Hiasan berkonsep retro dan vintage dengan imej-imej ikonik serta mercu tanda kota raya London, memenuhi ruang kediaman anak muda berasal dari Pulau Pinang itu.

Nyata dia bijak menyusun atur perabot seperti sofa, meja, console, almari kaca serta beberapa hiasan unik yang bersaiz besar.

Biarpun nampak sarat dengan cenderamata kecil yang bertemakan vintage London di setiap sudut, Azmira mempunyai kepakaran dalam hal menyusun atur perhiasan.

Koleksi cenderamata tersebut dibeli ketika berkunjung ke kota itu tahun lalu, selain ada juga daripada pemberian rakan-rakan.

Daripada kereta mini, pondok telefon London yang ikonik, mesin taip lama, miniatur motosikal Vespa, rantai kunci sehinggalah kepada replika kapal terbang vintage dan jam dinding klasik, semuanya ada di ruang tamu itu.

Usah terkejut, sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang berkenaan, bukan sahaja terasa kembali ke zaman sekitar tahun 60-an, malah lagu Inggeris lama yang dipasang terus membuai halwa telinga, sekali gus membangkitkan rasa retro.

Mungkin nampak keterlaluan, namun terdapat sebuah pengadang api elektrik yang dibeli Azmira semata-mata ingin melengkapkan dan memberikan suasana sebenar kediaman di kota London dengan gabungan sofa kulit rona coklat gelap serta meja kopi dengan struktur kayu solid.

Menurut Azmira, dia sangat gemarkan apa sahaja benda yang berkonsepkan vintage, malah sanggup berhabis untuk membeli barangan lama yang diminati demi untuk menghias kediaman itu.

Pernah sekali dia terlalu menginginkan pondok telefon ikonik London untuk dipasang di rumah, namun sangat sukar mencarinya sehingga dia sanggup menghubungi pembekal di London untuk mendapatkannya.

“Semuanya bermula selepas saya pulang dari London tahun lalu. Saya sangat suka dekorasi kota itu yang serba merah dengan hiasan vintage, daripada situ saya mula membeli barang-barang dari sana sedikit demi sedikit,” katanya yang juga gemar mengumpul koleksi patung permainan.

Tidak cukup dengan ruang tamu, dapur, ruang makan serta satu sudut khas yang menempatkan ruang karaoke yang disediakan khas bagi membolehkan Azmira berlatih nyanyian selain menjadi antara ruang yang paling disukai ketika berkumpul dengan rakan-rakan, turut disimbahi warna merah dengan perincian emas.

3 tema warna berbeza

JIKA ruang tingkat bawah menyerlah dengan rona merah dan hitam, berbeza pula di tingkat atas yang menempatkan tiga buah bilik tidur apabila Azmira memilih warna-warna terang seperti hijau, ungu dan biru.

Setiap bilik mewakili tiga tema warna berbeza, namun setiap masih mengekalkan hiasan yang tampak mewah serta disuntik sedikit elemen glamor dengan penggunaan cermin besar dan warna perabot metalik.

Berani memilih warna yang bukan biasa menjadi pilihan untuk bilik tidur, kamar utama disirami dengan rona ungu gelap dan perabot mewah, yang diperincikan dengan warna metalik perak selain menggunakan hiasan cermin di dinding untuk efek luas.

Selain itu, cenderamata kristal yang diperoleh dari pemberian kerabat istana ketika membuat persembahan di Brunei turut memenuhi ruang kamar beradu itu, membuatkan ia tampak ‘mahal’.

Menjenguk di kamar kedua, Azmira memilih tema biru terang sebagai latar di seluruh ruang termasuk kertas dinding, kerusi, karpet, katil dan cadar, sekali gus memberikan mood yang sangat mendamaikan.

Melangkah pula ke bilik ketiga, mata seakan berasa segar dek rona hijau pucuk pisang memenuhi ruang beradu.

Bilik ini turut menjadi pilihan untuk dia bersantai bagi menenangkan fikiran.

Jelasnya, bilik berkenaan menjadi antara bilik yang paling digemari kerana lengkap dengan televisyen dan meja yang dihias sama seperti bilik hotel.

Ketiga-tiga kamar beradu berkenaan diberi penataan cahaya yang cukup baik selain menyuntik elemen ala Victoria yang memberikan ruang itu kelihatan moden dan mewah.

Satu lagi 'keajiban' jari-jemari anak muda ini apabila dapur yang sempit bijak diberi susun atur sehingga kelihatan sangat kemas dan tidak menyakitkan mata, walaupun menggunakan kertas dinding yang sedikit sarat.

Mengakui rumah yang telah diduduki selama tiga tahun itu, baru sahaja dihias tahun lalu dan dia tidak kisah berhabis untuk mengindahkan kediamannya.

“Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan saya perlukan rumah yang tidak membosankan untuk bersantai.

"Saya juga mendisiplinkan diri dengan sentiasa memastikan rumah dalam keadaan kemas dan bersih. Setiap dua minggu sekali saya akan upah orang membersihkan habuk di seluruh rumah.

“Saya mengaku, ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk menghias rumah ini dan saya tidak akan berhenti untuk terus menghiasnya sehingga hati rasa puas,” ujarnya yang turut mengumpul lebih 100 jam dinding unik dan menjadi antara barangan hiasan kesayangannya di rumah itu.