Rayuan ini datang daripada seorang ibu tua melalui anaknya beliau merayu pihak berkuasa bertindak tegas membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan Felda. Kata Norzehan, ibunya menderita kerana dua orang anaknya jadi penagih lebih 40 tahun lalu. Abang-abangnya sudah berusia lebih 50 tahun.

 

“Asal usul saya anak Felda. Di tempat saya tinggal bukan keluarga kami saja yang bermasalah seperti ini, ada beberapa keluarga lagi juga menghadapi masalah yang sama, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa lagi hendak meminta bantuan. Malah menganggapnya inilah beban yang terpaksa mereka tanggung hinggalah mereka pejam mata nanti.

“Mungkin apa yang saya ceritakan kurang menarik perhatian pembaca, kerana ia bukan kisah masalah rumah tangga, tetapi rasanya kerenah ini juga tak kurang beratnya hingga mengganggu jiwa dan perasaan ibu bapa kami yang terlibat. Namun hasrat saya mahu pembaca sedar bukan ibu bapa mahu anak-anak mereka jadi penagih, tetapi apa yang boleh mereka buat jika keadaan sekeliling telah memerangkap anak-anak mereka sama.

“Saya rasa menjaga ibu bapa yang sakit, atau suami mahupun isteri sakit mahupun anak-anak sakit tidaklah seteruk menjaga anak menagih dadah. Diri bukan sahaja dihantui rasa takut dan cemas, tetapi sentiasa diganggu perasaan bimbang apa yang mungkin akan berlaku pada diri mereka atau ahli keluarga lain ditakdirkan si penagih menjadi agresif, kasar dan ganas.

“Kalau jaga orang sakit, kita cuma perlu bagi dia ubat ikut waktu, pimpin jika sukar berjalan, mandikan kalau tak boleh mandi sendiri, dan buangkan najisnya jika dia tidak mampu bangun lagi. Demikian juga jika kita menjaga anak cacat, kita tahu apa nak buat, apa yang hendak dibersihkan dan tahu macam mana nak layan mereka supaya mengikut kehendak kita.

“Walaupun ada kalanya menjaga anak autisme agak mencabar juga dengan kerenahnya setelah dia remaja, namun itu pun masih boleh kita atasi jika tahu ubat apa yang kita boleh beri jika keadaan terdesak. Dan pujuk anak tadi jika dia perlukan sesuatu. Tetapi berbeza dengan menjaga anak-anak penagih dadah ini. Biasanya dia kasar dan ganas walaupun kepada ibu bapa sendiri, apa lagi dengan adik beradik lain.

“Memang kita tidak perlu jaga si penagih ini sepanjang masa, kita boleh tinggalkan dia jika kita perlu keluar, atau beri dia ubat jika perlu, tetapi ada ketikanya keadaannya berubah menjadikan kita pula takut kepadanya, kerana dia boleh membahayakan diri kita jika kehendaknya tidak dituruti atau dipatuhi.

“Saya bercakap tentang hati dan perasaan emak saya yang terpaksa menjaga dua orang abang saya yang menagih dadah. Saya tak tahu sejak bila dia menagih, tetapi seingat saya, setelah saya bersekolah dia dah mula menagih. Jarak umur saya dengan abang saya ini memang jauh, lebih 15 tahun. Kini setelah usianya mencecah lebih 50 tahun, dia masih menagih dan menyusahkan hidup emak saya lagi dengan meminta duit membeli `barang’ yang dikehendakinya.

“Abang tak mahu tahu kalau emak kata tak ada duit, sebaliknya emak terpaksa cari dan bagi dia duit, sebab emak bimbang keselamatan dirinya. Kerana itu sejak dulu saya tak pernah lihat emak ada pakai barang kemas. Kata emak semua habis emak jualkan untuk jadikan duit. Selagi tak dapat duit selagi itu abang akan bongkar barang dalam rumah untuk cari barang yang dia boleh jual untuk dijadikan duit.

“Memang ada ketikanya mereka bekerja, tetapi mana ada majikan mahu ambil penagih bekerja sepenuh masa. Bukan majikan tak mahu, tetapi penagih ini akan menyusahkan mereka. Contoh dulu abang bekerja, tapi kena buang sebabnya, bila tengah khayal dapat barang yang amat dikehendakinya, dua hari tak boleh bangkit pergi kerja, sebab dah lalok. Dan dia lupa diri. Ada kalanya dia tidur dari pagi sampai esok lagi. Bila bangun tengah hari dia masih belum pulih, termenung sana termenung sini.

