MUHAMMAD IRSYAD ZAINI
MUHAMMAD IRSYAD ZAINI 

Mahasiswa terbabit merupakan peserta program anjuran Sekretariat Sukarelawan UM (SEKRUM) yang dinamakan Voluntourism Abroad yang julung kali diadakan. Program itu

mendapat kerjasama dari Universitas Syiah Kuala, Aceh.

“Program ini unik kerana menggabungkan aspek kesukarelawan dan pelancongan. Secara langsung peserta bukan sahaja menerima manfaat sebagai seorang sukarelawan, malah berpeluang mendekati budaya dan sejarah masyarakat setempat yang dilawati,” kata mahasiswa tahun akhir Fakulti Bahasa dan Linguistik UM merangkap pengarah program

tersebut, Muhammad Irsyad Zaini.

Menariknya, teknik penanaman padi sawah yang diamalkan penduduk Desa Wisata Lubok Sukon adalah secara tradisional dan tidak menggunakan bantuan mesin.

“Saya teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke bendang dan berpeluang mempelajari teknik penanaman padi tradisional masyarakat Aceh yang akan saya kongsikan dengan rakan lain sekembalinya ke Malaysia. Saya juga tertarik dengan peranan wanita sebagai penggerak utama industri penanaman padi di kampung ini,” kata mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains UM yang merupakan peserta program, Nur Afiqah Mohd. Roseli.

AHMAD FAIZ DANISH AHMAD ZAHIRI
AHMAD FAIZ DANISH AHMAD ZAHIRI 

Dalam program itu, peserta telah menghabiskan masa selama hampir lima jam untuk

menanam padi di petak-petak yang disediakan sambil dipantau penduduk kampung.

Sukarelawan perlu menanam padi dalam barisan yang tersusun dengan anggaran jarak 15 sentimeter antara setiap anak pokok padi yang ditanam.

“Walaupun penat namun pengalaman yang ditimba mengatasi segalanya. Saya pasti aktiviti yang dilakukan ini berjaya memupuk kemahiran insaniah dan meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam diri peserta. Secara tidak langsung, program ini membawa mereka selangkah lebih dekat ke arah melahirkan mahasiswa holistik,” kata seorang lagi peserta, Ahmad Faiz Danish Ahmad Zahiri yang merupakan mahasiswa tahun kedua Fakulti Kejuruteraan.

Selain meluangkan masa menanam padi, peserta turut mengambil kesempatan mengunjungi beberapa lokasi di bandar Aceh yang mempunyai tarikan akademik untuk dipelajari.

Antara lokasi yang terpilih adalah Gunongan, Masjid Raya Baiturrahman dan PLTD Apung 1.

NUR AFIQAH MOHD ROSELI
NUR AFIQAH MOHD ROSELI 

“Paling meninggalkan kesan adalah apabila kami berpeluang ke Muzium Tsunami. Di situ kami melihat sendiri gambar dan artifak yang mengingatkan pengunjung mengenai dahsyatnya tragedi yang berlaku pada 2004. Gempa bumi bawah laut di Lautan Hindi telah melumpuhkan Aceh dan kesannya boleh dilihat sehingga kini. Saya percaya keinsafan yang dirasai oleh setiap peserta bakal melahirkan golongan sukarelawan yang baik pada masa akan datang,” kata Muhammad Irsyad.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, S. Ramlee Shamsuddin yang juga penasihat program Voluntourism Abroad berkata, program ini merupakan antara platform terbaik dalam mempersiapkan mahasiswa dengan nilai sukarelawan sebelum bergelar graduan kelak.

“Kaedah pengurusan program secara profesional di peringkat antarabangsa sebegini akan memberikan nilai tambah yang tidak mungkin diperoleh di bilik kuliah. Pembinaan minda terbuka melalui pendekatan budaya dan sejarah masyarakat setempat juga akan membekalkan mereka dengan sifat keterbukaan yang amat diperlukan dalam menjadikan mereka ahli masyarakat yang prihatin pada masa akan datang,” tambahnya.