“Ada juga wanita sudah tahu teman lelakinya ada isteri sudah ada tiga orang anak tetapi dia masih tergila-gilakan lelaki itu hingga sanggup bermadu. Akhirnya hidup merana, bukan sahaja diserang madu tetapi suami langsung tak ambil peduli hingga terpaksa berkerja keras untuk besarkan anak-anak.’’ Itu cerita Maslina kepada penulis.

“Sebenarnya apa yang saya ceritakan di sini tentu orang kata membuka pekung di dada sendiri, tapi kalau tak saya ceritakan kesian lebih ramai wanita bodohkan diri sendiri. Dan lebih penting saya tak mahu menyimpan terlalu banyak cerita sedih ini hingga boleh merosakkan hati dan kesihatan saya. Jadi saya perlu bercerita supaya penderitaan hati yang saya tanggung selama ini boleh berkurangan dan paling penting tidak membawa penyakit pada saya.

“Umur saya sekarang hampir 50 tahun. Masih bekerja, walaupun bukan pegawai besar tetapi saya bersyukur dengan hanya sijil SPM Allah buka banyak pintu rezeki kepada saya, hingga saya boleh bertapak ke tahap lebih tinggi.

“Bukan nak bangga diri, tetapi rasanya saya banyak ambil berat tentang nasib adik- adik setelah emak semakin tua dan tidak berdaya berniaga lagi, jadi saya terpaksa bantu mereka bersekolah dengan sedikit sebanyak duit gaji yang saya ada.

“Bermula dengan kerani dan dengan gaji itulah saya bantu adik kedua sambung tingkatan enam. Saya bantu bagi sedikit duit makan pada saudara tempat adik tumpang tidur, sebab di kampung tidak ada sekolah menengah tinggi dan bagi duit saku untuk tambang bas dan makan adik.

“Lepas STPM nak masuk U pulak, lagi banyak duit diperlukan, saya bantu juga, lepas dapat pinjaman legalah sikit, tetapi adik lelaki ketiga nak masuk asrama penuh, kena bantu bagi duit saku, begitu juga adik lelaki keempat. Semua saya bantu setakat mampu.

“Lepas beberapa tahun, masing masing berjaya dapat kerja yang bagus juga, tinggalkan adik bongsu perempuan yang saya kira lebih banyak merasa kemewahan yang dia dapat berbanding kami. Sebab kami beri emak duit setiap bulan sudah pasti emak beri banyak kemewahan pada anak bongsunya.

“Bukan cemburu, tetapi kalau terlebih mewah banyak buruk daripada baik akan terjadi kerana budak remaja belum kenal erti susah dan senang apa lagi dengan lelaki putar alam dunia yang banyak pancarobanya.

“Masalah adik-beradik masa belajar boleh saya atasi, tetapi apabila sudah berkahwin dengan pasangan masing masing, cara hidup mula berbeza, bukan kerana kemewahan yang dikecapi, tetapi campuran daripada pasangan kami yang mempunyai fahaman dan pemikiran yang berbeza, bukan sahaja cara hidup, tetapi cara mendidik anak.

“Saya tak mahu ceritakan masalah mendidik anak kerana masing-masing ada cara berbeza tetapi saya ingin bercerita tentang hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mungkin kerana campur tangan atau fahaman pasangan masing-masing yang menggugat silaturahim sesama kami adik-beradik. Akibatnya hubungan kami adik-beradik menjadi hambar.

“Contoh, adik perempuan kedua yang kami panggil Kak Mis. Setelah berkahwin dan ada anak dia jadi semakin jauh dengan keluarga. Dia bukan lagi tempat saya berbual dan berbincang masalah adik-beradik dan saudara mara. Hinggakan adik lelaki kami kahwin pun dia tak balik, alasan banyak kerja.

“Memang dia beri emak duit setiap bulan tak banyak RM50 sahaja. Alasannya dia ada banyak tanggungjawab. Jadi, dia memang tak mahu bantu kalau adik-adik nak kahwin atau kami perlukan duit tambahan untuk baiki rumah emak yang uzur.

