Manakan tidak, wajahnya berjaya 'ditranformasikan' oleh juru solek berpengalaman, Afidah Khamis.

Walaupun ringkas nyata solekan tersebut menaikkan lagi seri wajah pengantin bagaikan tidak jemu dipandang.

Menurut Afidah, 37, solekan untuk majlis pernikahan antara Ainul Farha dengan pasangannya Rizai Ali merupakan solekan yang nipis dan neutral.

Ini kerana jelas Afidah, Ainul Farha tidak mengalami sebarang masalah pada kulit mukanya sekali gus solekan yang nipis dan neutral menjadikannya semakin manis.

''Untuk menyolek Ainul tidak susah kerana kulit mukanya tidak menghadapi sebarang masalah.

''Solekan yang nipis sebenarnya sesuai untuk majlis akad nikah di mana ia tidak memerlukan solekan yang tebal serta berat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bukan itu sahaja malah apabila hari persandingan, Ainul Farha sekali lagi menjadi tumpuan apabila solekan yang dirias ternyata menjadikannya umpama seorang puteri.

Kali ini, Afidah memberikan penekanan kepada mata Ainul Farha yang diberikan warna kontra untuk menyerlahkan lagi penampilannya dengan warna baju yang lembut.

''Untuk majlis persandingan pula, saya menggunakan warna cerah tetapi lebihkan sikit untuk menonjolkan mata Ainul Farha yang galak.

''Ainul Farha bukan sahaja mempunyai kulit yang cantik malah dia juga memiliki sepasang mata dan bulu kening yang cantik,'' katanya.

Solekan tersebut nyata melengkapkan penampilan pengantin yang anggun mengenakan persalinan kebaya labuh rekaan T & T Boutique.

Padanan fabrik songket rona merah jambu dengan renda Perancis putih cukup serasi dengan pasangan pengantin muda ini lebih-lebih lagi ketika duduk di pelaminan rekaan Azmi Osman dari Orked Art & Decoration.

Apa pun majlis perkahwinan tidak mungkin berjalan lancar tanpa sajian makanan yang diuruskan Mastar Catering diketuai oleh pemiliknya sendiri, Mastar Muni.

Syarikat katering tersebut turut bertanggungjawab menyediakan tujuh buah khemah yang berhias cantik bertemakan putih dan merah jambu.

Menyediakan hidangan secara layan diri, nasi minyak dan nasi putih beras wangi disediakan di dalam bekas kayu yang dikukus.

Secara tidak langsung ia memberi kelainan di samping lauk pauk yang turut disediakan secara segar di rumah pengantin perempuan.

"Untuk majlis ini saya menggunakan lebih 150 kilogram beras dan 180 kilogram daging selain bahan-bahan segar lain," katanya.

Ayam goreng berempah ala-carte, daging rendang ala Mastar, dalca sayur, acar jelatah, hirisan buah, pecal jawa, masak lemak cili api kulit lembu serta bubur kacang durian merupakan menu yang disediakan.

Bukan sahaja memenuhi cita rasa penduduk kampung, menu-menu tersebut juga dihidangkan panas-panas untuk dinikmati.

Pada masa yang sama, tidak lengkap rasanya menjadi raja sehari tidak mengabadikan sebarang kenangan dalam bentuk gambar bercetak.

Untuk itu, Picture Elements telah dipertanggungjawabkan untuk mengabadikan setiap 'gerakan' yang berlaku sepanjang majlis pernikahan hinggalah majlis persandingan.

Menurut salah seorang pemilik syarikat tersebut, Azmin Ngah Ibrahim, tugas beliau adalah untuk mengambil gambar pengantin sebanyak mungkin untuk dijadikan album gambar.

''Tugas kami adalah untuk mengambil gambar pengantin sebanyak mungkin agar senang untuk membuat pemilihan.

''Yang pasti segala kenangan tersebut akan diabadikan di dalam photo book untuk kenangan selama-lamanya,'' katanya.

Beliau yang sememangnya meminati bidang fotografi sejak dari kecil lagi meletakkan standard agar sekurang-kurangnya dua jurugambar dari Picture Elements ditugaskan lebih-lebih lagi untuk majlis perkahwinan.

Ini supaya tidak ada detik-detik penting terlepas dalam kekecohan dan kemeriahan majlis yang dihebohkan lagi dengan kehadiran sanak saudara serta rakan-rakan lama.

Kemeriahan majlis perkahwinan tanpa kehadiran juruhebah dan sistem pembesar suara yang disediakan oleh DSayang Entertainment yang diketuai sendiri oleh pemiliknya, Adi

Penaja lain dalam peraduan yang tidak kurang pentingnya seperti CJ Print,

syokkahwin.com, Rumah Acara, Kampung Pengantin dan Maeps. - mariatul qatiah zakaria dan zuhayati yazid