Itu antara luahan kesedihan seorang ibu tunggal yang tabah menghadapi dugaan hidup yang mendatang bersama tiga cahaya mata tercinta.

Bukan semua insan mampu bertahan untuk mengharungi detik-detik kesedihan yang mencabar dalam hidup apabila diuji dengan penyakit dan masalah kewangan yang teruk sehingga tidak terdaya lagi.

Air mata yang mengalir di pipi kadangkala menjadi peneman setia bagi mereka yang kurang bernasib baik untuk meluahkan segala keperitan yang dilalui dengan harapan mampu melegakan kesedihan hati.

Kadangkala hidup ini bukanlah mudah seperti disangka. Setiap insan yang hidup di dunia ini sudah pasti akan diuji bagi melihat sejauh mana ketabahan dan keimanan dalam mengharungi cabaran.

Namun, ujian dan dugaan bukanlah suatu permasalahan besar, sebaliknya cabaran terbesar yang akan dilalui oleh setiap insan adalah bagaimana mereka mengendalikan setiap yang berlaku dengan cara tersendiri.

Itulah yang diakui oleh seorang pesakit kanser rahim tahap empat, Idayu Mohamad, 44, mengenai keperitan hidup yang dilaluinya sebagai seorang ibu tunggal yang perlu menyara tiga orang anak.

Meskipun menderita penyakit kritikal, beliau tabah menerima hakikat hidupnya dan tidak mahu berdiam diri tanpa melakukan sesuatu untuk menyara keluarga. Justeru, beliau sanggup membuat kuih untuk menyara kehidupan diri dan anak-anak.

Menurutnya, dengan membuat dan menjual kuih, sekurang-kurangnya ia mampu menjadi sebahagian terapi untuk meredakan hati yang sedih dan menggembirakan diri dengan berjumpa orang ramai.

“Saya belajar membuat kuih daripada arwah nenek ketika berusia 11 tahun. Ketika itu, nenek meniaga kuih secara kecil-kecilan.

“Ibu bapa menyerahkan tanggungjawab memelihara saya kepada nenek dan baru tahun lalu, saya berjaya menjejaki ibu saya melalui Facebook,” katanya.

Ibu tunggal yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran itu juga menceritakan keperitan hidup yang dilalui selepas perkahwinan pertamanya menghadapi kegagalan.

Dia ditinggalkan sehelai sepinggang tanpa sebarang nafkah selepas bercerai dan terpaksa menumpang di rumah saudara untuk berteduh sebelum dihalau keluar oleh ibu saudaranya pula.

“Saya dihalau sehelai sepinggang, mungkin kerana saya hidup susah, jadi saya dibenci oleh ibu saudara saya, sedangkan saya ini adalah darah dagingnya juga.

“Selepas itu, saya dan anak anak terpaksa merempat di dalam sebuah stor di pasar selama enam bulan sebelum dapat menyewa sebuah rumah di PPR Salak Selatan,” katanya.

IDAYU MOHAMAD memeluk dan mencium anaknya, Muhammad Iman Danish dengan penuh mesra.
IDAYU MOHAMAD memeluk dan mencium anaknya, Muhammad Iman Danish dengan penuh mesra.

Anak-anak sumber kekuatan

Selepas perkahwinan pertamanya menghadapi kegagalan, Idayu bertemu jodoh dengan seorang lelaki lain yang dikatakan ingin menjaga dirinya dan anak-anak.

Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tidak disangka suami tercinta enggan berkongsi penderitaan yang ditanggungnya.

Menurut ibu tunggal itu, suami daripada perkahwinan kedua meninggalkannya dan anak-anak selepas mendapat tahu dirinya disahkan menghidap kanser rahim tahap empat pada Oktober tahun lalu.

“Suami melarikan diri dari rumah dan terus menyertai kelab cari jodoh di laman sosial dan baru-baru ini, dia mengirim kad kahwin kepada saya.

“Saya reda dan terima setiap dugaan yang menimpa diri. Saya perlu kuat demi anak-anak kerana mereka segalanya bagi saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Idayu memberitahu bahawa dia yang mampu bertahan sehingga kini mendapat sokongan daripada anak-anak untuk terus bersemangat dalam menghadapi dugaan hidup.

Memiliki dua anak lelaki dan seorang anak perempuan, katanya, anak lelakinya yang berusia 19 tahun sudah mula bekerja di kilang bagi membantu meringankan beban ibunya.

“Saya bersyukur anak-anak sentiasa bersama saya, susah dan senang dan sangat memahami segala dugaan yang melanda diri ini,” katanya sayu sambil mengelap air mata yang tumpah di pipinya.

IDAYU MOHAMAD, menunjukkan saluran tiub tempat memasukkan susu ke hidungnya.
IDAYU MOHAMAD, menunjukkan saluran tiub tempat memasukkan susu ke hidungnya.

Tabah jalani rawatan kimoterapi

Selepas menjalani pelbagai sesi rawatan radioterapi di Hospital Canselor Tunku Mukhriz UKM (HCTM), Idayu kini perlu meneruskan rawatan kimoterapi bagi melawan penyakit kanser yang menyerangnya.

Badannya akan menjadi lemah sebaik sahaja selesai menjalani rawatan kimoterapi. Rawatan itu perlu dijalani sebanyak sekali dalam setiap tiga minggu untuk memastikan kanser tidak merebak ke bahagian lain.

Sebelum ini, sel-sel kanser telah menutup saluran pernafasan dan usus sehingga Idayu tidak boleh makan seperti sedia kala, sebaliknya hanya bergantung kepada susu khas sahaja.

Menurutnya, selepas menjalani rawatan kimoterapi, beliau akan mengalami simptom seperti sakit kepala, muntah dan tidak boleh makan sehingga memaksa dirinya berhenti berniaga seketika.

“Buat masa ini, saya tidak lagi berniaga kuih di sekitar rumah kerana saya terpaksa berehat selepas menjalani rawatan kemoterapi.

“Bagaimanapun, saya masih lagi menerima tempahan kuih daripada orang ramai. Itulah sahaja sumber rezeki saya buat masa sekarang,”katanya.

Idayu berharap dapat meniaga kuih seperti biasa sebaik sahaja kesihatannya semakin baik.

“Kalau boleh, saya tak mahu terlalu bergantung kepada orang ramai. Saya mahu berusaha sendiri mencari rezeki halal, meskipun tidak banyak, cukuplah untuk kami anak beranak,” katanya yang mengakui apabila tidak lagi meniaga kuih, pendapatannya terjejas kerana hanya meraih rezeki daripada tempahan kuih sahaja,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan, boleh menghubungi Idayu di talian 017-6014731 atau menerusi Public Bank iaitu 6823561404.