Keadaan membimbangkan itu turut mencerminkan aliran atau trend yang wajar ditangani semua pihak berkaitan.

Statistik menunjukkan daripada 32.4 juta  rakyat Malaysia, kira-kira 40 peratus  daripadanya dikhuatiri mengalami masalah kesihatan mental.

Tinjauan Kementerian Kesihatan pada 2017 mendapati seramai 18,336 orang menderita tekanan perasaan berdasarkan imbasan kesihatan yang dilakukan ke atas 273,203 individu. Daripada jumlah itu, seramai 11,811 orang menderita tekanan perasaan ringan,  3,680 sederhana dan 1,682 tekanan perasaan teruk.

Kajian Morbiditi Kesihatan yang dilaksanakan pada 2015 mendapati hampir 30 peratus daripada penduduk Malaysia mengalami pelbagai penyakit mental psikiatri termasuk kemurungan, keresahan,   schizophrenia dan  cubaan membunuh diri.

Kebimbangan mengenai masalah itu  turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini.

"Statistik ini sangat membimbangkan kita. Pada saya ini bukan pengukur yang baik bagi negara," katanya ketika merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018.

Beliau menyarankan Kementerian Kesihatan supaya meneliti dasar kesihatan mental dalam usaha mengatasi masalah yang membimbangkan itu.

BUNUH DIRI BERLELUASA 

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan rasa bimbang dengan gejala bunuh diri yang semakin berleluasa tanpa mengira bangsa.

"Ini tidak boleh dipandang remeh," tegas beliau.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merekodkan jumlah kematian akibat bunuh diri mencecah hampir satu juta orang setiap tahun. Statistik menunjukkan 16 daripada 100,000 penduduk iaitu purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari atau seorang dalam 40 saat membunuh diri setiap hari.

Bagi setiap kejadian bunuh diri, dianggarkan terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Ini turut menyumbang kepada kecederaan fizikal serta emosi kepada individu terlibat dan ahli kelurga.

Menjelang 2020, kadar membunuh diri dijangka meningkat pada satu kematian bagi setiap 20 saat.

Di peringkat global, kejadian bunuh diri adalah antara 10 penyebab utama kematian dan merupakan penyebab kedua tertinggi bagi mereka yang berusia 15 hingga 29 tahun. WHO juga melaporkan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki adalah 15 bagi setiap 100,000 penduduk manakala lapan  bagi setiap 100,000 penduduk dalam kalangan wanita.

Kajian Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan pada 2009 menunjukkan kadar bunuh diri di Malaysia masih rendah iaitu 1.18 peratus bagi setiap 100,000 penduduk. 

Namun, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi dengan anggarannya hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau purata tujuh kes setiap hari.

Sakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar menjejaskan rakyat dunia menjelang 2020 selepas penyakit jantung. 

PERBEZAAN KESIHATAN DAN PENYAKIT MENTAL

Terdapat perbezaan besar di antara kesihatan mental dan penyakit mental. 
Kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih berupaya melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental. Fungsi seharian mereka terjejas,  namun  boleh dikawal dengan rawatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Nurashikin Ibrahim menjelaskan, kesihatan mental adalah suatu keadaan yang mana seseorang individu menyedari keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. 

"Kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif. Ia adalah ekspresi emosi dan menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan serta tuntutan hidup,"katanya.

Namun, terdapat banyak tahap dalam kesihatan mental dengan tiada seorang individu pun mempunyai semua ciri kesihatan mental yang baik pada setiap masa.

"Ia banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran.Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa.

"Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosioekonomi, pertukaran keadaan persekitaran atau sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja,  rumah,  sekolah serta akibat lain," jelas beliau.

TANDA AWAL MASALAH MENTAL

Dr. Nurashikin berkata, jika seseorang itu didapati tidak mahu melakukan aktiviti harian termasuk mengasingkan diri secara berterusan sehingga melebihi dua minggu, dia boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan tertekan atau kemurungan.

"Kemurungan adalah perasaan sedih berpanjangan. 

Jika perasaan sedih itu terlalu sukar ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian, maka, ia adalah kemurungan," katanya.

Antara simptom awal kesihatan mental mulai terjejas adalah individu menunjukkan perubahan selera makan yang mendadak (sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit), menjauhi orang ramai atau lebih gemar bersendirian, kerap berasa lesu dan tidak bermaya.

Selain itu, individu terbabit  sering termenung, tidak fokus, mudah marah, menunjukkan keadaan sakit, mempunyai keinginan mencederakan diri sendiri atau orang lain serta tidak dapat melakukan tugas harian seperti biasa.

Paling ketara adalah apabila individu melakukan perbuatan di luar kelaziman seperti menghisap rokok atau minum minuman beralkohol.

WHO menyatakan penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan kehilangan upaya di seluruh dunia. Pada 2020, ia dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. 

Dr. Nurashikin menerangkan mereka yang mempunyai penyakit mental mengalami keadaaan di mana ia menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial atau pekerjaan. 

"Mereka harus didiagnosis dan diberi rawatan yang perlu," katanya sambil menjelaskan proses mendiagnosis itu dibuat mengikut garis panduan 'Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders' yang ditetapkan WHO. – BERNAMA