Dalam pada itu sesiapa yang berkunjung Alor Setar tidak sah jika tidak pergi ke Kompleks Pekan Rabu iaitu ikonik pelancongan Kedah. Di sana ikan pekasam adalah antara bahan yang men­­jadi daya penarik dalam kala­ngan pengunjung. Memang tidak dinafikan ikan pekasam yang di jual di Pekan Rabu sering mendapat sambutan ramai. Keunikan rasanya telah menjadikan ikan pekasam Pekan Rabu bukan sahaja men­jadi pilihan pelanggan dari Kedah malah ada yang sanggup datang dari negeri lain semata-mata untuk menikmati makanan terkenal di Kedah itu.

Bukan itu sahaja, kompleks yang menjadi tarikan utama pelancong ke Kedah sejak sekian lama turut menjual kuih muih, pakaian tradisional, songkok, hasil kraftangan tempatan, kitab serta produk industri kecil dan sederhana .

Pekan Rabu bermula sebagai pasar mingguan yang beroperasi dengan beratap nipah.Kemudian telah berkembang menjadi arked bertingkat yang menjual pelbagai jenis produk dan barangan.

Pekan Rabu diasaskan oleh Almarhum Tunku Yaacob Almarhum Sultan Abdul Hamid pada 1920 di tepi Sungai Kedah berdekatan Tanjong Chali yang pada asalnya beroperasi pada hari Rabu sahaja. Namun bermula 1932, Pekan Rabu dipindahkan ke Jalan Tunku Ibrahim dan beroperasi setiap hari selepas Perang Dunia Kedua.

Pekan Rabu adalah salah satu tempat terbaik untuk menda­patkan makanan tradisi­onal Melayu Kedah seperti serunding, dodol durian, kuah rojak dan garam belacan. Kompleks membeli-belah ini menjadi kebanggaan masyarakat Melayu di Kedah terutama dalam usaha menggalakkan mereka bergiat aktif dalam perniagaan.

Dibuka dari pukul 8 pagi hingga 9 malam setiap hari, Pekan Rabu turut dibuka pada hari cuti umum dan musim perayaan. Kembali beroperasi dengan wajah baharu bermula Februari tahun lalu selepas melalui proses pembangunan semula selama empat tahun, ciri-ciri keunikan konsep asal Pekan Rabu terus dikekalkan sesuai dengan imejnya sebagai ikonik pelancongan Kedah.

Bangunan baharu ini berkeluasan 9,344 meter persegi dan mempunyai 355 ruang niaga termasuk kios serta 24 buah kedai makan. Bangunan empat tingkat itu turut menyediakan kemudahan parkir bawah tanah iaitu 203 unit ruang parkir kereta serta 118 parkir motosikal untuk kemudahan peniaga dan pengunjung.

* Pembaca boleh menyumbang artikel destinasi kepada [email protected]