“Demikian juga halnya dengan adik lelaki kami Mal. Lepas kahwin susah nak tengok muka, setiap tahun balik beraya ke rumah keluarga isterinya, alasannya kampungnya jauh emaknya selalu sakit-sakit, jadi dia perlu balik ke kampung isterinya.

“Perangai Mal terlalu ikut cakap isterinya hingga kami tak tahu bila isterinya bersalin. Lagi pelik kami tak tahu mana rumahnya. Pernah bagi alamat tetapi kami tak jumpa. Kalau nak bercakap dengan adik selalunya di pejabatnya sahaja. Setiap kali saya dan keluarga hendak ke rumahnya, jawapannya dia tak ada kerana balik kampung. Jadi kalau memanjang tak ada rumah lama-lama saya pun malas nak telefon dia.

“Adik lelaki kami nama Mazen pula sering tak berduit nak ke kedai beli barang makanan. Bila balik kampung tunggu emak hulur duit baru dia beli barang makan. Emak sering mengeluh mengapa Mazen sering tak berduit.

“Saya pun tak faham masalah Mazen. Nak kata hisap ganja atau dadah tak mungkin. Tetapi kami syak dia kaki judi. Sebab itu sering tak berduit. Isteri bekerja, tetapi dia sendiri tak ada kuasa uruskan keluarga. Semua tunggu Mazen uruskan. Bukan dia tak tahu pergi kedai, tetapi gajinya setiap bulan Mazen pegang untuk beli makan minum keluarga, sebab Mazen berjudi.

Apapun perangai wanita paling teruk adalah milik adik perempuan bongsu saya, Mazni namanya. Sekolah malas, masuk kolej hancus. Kahwin pulak dengan suami orang. Masa bercinta memang semuanya baik tetapi bila kisah terbongkar baru tahu langit tinggi rendah. Berapa lama nak sorok masalah kahwin lari, akhirnya terbongkar juga.

“Sebenarnya kami tak tahu bila Mazni kahwin. Tau-tau terima surat dari kolej dia tak belajar lagi. Setelah disiasat baru tau. Tapi nak buat macam mana dia dah nikah. Kami paksa daftarkan perkahwinannya di negara ini. Memanglah jantan tu tak mahu, tapi kami paksa Mazni sendiri daftar, walaupun dia takut, tetapi dia terpaksa buat juga demi masa depannya.

“Paling sedih belum kahwin hidup Mazni mewah, emak bagi segalanya. Sudah kahwin dan beranak baru dia tahu seksanya hidup bermadu kerana suami takut isteri tua. Kerana suami tak pedulikan Mazni, emak suruh balik kampung dia malu.

“Dipendekkan cerita walaupun sering kena serang oleh madu dan suami tak pedulikan, tapi lahir juga dua orang anak. Bertambah beban Mazni. Emak terpaksa bantu, pastilah dengan duit tabungan emak yang kami beri setiap bulan, tetapi sampai bila? kalau emak mati sapa nak tanggung?

“Lebih menyakitkan telinga, emak pesan pada saya:“Kalau emak pendek umur kau tengok tengokkanlah si Mazni tu, kesian dia susah.” Kenapa pesan pada saya. Kan emak ada dua orang anak lelaki.

“Semasa hayatnya emak duduk dengan saya. Saya pernah suruh Mazni balik kampung jaga rumah pusaka emak tetapi Mazni enggan. Katanya tak mahu berpisah jauh dengan suaminya. Inilah jenis wanita tak sedar diri. Dihina pun masih nak tunggu suami. Kalau begini hidup bermadu lebih baik tak payah bersuami. Tetapi peliknya ada perempuan bodoh macam Mazni sanggup ditipu dan tunduk pada suami. Sambil mengharap saudara mara membantu.

“Apa yang saya ceritakan, inilah perangai wanita, kalau hidupnya senang dia sombong. Ada wanita suka control suami. Ada pulak sanggup diperbodohkan suami kaki judi. Lebih teruk lagi sanggup bermadu semata-mata kerana cinta.’’ Ini cerita Maslina tentang empat perangai wanita yang tak makan ajar dan suka dibodohkan oleh suami. Yang ada dalam keluarganya yang banyak menyusahkan hati emaknya.