Wanita berusia 27 tahun yang berasal dari Kampala, bandar terbesar di Uganda, mempercayai tawaran daripada rakannya yang dilihat mempunyai kehidupan lebih mewah apabila bekerja dia Emiriah Arab Bersatu (UEA).

Dia menurut arahan sahabatnya itu agar membuat pasport yang sah dengan tujuan untuk membeli tiket penerbangan dan menyiapkan visa. Malah, setelah dokumen tersebut diserahkan, Nakintu diberi wang sagu hati ‘tanda terima kasih’ sebanyak RM400.

Namun, apabila Nakintu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, dia diberitahu oleh wanita yang menunggunya di sana untuk menyerahkan pasportnya dan kemudian diberitahu bahawa dia akan bekerja sebagai pekerja seks.

“Sejak awal lagi saya merasakan sesuatu buruk akan terjadi dan cuba untuk melarikan diri, tetapi dia mengugut akan mencederakan saya kerana dia telah melabur banyak wang untuk membawa masuk saya ke negara tersebut,” katanya.

Nakintu adalah salah seorang daripada beribu-ribu wanita yang diperdagangkan sebagai hamba seks setiap tahun.

Kempen anti perhambaan yang dianjurkan oleh kumpulan Walk Free menganggarkan terdapat 36 juta orang yang terperangkap dalam ‘perhambaan’ zaman moden ini di seluruh dunia.

Diperdaya 
rakan sendiri

Seperti mangsa yang lain, Nakintu berkata, dia tidak mengesyaki rakannya atau wanita lain dari negara sendiri akan memperdayakannya untuk menjadi pekerja seks.

Satu laporan tahunan mengenai pemerdagangan manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada 2015, mengulas mengenai rangkaian wanita Uganda menyelaras penghantaran wanita dari negara itu untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks di beberapa negara seperti Kuwait, UAE, dan Kenya.

Pada hari pertama di Dubai, Nakintu diberitahu bahawa dia berhutang dengan wanita yang menyambutnya sekitar RM32,000 sebagai yuran pengambilan yang perlu dibayar balik secara ansuran serta kos penginapan dan makanan.

Kos tersebut sangat tinggi bagi pendatang yang baru tiba. Bagi memenuhi pendapatan sasaran, dia perlu melayan kira-kira 10 orang dalam tempoh dua hari pertama.

Untuk mendapatkan kembali pasportnya, Nakintu terpaksa menjalani ritual ilmu hitam di mana dia perlu bersumpah untuk menyerahkan pendapatannya kepada ‘ibu ayam’ yang menjaganya dengan ancaman kematian dalam masa 10 hari jika dia tidak menyerahkan wang.

Jabatan Pemerdagangan Manusia AS pada 2014 melaporkan bahawa pedagang seks telah menggunakan ritual ilmu hitam dan keganasan untuk memaksa wanita Uganda ke dalam skim pemerdagangan manusia.

“Ibu ayam adalah wanita yang sangat kejam yang menjual pasport kami dan hanya membeli tiket penerbangan untuk pelacur tua yang mahu bersara dan kembali ke Uganda,” kata Nakintu.

Dia kemudiannya dipindahkan ke Abu Dhabi, di mana pekerja seks boleh mendapat lebih banyak wang dan Nakintu dianggap sebagai jualan yang baik untuk pelanggan yang lebih kaya.

Di sana dia bertemu lagi dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Maydina, yang pernah bekerja sebagai pelacur kelab malam di Abu Dhabi dan berkahwin dengan seorang eksekutif perniagaan berpangkat tinggi.

Tipu pelanggan untuk dapat duit lebih

Maydina memberitahu Nakintu bahawa rahsia kekayaan dalam industri seks di Abu Dhabi adalah pelanggan lelaki berkulit putih. Mereka sedaya upaya memastikan dapat memperoleh nombor telefon pelanggan, kononnya untuk ‘perniagaan akan datang’.

Beberapa hari selepas pertemuan pertama, pekerja seks akan menelefon pelanggan untuk mengatakan mereka mengandung dan menuntut wang tunai untuk tidak mendedahkan rahsia itu dan memerlukan sekurang-kurangnya RM40,000 untuk kembali ke Uganda bagi melakukan pengguguran bayi.

Mereka kemudiannya meneruskan muslihat dengan meminta pelanggan mereka lebih banyak wang akibat komplikasi perubatan.

Nakintu berkata, pekerja baharu menyasarkan tiga lelaki pada bulan pertama mereka melalui taktik ini walaupun terdapat beberapa wanita yang menentang. Apa pun itu satu-satunya cara supaya mereka boleh membayar balik hutang pada ‘ibu ayam’.

“Kami melakukannya kerana terdesak,” kata Nakintu yang berjaya meninggalkan Abu Dhabi pada Mei tahun lepas setelah berada di sana selama setahun untuk menyelesaikan hutangnya.

Apabila kembali ke Uganda, mereka akan diminta oleh ibu ayam untuk membawa wanita-wanita muda dan dibayar upah sebanyak RM400 bagi setiap pekerja baharu yang dibawa.

Sementara itu, Pesuruhjaya polis yang mengetuai Pasukan Petugas Pemerdagangan Manusia, Musa Binoga berkata, kerajaan telah meningkatkan kawalan di semua pelabuhan keluar untuk melindungi wanita muda daripada ancaman pemerdagangan seks seperti yang berlaku kepada Nakintu.

Tahun lalu, kerajaan telah menahan kira-kira 300 wanita muda daripada meninggalkan negara ini selepas mengesahkan bahawa mereka telah dihantar ke luar negara untuk pemerdagangan seks.

“Agak sukar untuk memerangi masalah ini kerana walaupun kami boleh mendakwa pengedar pelacur di Uganda, kami tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa mereka di negeri-negeri yang menerima pelacur.

“Apabila kami mendakwa mereka, kami juga perlu membezakan antara mangsa dipaksa menyertai pemerdagangan seks atau mereka sendiri bersetuju dengan perjanjian untuk pergi ke negara-negara Arab dan bekerja sebagai pelacur,” ujarnya. - AFP