Apabila wanita didiskriminasi dan dinafikan hak di tempat kerja, mereka mempunyai sedikit atau tiada pilihan langsung bagi mendapatkan keadilan. Nasib mereka tidak dibela dan mereka harus menerima apa-apa keputusan yang telah diberitahu oleh majikan.

Tiada tempat untuk mereka mengadu dan akhirnya mereka terpaksa meninggalkan tempat kerja dengan menyimpan perasaan tidak puas hati di dalam jiwa mereka.

Ramai yang menderita dalam diam, dipaksa meninggalkan pekerjaan mereka dan didesak untuk meletakkan jawatan. Diharapkan dengan wujudnya Akta Kesamarataan Gender, situasi ini akan berubah.

Justeru, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah menggesa kerajaan bagi menetapkan batas waktu untuk pembentangan Akta Kesamarataan Gender yang bertujuan melindungi wanita daripada diskriminasi gender.

Naib Presidennya, Meera Samanther berkata, kerajaan mesti menetapkan batas waktu bagi membentangkan Akta Kesamarataan Gender di Parlimen.

Pertubuhan itu mahukan komitmen yang tegas dan bukan sekadar kata-kata semata-mata.

“Pada November 2016, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah mengumumkan di Parlimen bahawa kementerian beliau sedang bekerja bagi mengusulkan Akta Kesamarataan Gender.

“WAO dan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) telah bekerjasama dengan kerajaan bagi merangka akta tersebut.

“Kini kami mahu mengetahui apakah langkah selanjutnya dan bila ia akan dilaksanakan,” kata Meera semasa berucap pada pelancaran Pameran Seni Wanita Tersisih (Invisible Women) sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell.

Pameran tersebut merupakan sebahagian daripada kempen Wanita Tersisih yang dilancarkan WAO, iaitu satu seruan terhadap orang ramai untuk bersuara terhadap diskriminasi gender dan menyokong Akta Kesamarataan Gender.

Pameran lukisan berkonsep oleh Pia Dhaliwal dan Tan Heang-Lee itu yang menonjolkan kisah-kisah wanita yang mengalami diskriminasi gender.

Tambah Meera, pada tahun 2006, Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa Malaysia untuk menggubal Akta Kesamarataan Gender dan perkara ini ditekankan sekali lagi oleh PBB pada tahun ini.

Malaysia adalah antara negara yang menandatangani CEDAW pada 1995 bagi melindungi ramai wanita yang telah menderita selama ini.

Statistik Kesamarataan Gender

Menurut kajian yang dilakukan oleh WAO pada 2016:

  • 40 peratus wanita hamil yang ditemu ramah pernah mengalami diskriminasi di tempat kerja. Majikan mereka sengaja menyukarkan jawatan mereka, menafikan kenaikan pangkat, memberikan tempoh percubaan yang lama, diberhentikan kerja dan sebagainya.
  • 40 peratus wanita yang ditemu duga untuk sesuatu pekerjaan telah ditanya jika mereka hamil atau mempunyai perancangan untuk hamil pada masa depan.
  • 20 peratus wanita ditolak permohonan kerja atau tawaran kerja dibatalkan selepas mereka memberitahu mereka hamil.
  • 30 peratus wanita sanggup menangguhkan rancangan untuk hamil kerana bimbang kehilangan pekerjaan atau tidak dinaikkan pangkat.
  • Hanya 1 daripada 8 orang wanita, yang hilang pekerjaan atau peluang kenaikan pangkat kerana hamil, membuat aduan rasmi.

Pameran Seni Wanita Tersisih

Pameran Seni Wanita Tersisih (Invisible Women) adalah hasil kerjasama di antara Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Leo Burnet, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai diskriminasi yang dihadapi wanita hamil dan ibu-ibu bekerja di tempat kerja.

Pada masa ini, wanita yang bekerja di sektor swasta tidak mempunyai perlindungan terhadap diskriminasi.

WAO ingin mengubah situasi ini dengan bekerjasama bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menggubal Akta Kesamarataan Gender.

Pameran ini memperlihat watak wanita yang tidak gembira di tempat kerja disebabkan oleh diskriminasi, sementara satu watak lagi wanita yang tidak boleh bekerja setelah mengambil keputusan untuk menjaga anak dan tidak diberikan peluang untuk kembali bekerja.

Pameran berlangsung dari 8 Mac hingga 18 Mac 2018 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di White Box Theatre, Publika, Kuala Lumpur.