Matlamat permainan kanonikal ini adalah untuk memasukkan suatu digit bernombor dari satu hingga sembilan dalam satu sel grid 9X9 dengan subgrid 3X3 yang dipanggil ‘kawasan’.

Bermula dengan beberapa nombor diberi dalam sesetengah sel lain, setiap sel dan kawasan hanya boleh mempunyai sekali sahaja suatu nombor digit dari angka satu hingga sembilan.

Untuk menamatkan permainan ini memerlukan kesabaran dan kemahiran berfikir secara logik.

Walaupun permainan ‘Number Place’ mula diterbitkan pada tahun 1979, ia mula mendapat jolokan nama dari bahasa Jepun pada tahun 1986 dan digunakan secara besar-besaran di peringkat antarabangsa pada tahun 2005.

Sejak diterbitkan dalam Majalah Sudoku Scramblets dimiliki Penny Press dan Sudoku Word milik Knight Features Syndicate sejak tahun 1979, permainan matematik ini sudah diterbitkan oleh banyak syarikat penerbitan di seluruh dunia.

Daya tarikan permainan ini adalah kemudahan peraturannya untuk menyudahkannya tetapi kesusahan daya logik yang diperlukan adalah cabaran utama untuk menghabiskan keseluruhan permainan.

Sudoku disyorkan oleh sesetengah guru untuk meningkatkan kebolehan seseorang pelajar dalam pemikiran dan penyelesaian masalah secara logik.

Permainan ini seringkali didatangkan percuma dalam sumber-sumber media seperti surat khabar dan juga boleh dicipta oleh program aplikasi komputer yang khusus bagi tujuan ini.

Sementara itu, sudoku bukanlah permainan yang asing di Malaysia malah popularitinya juga tidak dapat disangkal lagi apabila sebanyak 220 peserta dari seluruh negara menyertai Kejohanan Sudoku Malaysia Keenam yang dianjurkan Persatuan Sudoku Malaysia di The Summit Subang USJ, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kejohanan sehari itu menampilkan empat kategori pertandingan yang disertai pelbagai peringkat usia dan bangsa serta menawarkan hadiah utama sebanyak RM500. - DHIYA’ZULHILMI DAUD/AZUAR FAHMI MOHD ALI/
SHAHARANI SAIBI