Terimalah kejadian dan peristiwa ini sebagai tanda kasih Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih dan yakinlah ada ganjaran bakal menanti kelak, insya-Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Insyiraah, ayat 5 dan 6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan), bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Dalam surah ini dua kali Allah mengulangi ayat `tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan’ sebagai penegasan dan kesungguhan-Nya. Oleh itu yakini janji Allah bahawa Allah adalah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Insya-Allah dengan kesabaran dan keredaan, kita akan tenang ketika berhadapan sebarang musibah.

Begitulah halnya dengan kematian. Tiada seorang pun tahu bilakah ajalnya dan di mana seseorang itu akan meninggal dunia. Tentang rezeki pula, dalam Islam ia adalah ketentuan Allah Yang Maha Pemurah lagi Maya Penyayang. Atas kekuasaan-Nya, rezeki itu pasti akan datang biarpun ada pelbagai halangan dan rintangan. Jika tidak, itu maknanya belum ada rezeki.

Dalam pada itu konsep pemikiran ‘Reset Minda’ ialah sains kehidupan yang mengikut sunatullah, iaitu dengan penuh keyakinan dan kepercayaan bahawa tiap-tiap kejadian adalah di bawah ketentuan-Nya. ‘Reset Minda’ memandu individu bagaimana untuk mengubah cara berfikir terhadap setiap yang berlaku. Hal ini adalah kerana kehidupan itu bergantung kepada apa yang difikirkan oleh minda. Minda inilah yang menentukan tindakan hidup kita, sama ada positif atau negatif. Justeru, seseorang itu perlu bijak menggunakan minda untuk mengawal ‘pilihan, keputusan dan tindakan’ yang mana kesemuanya itu menjadi penentu kepada hasil kehidupan (ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan).

`Reset Minda’ juga memandu individu bagaimana untuk mengubah cara berfikir atas setiap kejadian atau peristiwa. Caranya ada dua. Pertama, syukur. Seandainya kita diberi oleh Allah peristiwa yang menggembirakan, bersyukurlah kepada-Nya dan sedarlah bahawa apa yang diperoleh itu bukan kerana kehebatan kita tetapi kerana kehebatan Allah SWT yang memberi keizinan. Kedua, reda. Jika diuji dengan kejadian dan peristiwa sedih, kita sabar dan reda. Terimalah ia sebagai ujian daripada Allah. Orang yang bermasalah ialah mereka yang tidak celik mata hati. Maka semua yang berlaku akan menjadi masalah. Namun orang beriman akan melihat dengan mata hati. Melaluinya seseorang itu akan melihat sesuatu peristiwa negatif sebagai peluang memperbaiki diri dan tidak akan menyalahkan sesiapa.

Memandang sesuatu kejadian sama ada yang baik atau buruk, yang positif atau negatif diterima dengan rasa syukur serta reda, pasti akan menjadikan kita sebagai seorang hamba-Nya yang pasrah atas segala takdir. Contohnya jika berlaku kematian yang tidak disangka-sangka dalam kalangan keluarga akibat tragedi, tadbirlah takdir itu dengan dua cara. Pertama, pandanglah kematian itu hanya satu peralihan alam. Hidup ini bermula daripada alam roh kemudian lahir ke dunia. Selepas itu meninggal dunia dan beralih ke alam barzakh sebelum dibangkitkan pada hari kiamat. Terima hakikat di mana bermula dan di mana berakhirnya seorang hamba. Mati bermakna kita hanya berpisah secara jasad dengan jasad. Tetapi hubungan roh dengan roh masih terjalin. Oleh itu doa daripada anak yang soleh amat-amat diharapkan oleh mereka yang telah tiada.

Kedua, ubah cara berfikir dan pandang satu-satu kematian itu dengan melihat betapa bertuahnya mangsa kerana kematian mereka diiringi dengan doa daripada orang yang bersimpati. Ingatlah dan bayangkan mereka yang meninggal dunia dalam sesuatu tragedi, jika dia seorang Islam insya-Allah mati dalam keadaan sempat bertaubat dan sempat mengucap dua kalimah syahadah di saat berhadapan dengan tragedi itu.

Berdoalah agar keluarga yang ditinggal akan mendapat kekuatan fizikal dan rohani serta diberikan iman yang mantap. Sememangnya kesan kehilangan orang yang disayangi secara mengejut dan tidak disangka-sangka ini akan meninggalkan kesan negatif dan kemurungan berpanjangan. Berbanding mereka yang sakit terlantar berbulan-bulan biasanya keluarga telah bersedia untuk menerima hakikat bahawa mereka akan kehilangan orang yang tersayang.

Apapun dalam hidup ini kita perlu sentiasa berbuat baik dan memberikan manfaat kepada orang lain. Selagi ada hayat marilah kita menyayangi dan menghargai antara satu sama lain. Apatah lagi kepada orang yang banyak berjasa, orang yang rapat dan penting dalam hidup kita. Bermurah hatilah untuk sentiasa memberikan senyuman, mengucapkan sayang, berterima kasih, menghargai, serta jauhkan sama sekali berdendam, berdengki, berprasangka buruk dan berperasaan negatif terhadap sesama insan.

Pandanglah dengan ‘mata hati’. Kita mesti beriman, yakin dan percaya bahawa Allah hanya memberi ujian untuk orang terpilih sahaja. Yakni orang yang Dia sayang, supaya semakin rapat dengan-Nya. Allah tahu adakah hamba-Nya itu mampu menanggung ujian atau tidak? Dan Allah tidak akan mungkir janji bahawa selepas kegelapan ada cahaya yang menanti. Ketakwaan merupakan cara terbaik untuk mentadbir takdir Ilahi. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.