Tujuan mereka hanya satu iaitu untuk mengambil barangan makanan seperti sayur-sayuran,buah-buahan dan produk berasaskan tepung seperti kek dan roti yang diletakkan di situ oleh sukarelawan Mutiara Food Bank (MFB).

Slug: Mutiara foodbank.BUTTERWORTH 08 DISEMBER 2018 - AZHAM ZAINOL.Gambar:
AZHAM ZAINOL 

Barangan berkenaan baru sahaja diambil dari pasar raya Tesco, Kulim, Kedah pada waktu pagi oleh pegawai lojistik MFB, Azham Zainol, 48, yang mula terlibat secara langsung dalam pertubuhan sukarelawan dinaungi Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, sembilan bulan lalu.

SUKARELAWAN Mutiara Food Bank menyusun barangan keperluan dapur sumbangan pasar raya Tesco.
SUKARELAWAN Mutiara Food Bank menyusun barangan keperluan dapur sumbangan pasar raya Tesco. 

Surau tersebut merupakan salah satu daripada 18 kawasan di seluruh Pulau Pinang yang menerima sentuhan MFB yang bergerak 365 hari setahun. Sukarelawan MFB menjalankan tugas mengambil lebihan makanan, mengasingkannya dan seterusnya mengedarkannya kepada orang ramai setiap hari.

MFB yang bermula pada 1 Mei 2017 merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menyampaikan bantuan makanan secara langsung dari rumah ke rumah kepada kelompok memerlukan.

Bank makanan itu diterajui oleh seorang anak muda yang masih bergelar penuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, 21. Beliau menerangkan bahawa MFB adalah cetusan idea Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika beliau menjadi Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Muhammad Zakwan, MFB merupakan projek pengumpulan serta pengagihan lebihan makanan yang dijalankan dengan kerjasama pasar raya Tesco bermatlamat mengurangkan pembaziran makanan serta membantu golongan memerlukan menerusi penyampaian bantuan secara langsung kepada kelompok memerlukan.

Video Oleh SAFINA RAMLI

“Pada mulanya kami hanya bergerak dengan dua sukarelawan dan seorang pemandu serta sebuah kenderaan sendiri untuk tujuan lojistik.

“Selepas lima bulan beroperasi sejak penghujung 2017, kami mendapat sumbangan daripada kerajaan negeri dan apabila impak kepada masyarakat semakin besar, maka projek ini diletakkan di bawah portfolio Exco Kebajikan. Sehingga kini kami mempunyai kekuatan tujuh staf serta tiga kenderaan hasil sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada S2.

Muhammad Zakwan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFB berkata, terdapat tiga jenis operasi yang digunakan oleh MFB dalam mengedarkan lebihan barangan makanan itu.

“Pertama, kita akan letak barangan tersebut di sebuah tempat seperti di Surau Al-Hidayah Balai Pukat dan barangan ini akan dimasak untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Kedua, kita akan letak barangan di sebuah pusat pengumpulan seperti di kampung-kampung terpilih dan kemudiannya orang ramai akan mengambil barangan yang mereka kehendaki.

“Ketiga, kita akan letak di pusat pengumpulan iaitu di rumah penggerak lapangan seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Slug: Mutiara foodbank.BUTTERWORTH 08 DISEMBER 2018 - SEBAHAGIAN
 

Muhammad Zakwan memberitahu, MPKK kemudiannya akan membuat pemilihan serta pengagihan barangan dan sukarelawan akan pergi menghantarnya dari rumah ke rumah.

“Kita memberi tumpuan kepada cara ketiga kerana lebih dekat dengan rakyat dan objektif program ini akan mudah dimaklumkan kepada mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, sejak program itu diperkenalkan, sebanyak lapan buah pasar raya Tesco di Pulau Pinang telah bekerjasama dengan MFB.

Sehingga hari ini pihaknya berjaya menyampaikan bantuan kepada 34,000 orang penerima.

“Untuk rekod, bermula Mei 2017 kami telah menyelamatkan 298 tan metrik lebihan barangan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dan 81 tan metrik kek dan roti daripada dibuang begitu sahaja,” katanya.

Ikuti video sukarelawan MFB agihkan makanan percuma ini di utusan.com.my.