasar ke kiri, sudah pasti bola masuk hutan. Greennya juga mencabar mental pemain ditambah lagi terdapat bunker kiri dan kanan green.

Sesuatu yang menarik di lubang 11 ialah di kiri kanan green ada bunker, tetapi bunker di sebelah kanan berbentuk telaga ala Terbuka British. Satu-satunya bunker yang direka seperti telaga untuk menagih kemahiran pemain mengeluarkan bola terus ke green atau pin.

Sebab itu ramai juga pemain pernah merungut tatkala bola masuk bunker di lubang 11. Ada seorang rakan, pukulan ke enam pun belum lagi keluar ke green, setiap kali pukul bola pasti terkandas di tebing bunker seperti telaga.

Pada lubang 13, par 5 jarak 468 meter dari tee box biru dan lubang 15 par 4 sejauh 374 meter dari tee box biru, kedua-dua lubang ini juga cukup mencabar dan pemain harus melakukan drive lurus jika tidak mahu bola masuk ke hutan (hazard) atau OB. Fairway yang sempit di samping rough yang tebal, pasti sukar bagi pemain melakukan pukulan yang cantik apabila bola tidak berada di fairway.

Bermain di KGSS ketepatan sangat penting. Jika bola tersasar dari fairway maka bersedialah untuk berhadapan dengan kesengsaraan. Rough yang tebal juga menyukarkan pemain untuk melakukan pukulan. Kadang-kala bola hilang dalam rough.

Lapangan 18 lubang par 72 ini sepanjang kira-kira 6,329 meter (tee box hitam), 6,043 meter (tee box biru) cukup getir dan perit buat pemain berhandikap tinggi. Sebab itu juga ia dipilih sebagai gelanggang untuk kejohanan Selangor Master. Ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan Piala Dunia bagi Asia Pasifik dan Jelajah Asia.

Selain menjanjikan cabaran getir, KGSS juga menawarkan harga yang berpatutan dan cukup berbaloi bermain di KGSS yang terletak berhampiran Kelab Golf Tropicana. Yang menarik juga di KGSS ialah anda boleh bermain jumbo flight (enam orang), seronok dan pasti meriah.

Selepas penat mengharungi 18 lubang, anda boleh beristirahat di golfer terrace sambil menghirup air sirap kelapa atau menikmati pelbagai juadah enak tengah hari hasil sentuhan tangan chef berpengalaman. Semua minuman dan makanan dikenakan pada kadar harga yang berpatutan.

Pelbagai fasiliti juga terdapat di sini seperti surau, pro shop, dewan serba guna, bilik persalinan, putting dan chipping green serta banyak lagi.

KGSS juga dikatakan sebagai sebuah kelab golf yang friendly kerana menetapkan harga bagi 18 lubang pada kadar yang amat berpatutan jika dibandingkan dengan kelab-kelab yang setaraf dengannya. Apatah lagi dengan kedudukan KGSS yang terletak tidak jauh dari pusat bandar, ia pastinya menjadi kelab golf pilihan ramai pemain amatur dan profesional.