Tidak dinafikan, ego yang tinggi adalah antara punca keretakan rumah tangga, malah sehingga satu tahap membawa kepada penceraian jika tidak lagi boleh dikendalikan.

Apatah lagi pada hari ini masyarakat bersikap lebih terbuka sehingga memandang remeh isu perceraian.

Bagi mereka, asalkan timbul sahaja isu yang boleh membangkitkan kemarahan dan kebencian terhadap pasangan masing-masing, perceraian adalah jalan keluar.

Si suami dengan egonya yang merasakan dirinya sahaja betul dan boleh mencari pasangan lain, lebih baik sekiranya bercerai.

Si isteri pula tidak kisah diceraikan atau meminta cerai kerana memikirkan mampu menyara diri sendiri, terutama mereka yang bekerjaya.

Tetapi, apakah matlamat perkahwinan sebenar sekiranya ia perlu berakhir dengan penceraian?

Jika perkahwinan diraikan sebagai hari paling gembira dan bersejarah, perceraian sepatutnya dianggap sebagai malapetaka yang besar.

Mega Mimbar mendapatkan pandangan pendakwah, Mohd. Jaafarudin Md. Ali mengulas mengenai isu ego dalam kehidupan berumah tangga.

Menurut beliau yang turut dikenali sebagai Abang Jay dalam segmen #TanyaAbangJay di stesen radio Zayan.FM, ego ibarat sel kanser yang berada dalam setiap tubuh manusia.

Katanya, sel kanser akan menjadi berbahaya jika membiak dan membesar menjadi tumor, begitu juga dengan ego.

Ego jika tidak dikawal, akan menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan diri sehingga tidak lagi mempedulikan perasaan orang lain.

Ego mungkin sering dikaitkan dengan lelaki, namun hakikatnya sifat itu juga ada pada golongan wanita.

Ciri-ciri ego tinggi seperti membesar-besarkan diri, merasakan diri sendiri sahaja yang betul, sombong dan cepat naik marah merupakan sifat mazmumah (buruk) yang membuka ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.

“Syaitan membisikkan kepada kita rasa tidak hormat kepada orang lain, perasaan tidak puas hati kepada pasangan serta rasa tidak bersyukur dengan apa yang ada.

“Kalau ada pasangan yang ego seumpama ini, kita tidak bolehlah turut sama menunjukkan keegoan kita.

“Ibarat api lawan dengan api, maka makin besar api itu jadinya. Begitu juga jika ego bertembung dengan ego, makin besar mudaratnya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Jaafarudin berkata, bagi berdepan dan menangani pasangan yang ego, cara terbaik adalah dengan bersabar sambil mengharapkan agar Allah SWT menundukkan sikap ego tersebut.

Ia sebagaimana yang disebut dalam Surah Yusuf ayat 18: ‘Fasabrun jamil, wallahul musta’an’ iaitu maksudnya: “...Sesungguhnya sabar itu indah, dan kepada Allah sahaja tempat memohon pertolongan...”

Sudah tentu apabila berbicara tentang sabar, ia bukanlah dapat dihadapi dalam tempoh yang singkat.

“Saya berpengalaman melihat sendiri mereka yang bersabar terhadap pasangannya, ada antaranya memakan masa, tujuh sehingga lapan tahun.

“Alhamdulillah, hati pasangan yang penuh dengan kemarahan dan keegoan, akhirnya menjadi lunak dengan kesabaran tersebut.

“Jadi, kita kena bersabar dengan pasangan kita, bawa berbincang. Jika tak boleh selesaikan juga, minta nasihat pihak ketiga yang kita hormati seperti ibu bapa atau kaunselor,” katanya.

RAHSIA KEBAHAGIAAN

Mohd. Jaafarudin yang juga berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) berkata, keluarga bahagia perlu mempunyai tiga ciri utama iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.

Sakinah katanya merujuk kepada ketenangan, ketenteraman, aman atau damai, manakala mawaddah ialah perasaan kasih sayang dan rahmah bermaksud rahmat atau kurniaan rezeki.

Dalam kehidupan berumah tangga tambahnya, perlu ada ketenangan, saling menghormati antara satu sama lain dan sikap bertimbang rasa.

“Suami perlu melihat isteri dengan penuh kasih sayang, begitu juga sebaliknya. Sekiranya perasaan itu wujud, pasti tidak timbul keegoan dalam diri yang akhirnya membawa kemusnahan kepada rumah tangga.

“Manusia mana tidak melakukan kesalahan. Saya sendiri banyak salah silapnya, tunggu masa sahaja untuk Allah buka keaiban saya, Allah mengajar kita bahawa dalam apa sahaja permasalahan, bawalah berbincang.

“Luangkan masa dengan pasangan, sembang-sembang dengan dia mencari penyelesaian. Perkara-perkara seperti ini penting dalam rumah tangga,” katanya.

Ujar Mohd. Jaafarudin lagi, sekiranya perasaan ego muncul dalam diri, banyakkan istighfar atau meminta ampun kepada Allah.

Bertenang dan bersabar merupakan kunci kepada pintu keluar tatkala keegoan mula menguasai diri.

“Bersyukurlah dan hargai pasangan hidup masing-masing. Mana yang tidak baik pada dirinya, doakan semoga Allah beri kebaikan dan mana yang tidak sempurna, moga Allah beri kesempurnaan.

“Insya-Allah tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan tiada isu yang tidak dapat diuruskan.

“Berdoalah kepada Allah supaya dikurniakan kepada kita keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah,” kata beliau.

Mohd. Jaafarudin atau Abang Jay bersiaran di Zayan.fm pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 3.30 petang hingga pukul 4 petang bersama penyampai radio itu, Raqib.

Dalam segmen #TanyaAbangJay, pendengar diberi peluang bertanyakan apa sahaja soalan berkaitan agama dan Abang Jay akan menjawab soalan tersebut.