“Saya seronok masa itu tetapi latihan itu juga menyebabkan saya mengantuk dalam kelas dan tertidur,” seloroh Mohd. Saddam Mohd. Pittli, 27.

Anak kelahiran Perak ini tekad menjadikan sukan sebagai matlamatnya untuk berjaya. Malah, dia menganggap sukan sebagai alternatif kepada gejala tidak sihat dan sebagai satu peluang untuk berbakti kepada keluarganya. Siapa sangka daripada hobi berlari jarak jauh, dia kini aktif dalam acara larian berhalangan (spartan) yang dianggap lebih mencabar.

Mohd. Saddam yang kini bertugas sebagai anggota tentera di Kuala Lumpur mula menjadi perhatian apabila menjuarai acara larian 30 halangan Spartan Race 2016 bagi kategori Beast dengan catatan masa 2 : 09 : 04 di Putrajaya. Lebih membanggakan lagi, Mohd. Saddam berjaya menewaskan 21 peserta dari negara lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk memenangi pertandingan R U Tough Enough Asia Tenggara yang dibawakan oleh KIX Asia.

“Saya mula membabitkan diri dalam acara larian berhalangan sejak pertandingan itu menjadi fenomena empat tahun lalu. Bagi acara R U Tough Enough Asia Tenggara, saya sendiri tidak sangka menjadi juara keseluruhan kerana jadual latihan yang padat. Malah ketika pertandingan, saya sebenarnya demam tetapi sudah tertulis saya berjaya masuk ke peringkat akhir,” kata anak keenam daripada 10 beradik ini.

Walaupun masih bekerja tetap, Mohd. Saddam tidak pernah terlepas latihan kerana dia perlu menyertai pertandingan larian setiap minggu dan sasarkan hadiah wang tunai bagi kategori individu.

“Hobi ini dikira sumber pendapatan sampingan saya, selain mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Berkongsi rutin hariannya, Mohd. Saddam akan membuat latihan larian sejauh 25 kilometer (km) setiap hari tanpa gagal pada waktu petang, malam dan sebelum waku subuh selama sejam.

“Ketika bersekolah, saya membuat latihan tiga kali sehari, tetapi apabila hendak beraksi di trek badan mula tidak bermaya. Barulah saya sedar penjagaan masa dan cara pemakanan sangat penting untuk mengekalkan stamina.

“Apapun saya tidaklah terlalu menjaga pemakanan dan mula berpantang jika ada pertandingan saja,” katanya.

Lebih menarik, Mohd. Saddam berkongsi minat yang sama dengan isterinya yang juga pelari jarak jauh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dia sangat memahami aktiviti saya dan tidak merungut walaupun masa saya banyak dihabiskan untuk latihan dan pertandingan. Pun begitu, saya akan membawa isteri dan anak pada setiap pertandingan yang saya sertai sekitar Lembah Klang. Itulah cara saya menghabiskan masa bersama keluarga memandangkan saya sering ke luar negara menyertai pertandingan. Selain isteri, dua lagi adik lelaki saya menjadi pendorong dan rakan latihan saya. Kadang kala kami menyertai pertandingan yang sama. Dengan itu, saya dapat mengukur kekuatan diri sendiri dan mereka yang menegur perkara yang perlu saya perbaiki,” jelasnya.

Katanya, jika seseorang mahu sampai di tahap yang lebih tinggi jangan mudah berputus asa dan terus berusaha.

“Yang pasti, kejayaan itu tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras” katanya 
lagi.