Terdapat ibu bapa yang bertanggungjawab mengambil langkah mengehadkan tempoh penggunaan atau menetapkan mod kawalan ibu bapa (parental control) untuk mengawal anak-anak dalam penggunaan telefon pintar.

Namun, mereka sendiri terlupa untuk melihat dan mengawal diri dalam penggunaan perkakas elektronik tersebut.

Apa perasaan jika bercakap dengan seseorang tetapi orang tersebut tidak layan? Tentu kita akan berasa marah dan geram, begitu juga kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Hazhari Ismail, kanak-kanak tidak pandai menunjukkan rasa geram seperti orang dewasa.

Namun mereka akan melepaskan perasaan itu dengan menunjukkan tingkah laku berlebihan seperti merengek (whining), mengamuk (tantrum), merajuk, hiperaktif dan sebagainya.

Prof. Brandon T. McDaniel dari Universiti Illinois State telah mewujudkan terma technoference kira-kira lima tahun lalu semasa telefon pintar berada di permulaan kemuncak penggunaan.

Situasi itu telah membunuh hubungan dan interaksi bersemuka (face-to-face) sesama manusia terutama interaksi antara keluarga.

Hasil kajiannya menunjukkan penggunaan teknologi bukan sahaja bersifat langsung seperti kesan terhadap kanak-kanak yang menggunakan gajet, tetapi juga bersifat tidak langsung iaitu bagaimana interaksi ibu bapa dan anak menjadi terbatas dek penggunaan teknologi yang berlebihan dan tidak terkawal.

“Apabila di meja makan, si ayah sibuk melihat emel kerja atau melayari internet. Di taman permainan, si ibu pula begitu asyik membeli barangan secara atas talian. Ketika menonton televisyen bersama anak pun, ibu bapa masih sibuk menatap Facebook, membaca gosip dan melihat gambar-gambar terkini.

“Technoference mencadangkan gangguan penggunaan teknologi tanpa mengira masa lebih-lebih lagi apabila bersama keluarga. Ia sudah lama ada sejak kewujudan televisyen, tetapi masih boleh dikawal berbanding penggunaan telefon pintar,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.

Ketika di rumah misalnya, ibu bapa sepatutnya memberi perhatian lebih kepada anak-anak, namun kerana ketaksuban terhadap telefon pintar, anak-anak sanggup diketepikan.

Dengan kata lain, Hazhari yang turut menulis buku berjudul Bukan Generasi Remote Control berkata, technoference mengganggu kualiti keibubapaan dan memberi impak yang negatif kepada tingkah laku anak-anak.

Sekiranya ibu bapa berfikir bahawa memberikan telefon bimbit atau tablet kepada anak-anak sudah memadai dan memenuhi keperluan, maka tanggapan itu sebenarnya salah, malah mendatangkan lebih kemudaratan.

Keperluan anak-anak bukan bersifat material semata-mata, sebaliknya perlu dihadirkan bersama perhatian dan kasih sayang.

Craig Palsson dari Universiti Yale dalam kajiannya berjudul Smartphones and Child Injuries menunjukkan terdapat peningkatan kecederaan kanak-kanak di taman permainan walaupun dengan kehadiran ibu bapa.

Apabila diselidik, puncanya disebabkan kurangnya pengawasan ibu bapa dan sikap mereka yang tidak endah ketika anak bermain.

“Bawa anak ke taman permainan itu sudah bagus. Tetapi yang memburukkan keadaan adalah ibu bapa langsung tidak memerhati anak mereka, sebaliknya sibuk melayari internet. Lebih teruk, mereka langsung tidak berasa bersalah!

“Saya teringat iklan Petronas pada 2007 tentang kesabaran seorang bapa melayan kerenah anaknya yang bertanyakan ‘Ini burung apa?’. Si ayah tanpa jemu menjawab ‘burung murai’ walaupun ditanya berkali-kali.

“Mungkin pada hari ini, iklan itu tidak lagi relevan dan si ayah atau ibu akan meninggalkan anak-anak mereka dalam keadaan terpinga-pinga,” katanya.