Selepas 20 tahun berlalu, peminat sarkas negara ini berpeluang menyaksikan persembahan sarkas yang hebat daripada sebuah kumpulan terkemuka dari Moscow.

Kumpulan itu berada di Malaysia selama lapan bulan, bermula Disember 2018 untuk membuat persembahan termasuk adegan akrobatik yang hebat tanpa aksi sebarang haiwan.

Kedatangan Moscow Circus Tour of Malaysia 2018/19 adalah inisiatif Kenneth Lee yang mempunyai hubungan persaha­batan dengan Victor Pilipovic, ejen artistik sarkas dari Rusia. Penerbit Moscow Circus Tour of Malaysia adalah Yahna SG dan Datuk Seri G Radakrishnan.

Kumpulan sarkas ini terdiri daripada 40 orang artis dari dua syarikat sarkas terkemuka Moscow iaitu Bolshoi dan Nikulin.

“Bukan mudah untuk membawa kumpu­lan sarkas yang terkemuka ini untuk sama-sama membuat per­sem­bahan dan kami gembira dapat melakukannya,”Pilipovich memberitahu Bernama di Iskandar Puteri, Johor, baru-baru ini.

Pilipovich yang juga seorang penjugel terkenal berkata, pihaknya mengambil masa sembilan bulan untuk membuat persiapan membawa kumpulan sarkas itu ke Malaysia di bawah naungan Moscow Circus.

Sementara itu, Lee berkata dengan sokongan pihak berkuasa tempatan serta penerbit antarabangsa, Malaysia boleh bersaing dengan negara jiran seperti Singapura untuk menganjurkan persembahan bertaraf antarabangsa.

KENANGAN SILAM

Bernama baru-baru ini berkesempatan berbual dengan beberapa penonton yang hadir pada sesi pranonton Moscow Circus yang diadakan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Bagi mereka, peluang menyaksikan pranonton itu mengingatkan mereka kepada kenangan silam.

Seorang eksekutif, Mohd Norelliyas Che Tahrim, 34, berkata, beliau pada mulanya menyangka pertunjukan sarkas itu akan melibatkan persembahan haiwan.

“Semasa saya kanak-kanak, saya ada menyaksikan beberapa persembahan sarkas dan yang paling saya suka ialah aksi haiwan. Meskipun Moscow Circus tidak melibatkan persembahan haiwan, ia masih hebat,” katanya.

Tambah beliau, persembahan Skopov Troupe yang memaparkan adegan akrobatik yang mendebarkan turut menambat hatinya.

Seorang lagi penonton, Izzayati Husna Ahmad, 29, yang bekerja sebagai eksekutif menyifatkan peluang menyaksikan persembahan Moscow Circus tidak akan dapat dilupakan.

“Semasa kecil, saya tak pernah berkesempatan menonton sarkas. Jadi, saya tak boleh komen bila tiada persembahan haiwan.

“Bagaimanapun, saya sokong tindakan mereka tidak menggunakan haiwan kerana bagi saya tidak ada yang menyeronokkan mendera binatang liar,” kata Izzayati, yang teruja dengan persembahan Moskalov Duo.

ARTIS BERBAKAT

Persembahan sarkas yang berlangsung selama dua jam memaparkan antaranya aksi pejalan kaki di atas wayar tinggi, artis trapeze dan akrobat Russian Swing.

Turut membuat persembahan ialah penjugel terkenal Semen Krachinov serta pasangan suami-isteri yang membuat aksi ilusi iaitu Mykhaylo dan Lyana Moskalov dari Ukraine yang menggelarkan diri mereka sebagai Moskalov Duo.

Dengan inspirasi lakonan aktor Jim Carey dalam filem The Mask, Mykhaylo mengenakan pakaian sut berwarna kuning terang ketika membuat persembahan dengan Lyana yang turut memaparkan aksi hebat iaitu boleh menukar pakaian di atas pentas dalam masa beberapa saat sahaja.

“Saya seronok melihat wajah penonton ketika mereka menyaksikan persembahan kami, “ ujar Mykhaylo.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.themoscowcircus.com.my. – BERNAMA