Namun kebelakangan ini, kelengkapan seramik menjadi tular dalam sosial media kerana dikatakan kandungan bahan kimianya mampu memudaratkan kesihatan bagi tempoh jangka masa panjang.

Ini termasuk, saduran warna yang terdapat pada dalaman pinggan yang dilihat lebih sesuai menjadi perhiasan semata-mata dan bukan bekas tempat meletakkan makanan.

Menyedari risiko tersebut, pembekal barang hiasan dapur Kitchen Home Outlet, Tengku Isma Rofieza Tengku Iskandar Abu Bakar, menitikberatkan kelengkapan seramik yang mesra pengguna dengan mementingkan kualiti mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan.

“Tidak dinafikan ada barang seramik yang mengandungi campuran tulang binatang, malah membahayakan pengguna sekiranya tidak mengikuti piawaian di atas api dapur atau di dalam ketuhar kerana khuatir berlaku letupan di luar jangkaan,

“Apa yang penting adalah pengeluar kilang barangan seramik yang dipilih mempunyai pengalaman mengeksport barangan seramik terutama ke negara Eropah, yang mempunyai piawaian tinggi terhadap barang-barang seumpama itu.

"Lazimnya, saya membuat penilaian dengan meneliti beberapa kilang seramik dan akhirnya memilih yang terbaik untuk dipasarkan,” katanya ketika ditemui di bilik pameran Kitchen Home Outlet, di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tengku Isma Rofieza berkata, lazimnya kelengkapan seramik dipilih berdasarkan gabungan warna asas dan terang, serta corak menarik yang disukai pelanggan.

Bukan sahaja cantik, malah kebanyakan barangan tersebut tahan lasak dan selamat digunakan dalam suhu yang tinggi.

“Agak mengejutkan apabila terdapat ramai peminat seramik di negara ini, yang gemar mengumpul koleksi sebagai perhiasan dapur atau kegunaan harian.

"Malah, sesetengahnya mengadu sampai tiada tempat untuk meletakkan koleksi seramik mereka dek terlalu banyak yang dikumpul,” katanya.

Memiliki lebih 50 koleksi barangan kelengkapan dan hiasan dapur seramik, dia yakin, setiap pemilihan corak dan kualiti bahan menepati cita rasa pelanggan.

Antaranya, mangkuk dan pinggan pelbagai saiz untuk hidangan makanan, set seramik motif bunga, polkadot dan corak rama-rama yang boleh didapati pada harga serendah RM260 merangkumi empat pinggan makan, empat pinggan pencuci mulut dan empat buah mangkuk.

Terdapat juga barangan dapur seramik lain seperti senduk, ramekin (mangkuk kecil), bekas rempah-ratus, bakul tempat menyimpan telur, mangkuk hidang dan periuk pelbagai saiz.

Set periuk masakan itu diperbuat daripada seramik hitam spodumene dari Australia yang tahan panas sehingga 250 darjah celcius.

Set tersebut mempunyai empat pilihan warna dan corak yang menarik, iaitu bright lemon, apple red, summer bugs dan classy cherry.

“Set periuk ini mula diperkenal pada sambutan Aidilfitri lalu, dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Sehingga sekarang, masih ramai yang bertanya tentang periuk itu, terutama tentang bahan dan ketahanannya.

"Memandangkan saya juga pengguna, saya menyakinkan pelanggan bahawa bukan sahaja selamat digunakan, malah tahap kepanasan tahan lebih lama kerana faktor ketebalannya.

“Selain di kedai, kami barangan kami juga boleh diperoleh secara online. Pelanggan tidak perlu bimbang kerana kami menggunakan bubble wrap yang dipam menggunakan pengepam khas untuk memastikan tiada ruang udara dan mengurangkan kemungkinan barang retak atau pecah,” katanya.

'Ditanya, perancangan masa depan, Tengku Isma Rofieza Fieza, berhasrat mengeluarkan rekaan khas sempena hari raya akan datang.

Selain itu, sedikit demi sedikit dia akan memperkenal barang hiasan ruang tamu seperti pasu bunga, rumput plastik, lampu klasik dan sebagainya, yang pasti bakal dijual dengan harga yang berpatutan.

Tentang seramik di Kitchen Home Outlet

  • Menjual barangan pinggan mangkuk yang dihasilkan untuk pasaran yang besar dan hotel.
  • Sumber produk diambil secara terus daripada pengilang dan ejen, kemungkinan beberapa corak kelihatan unik dan cantik kerana tidak didapati di mana-mana tempat.
  • Biasanya kilang akan menghasilkan barang dalam jumlah yang banyak, justeru terdapat kemungkinan seramik mempunyai kecacatan atau ketidaksempurnaan seperti bintik atau warna tidak sekata.
  • Strukturnya kuat dan tahan lama sesuai digunakan untuk mesin basuh pinggan mangkuk, peti sejuk dan ketuhar.
  • Pinggan mangkuk ini diperbuat daripada seramik yang dieksport ke United Kingdom, Ameriksa Syarikat, Kanada dan Singapura .
  • Tidak berbahaya, tidak beracun dan bebas plumbum.