Walaupun terdapat banyak pendapat yang memandang aplikasi itu sebagai sesuatu yang negatif ekoran dikhuatiri menjadi platform jenayah seksual dan penularan budaya tidak sihat, namun dari sudut psikologi larangan terhadap literasi media boleh membantutkan perkembangan kreativiti anak-anak.

Antara sebab utama aplikasi berkenaan menjadi kegemaran kanak-kanak adalah kerana penggunaan teknologi yang canggih serta mesra pengguna.

Keistimewaan yang disajikan melalui aplikasi tersebut membolehkan kanak-kanak meneroka aplikasi berkenaan dengan pantas.

FATIMAH MOHD. TAJUDDIN
FATIMAH MOHD. TAJUDDIN 

Pensyarah Sekolah Komunikasi dan Seni Kreatif KDU University College, Fatimah Mohd. Tajuddin berkata, Tik Tok adalah satu aplikasi yang memberi efek khas yang unik dan menarik untuk menghasilkan sebuah video pendek serta dapat dikongsi dengan kenalan.

Walaupun pada mulanya Fatimah mengenali aplikasi tersebut dan berasa kelakar, pelik dan menjengkelkan, namun setelah meneliti dan melihat anak-anak yang bermain Tik Tok semakin yakin dan tidak segan meluahkan kreativiti membolehkannya melihat itu dari satu sudut yang positif.

“Kanak-kanak ini dilihat menyerlahkan kreativiti mereka melalui suntingan video dan lagu. Malah mereka lebih yakin mengarahkan ahli keluarga atau sahabat untuk melakonkan sesuatu atau menari mengikut ideanya.

“Bukan itu sahaja, anak-anak yang menggunakan teknologi tersebut berjaya menghasilkan satu video pendek lengkap dengan kesan bunyi dan pelekat selama 15 saat. Mereka seolah-olah menjadi pengarah muzik,” katanya.

Jelasnya, walaupun aplikasi Tik Tok menyerlahkan sisi kreativiti anak, namun perlu dipantau oleh ibu bapa agar penggunaannya terkawal dan selamat daripada menjadi mangsa jenayah seksual seperti pedofilia.

“Peranan ibu bapa untuk memantau pergerakan tarian dan pemilihan pakaian anak-anak agar tidak menggiurkan.

“Dalam masa sama amat penting bagi ibu bapa untuk mengawal kenalan anak dalam aplikasi berkenaan. Nasihatkan anak untuk menerima dan mempelawa ahli keluarga yang terdekat sahaja di Tik Tok,” jelasnya.

Komunikasi bersama anak-anak penting

Kewujudan telefon pintar dan internet menjadikan manusia sentiasa mengejar perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan.

Begitu juga halnya dengan kanak-kanak, mereka lebih mudah terdedah kepada kepesatan internet sebagai medium untuk interaksi dan menambah kenalan.

Walaupun Tik Tok merupakan aplikasi yang mendorong kepada kreativiti kanak-kanak dalam berkarya, namun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengawal penggunaannya agar sentiasa selamat.

Fatimah yang memetik kata-kata ahli psikologi terkenal, Erik Erikson berkata, semasa di peringkat industri berbanding tahap inferioriti, kanak-kanak mampu melakukan tugas yang semakin kompleks dan akibatnya mereka berusaha untuk menguasai kemahiran baharu.

Kanak-kanak yang mendapat pujian oleh ibu bapa dan guru akan memupuk kecekapan dan keyakinan terhadap kebolehan mereka.

Namun, jika sebaliknya iaitu anak-anak tidak dapat melakukan sesuatu dengan semangat atau tidak berjaya, mereka mudah berasa rendah diri.

Ini bermakna tegas Fatimah, sekiranya anak-anak tidak mampu meluahkan kreativiti akan menyebabkan perkembangan psikososialnya terbantut dan berasa tidak yakin.

Sebagai ibu bapa mereka perlu sentiasa mengambil tahu perkembangan anak termasuk mengetahui konsep video yang diarahkan anak, siapa pelakonnya, pemilihan muzik dan siapa kenalan mereka.

Komunikasi dan interaksi yang baik membolehkan anak-anak bercerita tanpa jurang serta dalam masa sama mereka akan mempercayai ibu bapa untuk berkongsi minat.

“Ambil peluang untuk bertanya kepada anak-anak berkaitan video yang diarahkannya. Tanya adakah mereka memahami bait-bait lagu yang dipilih serta pemilihan konsep. Pasti mereka akan bercerita, cuma ibu bapa perlu kawal kemarahan dan berbincang dengan nada lembut.

“Jika apa yang dilakukan anak-anak dilihat boleh membawa kesan buruk dan bercanggah dengan prinsip, nasihat mereka dengan cara berhemah kerana kita tidak mahu sikap ibu bapa yang pemarah dan kurang sabar akan membantutkan daya kreatif anak,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa menyimpan kata laluan dan e-mel anak agar mudah mengawasi kenalan mereka.

“Ibu bapa perlu sentiasa memantau kenalan anak dalam aplikasi Tik Tok dan menyekat mereka yang tidak dikenali.Seboleh-bolehnya biarlah kenalan mereka merupakan dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

“Anak-anak juga perlu diberi penerangan berkaitan tindakan ibu bapa menyekat pergaulan dengan orang luar dan mengawal kenalan mereka agar tidak mengundang sesuatu yang buruk.

“Melalui komunikasi begini membolehkan anak percaya kepada kita (ibu bapa) sekali gus tidak menyimpan sebarang rahsia atau melakukan sesuatu dalam diam,” katanya lagi.