Keupayaan menyindir secara berseni ini sebenarnya hanya mampu dilakukan oleh kalangan pelukis yang kreatif dan berada di luar kotak.

CHE’ AHMAD AZHAR
CHE’ AHMAD AZHAR 

Che' Ahmad Azhar, salah seorang pelukis yang mempamerkan hasil karyanya di pameran bertemakan ‘ Di antara Itu dan Ini’ bersama 14 orang pengkarya seni tanah air yang lain berkata, lukisan yang dihasilkan dengan menggunakan teknik fotografi dan arang berkecenderungan menyindir sesetengah pihak.

“Umum mengetahui musang sebagai seekor haiwan yang jahat. Dalam karya saya, musang digambarkan sebagai kapitalis yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain.

“Maka itulah, karya bersiri yang saya pamerkan pada Pameran ‘Di antara Itu dan Ini’ ialah Sengat Penyu, Cucu Panglima dan Musang Pulut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui usai majlis pelancaran pameran tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md Ramli di Balai Seni Lukis Negara, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad.

Sementara itu, Mastura Abdul Rahman, pengkarya lukisan Rupa Tanpa Wajah pula berpendapat, hasil karya seninya diilhamkan daripada karya allahyarham Ismail Zain, The Detribilization of Tam binte Che Lat (DOT).

“Jujur saya katakan, hasil inspirasi DOT memberi saya ilham untuk menghasilkan sebuah catan iaitu meletakkan warna di atas satu permukaan seperti kanvas.

RUPA TANYA WAJAH
 

“Hasil yang diperoleh adalah menakjubkan apabila digunakan teknik kolaj,” katanya.

Beliau berkata, dengan meninggalkan figura tanpa wajah sebagai gambaran betapa mudahnya bagi kita untuk kehilangan jatidiri disebabkan oleh kecelaruan maklumat zaman ini.

“Metafor untuk memahaminya mudah. Apabila kita kehilangan jatidiri kerana kecelaruan maklumat, itulah yang berlaku pada masa kini,” ujarnya.

Pameran ‘Di antara Itu dan Ini’ yang mempersembahkan 43 hasil karya terbaharu pengkarya seni, telah bermula sejak 24 September lalu dan berakhir pada 18 November ini.

Masuk adalah percuma. - UTUSAN ONLINE