Menurut pemilik restoran tersebut, Datuk Johan Wan Khairil Adli Mohd. Yusoff, semangkuk sup gear box yang dijamin sedap dan boleh dimakan bersama keluarga dijual pada harga RM30 sahaja.

"Sup gear box kami bersaiz besar dan tulang lembu yang dibekalkan kepada kami memang segar kerana kualiti kesegaran makanan yang disajikan di restoran ini tidak dikompromi walaupun kita tahu, hari ini, harga barang-barang mentah mahal.

"Walau bagaimanapun, sebagai individu yang terlibat dalam industri penyediaan makanan, D'johan Delicacies tetap menjaga kualiti selain daripada rasa masakan," katanya kepada Utusan Online.

Kata Wan Khairil Adli lagi, cetusan idea untuk 'lari' daripada menu makanan laut segar dan masakan Cina yang menepati selera orang Melayu, lahir daripada isterinya, Datin Nirvana Abd. Jalil.

"Memang isteri saya gemarkan sup gear box dan apabila kami makan sup gear box di restoran-restoran ataupun yang dihidangkan di kedai-kedai, kami terfikir mengapa tidak ditambah menu yang sedia ada di kedai kami.

"Jadi, mulai semalam, kami memperkenalkan sup gear box di D'johan Delicacies," katanya sambil menambah, D'johan beroperasi setiap hari, bermula dari pukul 5 petang sehingga 1 pagi, kecuali hari Selasa, cuti rehat.

SUP GEAR BOX
SUP GEAR BOX 

Wan Khairil Adli berkata, kalau ditanya tentang resipi sup gear box di D'johan Delicacies, ia datang daripada isterinya dan diterjemahkan oleh Chef Mohd. Al Shafiq Balbuena.

"Jadi, rasailah sendiri sup gear box kerana ia mempunyai citarasanya yang tersendiri," ujarnya.

Wan Khairil Adli menambah, bagi mereka yang memilih untuk menikmati sup gear box dengan roti, permintaan itu boleh dipenuhi.

"Almaklumlah, lain orang, lain citarasanya. Ada yang manu makan nasi dan ada yang manu mengurangkan nasi. Jadi, pilihan tetap ada kerana sup gear box boleh dicicah dengan roti.

"Di sini juga, ada mantau iaitu sejenis roti (bun) yang distimkan dan kemudian digoreng sehingga menjadi warna keemasan. Mantau juga sesuai jika dimakan dengan sup gear box," katanya.

Keseronokan menikmati sup gear box, pelanggan akan diberikan straw untuk menyedut sum-sum yang terdapat di dalam gear box. - UTUSAN ONLINE