“Jadi mana ada majikan nak ambil orang seperti ini bekerja, ialah sehari bekerja dua hari lagi bercuti? Akhirnya bila majikan hentikan dia kerja, dia mintak duit emak untuk beli ‘barang.’ Akhirnya orang macam ini hanya sesuai kerja sendiri atau bantu orang yang perlukan pekerja untuk dua atau tiga hari sahaja. Bermakna dalam sebulan dia cuma bekerja 10 ke 15 hari saja. Jadi mana ada majikan mahu ambil mereka bekerja?

“Itu belum kes kena tangkap polis dan kena masuk penjara atau pusat tahanan. Macam kes abang-abang saya ini, kes keluar masuk penjara dan pusat dah tak boleh nak kira banyaknya, tetapi dia tetap macam tu juga. Kadang kala lebih teruk lagi. Sebenarnya emak dan saya suka jika abang-abang saya ini masuk penjara atau masuk pusat. Sebab bila dia tak ada saya lihat emak lega tak kena ganggu lagi. Tetapi masalahnya, jika masuk penjara untuk beberapa bulan sahaja, lepas itu bila dia keluar dia akan menagih lagi.

“Saya tak tahulah perasaan ibu lain, mungkin penagih di bandar cara hidupnya lebih baik berbanding penagih di kawasan peneroka ini. Kadang-kadang saya rasa pelik juga macam mana dia boleh dapat ‘barang’ sedangkan emak tak bagi duit dan dia tak ada kerja. Kata abang ada tokan bagi free. Tapi takkan bagi free mesti ada sebabnya.

“Saya memang tak percaya, tetapi ramai masyarakat Felda di kampung kami faham bab ini dan mereka seolah-oleh rela benda buruk ini berlaku, yang penting jika anak kena tahan beberapa bulan, selamatlah mereka daripada gangguan dan malam boleh tidur lena.

“Kerana itu saya pun rela jika abang ditahan, emak senang hati, dapat simpan sikit duit pencen ayah, bukan nak bermewah-mewah, tetapi untuk beri kepada abang bila keluar dari pusat nanti. Kata emak dia terpaksa bagi, pertama kerana kesian kedua kerana takut jika anaknya bertindak kasar dan ganas jika tak dapat duit beli ‘barang’

“Abang-abang saya ini dah berkahwin dan sudah ada anak, tetapi mereka masih bergantung hidup dengan emak, abang sulung duduk rumah emak bersama isteri dan dua orang anaknya, sementara seorang lagi sudah bercerai. Isterinya minta cerai sebab tak tahan dengan perangai abang yang suka minta duit, kalau tak dapat duit dia curi apa saja benda yang boleh dijadikan duit. Masalahnya bila bercerai emak pula terpaksa tanggung.

“Emak pernah hantar abang dan isteri balik ke kampung isterinya supaya tidak menagih lagi, tetapi di sana sekali lagi dia menghadapi masalah menagih yang lebih teruk lagi. Bila dah menagih bukan saja dibenci isteri, malah keluarga mentua juga naik benci sebab menyusahkan mereka.

“Saya kesian nasib emak bertahun tahun terpaksa menyara anak menagih dadah ini. Kerana itu saya harap sangat kerajaan dapat membuka lebih banyak lagi pusat pemulihan penagih dadah ini. Jumlah pusat pemulihan sekarang memang tak cukup alasannya terlalu banyak penagih, kerana itu, kini pusat pemulihan dadah swasta lahir macam cendawan tumbuh lepas hujan.

“Ada antara pusat pemulihan swasta mengenakan yuran paling rendah RM700 hingga RM800 sebulan untuk seorang penagih. Kononnya mereka boleh dipulihkan dalam masa setahun. Tetapi yuran tersebut tidak termasuk duit poket penagih, selain pakaian khas untuk bersukan juga mesti diadakan oleh keluarga.

“ Kepada kami keluarga Felda bayaran tersebut terlalu mahal. Kami tak mampu. Jadi kami terpaksalah tanggung masalah yang dibawa oleh penagih ini. Namun harapan kami kerajaan dapat tampung sedikit bayaran tersebut, kerana kerjaan pun tidak mampu bina lebih banyak lagi pusat pemulihan. Bantulah kami demi keselamatan kami.’’ Itu cerita Norzehan yang bimbang dengan nasib ibunya yang sudah tua yang sentiasa bimbangkan keselamatannya.