Sejak berusia 15 tahun, Abdul Hafiz mula berdikari mencari duit poket untuk belanja sekolah dengan menjual jersi. Sebagai

kanak-kanak yang membesar di rumah pangsa ‘flat’ dan berpindah ke kuarters apabila remaja, cabaran yang dihadapi sangat besar. Bukan sahaja godaan kehidupan remaja sosial masa itu, ibu dan bapanya juga tinggal berjauhan kerana urusan kerja. Abdul Hafiz mengikuti bapanya ke Johor manakala ibunya menetap di Kelantan. Jika jiwanya tidak kental waktu itu, pasti kehidupannya tersasar.

Walaupun dia kategori ‘budak nakal’ di sekolah menengah, Abdul Hafiz tidak pernah menyusahkan orang tuanya. Sejak berjinak-jinak dalam perniagan secara sampingan, perasaan seronok dalam dirinya mula hadir. Masakan tidak, dia dapat memegang duit hasil daripada titik peluhnya sendiri.

Kemudian, dia bekerja keras untuk menggapai impiannya dan berada pada tahap seperti hari ini sejak usianya 19 tahun dengan membina perniagaan bersama rakan kongsi.

“Kami datang daripada keluarga sederhana. Malah saya menjadikan ayah sebagai idola kerana dia gigih bekerja untuk kami dari awal pagi sampai malam hari. Memang masa dahulu,saya lebih fokus kepada perniagaan yang dibangunkan dan alhamdulillah penat lelah saya berbaloi,” katanya.

Bercerita tentang impiannya sejak kecil, dia berangan-angan untuk ada kehidupan sempurna bersama orang tersayang. Seperti bermimpi, dia kini berjaya dalam perniagaan dan mempunyai isteri serta keluarga yang selalu menyokongnya. Baginya, jika bukan mereka mungkin dia bukan siapa-siapa hari ini.

Bahkan isteri, Nur Syafiqah Aina Abdul Wahab, 25, menerimanya sejak di bangku sekolah lagi walaupun waktu itu dia tidak digemari oleh pelajar perempuan lain kerana kenakalannya. Abdul Hafiz memberitahu, isterinya adalah insan yang sanggup susah senang bersama dan menerima seadanya dia.

Atas sebab itu tatkala memberi penghargaan untuk insan yang tersayang, Abdul Hafiz selalu mencipta kejutan. Justeru, tidak hairanlah video yang tular itu pasti mengundang pelbagai reaksi terutama sekali para netizen yang berang dan jelik, kononnya menganggap dia seorang yang bongkak dan suka menunjukkan kemewahan. Antaranya dia pernah membawa keluarga dan Nur Syafiqah Aina (ketika itu tunangnya) menaiki kapal mewah.

“Apabila kini saya diberikan rezeki lebih, apa salahnya kalau saya beri ganjaran dan penghargaan seperti ini kerana mereka memang layak menerimanya. Seperti mana yang saya katakan, Aina selalu menyokong saya dalam apa jua keadaan.

“Dari mula-mula saya bina perniagaan sehinggalah sekarang, sikit pun dia tidak pernah meminta apa-apa. Segala kejutan ini ialah idea dan daripada hasil titik peluh saya sendiri,” ujarnya, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia juga tidak pernah ambil hati dan peduli kritikan orang lain sebaliknya akan terus berusaha mencipta kelainan bagi membahagiakan keluarga dan isterinya.

Dia menerima semua komen dalam media sosialnya dengan positif. Jika komen itu berbentuk pengajaran, dia mengambilnya sebagai panduan.

“Saya tidak pernah ada niat untuk menunjuk-nunjuk. Saya hanya cuba mencipta kenangan daripada usaha saya bagi membahagiakan insan tersayang. Ini cara saya dan saya juga tidak akan menghukum atau mengadili cara orang lain. Saya tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Seperkara lagi anak muda sekarang semuanya semakin bijak dan bekerja keras mencari rezeki. Apa yang saya mahukan, gunakanlah rezeki yang diperoleh untuk bahagiakan insan tersayang daripada membazir. Jika ada yang buruk daripada saya, elakkan. Jika ada yang baik daripada saya, contohilah. Namun, saya tidak mahu diri saya dijadikan ikutan, kerana kita mempunyai cara masing-masing,” jelasnya.

Berbicara tentang perniagaannya pula, Abdul Hafiz mengakui cabaran paling utama yang dihadapi oleh syarikatnya, NSA Beauty ialah membina kepercayaan rakyat Malaysia. Ini kerana orang ramai kurang mempercayai dan menyokong produk tempatan walaupun mempunyai kualiti yang baik. Kebanyakan mereka lebih gemar membeli produk luar negara.

“Pada era teknologi maklumat ini, media sosial sangat memainkan peranan. Sekarang segala maklumat di hujung jari dan inilah peluang untuk kita berniaga,” katanya.

Dalam pada itu Hafiz menasihatkan anak-anak muda lain yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan supaya tidak mudah putus asa. Dalam zaman serba canggih ini, dia berpandangan setiap orang perlu berani melakukan sesuatu perubahan. Bermula daripada situ, wujudnya keyakinan dan paling penting ialah usaha.

Ditanya tentang pengurusan masanya, Hafiz mengakui setiap hari dia akan berdepan dengan jadual kerja yang padat. Dia bersyukur kerana isterinya yang kini hamil memahami kerjayanya sebagai usahawan. Lebih membahagiakan mereka sama-sama membangunkan jenama produk kecantikan Ainaa keluaran NSA Beauty. Jadi, tiada istilah tidak ada masa atau sibuk kerana mereka berdua saling berbincang soal perniagaan. Sekiranya ada masa terluang mereka akan keluar bersama seperti menonton wayang atau bercuti.