Kini, sama ada musim perayaan atau tidak, suri rumah berusia 55 tahun itu sentiasa sibuk memenuhi tempahan pelanggan.

Segalanya bermula selepas anaknya, Abdul Hadi Ahamad, 27, menikmati nian gao yang dihidangkan ketika mengunjungi rumah rakannya, Louis Yuen Shen, 27, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kira-kira lapan tahun lalu.

Itulah pertama kali Abdul Hadi menjamah kuih bakul. Dia mendapati kuih manis yang agak kenyal itu sangat enak. Bagaimanapun, dia sedikit kecewa apabila mengetahui bahawa kuih itu ‘bermusim’ dan hanya boleh didapati ketika Tahun Baharu Cina.

Oleh kerana terlalu inginkan kuih bakul dan tahu bahawa ibunya gemar memasak makanan tradisional, Abdul Hadi mencadangkan agar ibunya ‘berguru’ dengan nenek Louis.

“Dua tahun lalu, kami berdua ke rumah Louis untuk mempelajari cara-cara memasak kuih bakul. Tak sangka resipinya mudah dan kami mencubanya di rumah menggunakan resipi yang diberikan nenek Louis selain merujuk video dalam YouTube,” kata Fuziah.

Untuk permulaan, Fuziah cuba membuat dua biji kuih bakul dan hasilnya memuaskan hati serta mendapat ‘markah lulus’ daripada Abdul Hadi.

Wanita itu yang memang gemar mencuba resipi baharu memberitahu bahawa pada mulanya dia cuba memasak kuih bakul sekadar memenuhi keinginan anak ketiganya itu.

“Bahan-bahan untuk membuat kuih bakul mudah diperoleh. Memandangkan kuih ini bermusim, saya masak untuk suka-suka bagi mengisi waktu lapang di rumah.

“Bila anak beri kuih bakul hasil air tangan saya kepada rakan-rakannya, tak sangka mereka sangat menyukainya dan mencadangkan supaya saya buka tempahan, “ kata Fuziah yang menetap di Kapar, Klang, Selangor.

Fuziah kini mampu menghasilkan dua saiz kuih bakul iaitu seberat 350 gram yang dijual pada harga RM11 setiap satu dan saiz 800 gram pula berharga RM22.

Bagi menghasilkan kuih bakul saiz 350 gram, bahan-bahan utama yang diperlukan adalah tepung pulut 135 gram, gula kasar 108 gram, gula merah 27 gram dan air 115 ml. 
 Kesemua bahan itu digaul menjadi adunan selama kira-kira 30 minit atau sehingga gula larut sebelum dibiarkan selama 30 minit lagi untuk menyejukkannya.

“Langkah ini perlu bagi mengelakkan adunan berbuih dan tidak rata selepas dikukus,” katanya sambil menambah bahawa adunan perlu diletakkan di dalam bekas sebelum dikukus selama 10 hingga 12 jam untuk menghasilkan kuih bakul yang enak.

“Tempoh mengukus yang lama penting bagi mengelakkan adunan terlalu melekit,” tambahnya.

Ibu kepada lima anak yang sudah dewasa ini berkata, walaupun proses menghasilkan kuih bakul memakan masa yang panjang, dia bersyukur kerana dibantu oleh Abdul Hadi yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di peringkat ijazah doktor falsafah.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, masa yang diluangkan untuk memasak kuih bakul secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan keluarga. 


TIDAK TAHU PANTANG LARANG



Menurut Fuziah, semakin hari kuih bakul yang dimasaknya mendapat sambutan menggalakkan daripada anggota keluarga dan rakan-rakan.

“Kami sebenarnya tidak tahu pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina ketika membuat kuih bakul. Kami hanya ikut resipi turun-temurun yang diberikan nenek Louis dan mengubah suai sedikit mengikut hasil carian internet,” katanya.

‘Kejayaan’ menghasilkan kuih bakul itu kemudian dimuat naik ke dalam media sosial dan menjadi tular. Bermula dengan hanya satu tempahan daripada pengguna Facebook, lama-kelamaan semakin ramai menempah kuih bakul Fuziah melalui media sosial.

“Saya buat kuih ini berdasarkan permintaan. Tempahan minimum sekurang-kurangnya dua biji dan kami pernah menghasilkan kira-kira 100 biji kuih bakul dalam tempoh empat hari bagi memenuhi permintaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada tahun lalu.

“Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada juga membuat permintaan khas iaitu kuih bakul dalam balutan daun pisang. Ia digemari kerana lebih wangi,” katanya.

TEMPAH SEMINGGU AWAL


Tanpa disangka kuih bakul yang dibuat sekadar untuk hidangan keluarga akhirnya menjadi sumber rezeki. 
 Tindakan memuat naik gambar kuih bakul dalam Facebook dua tahun lalu memberi kesan positif apabila dia mula menerima tempahan. Lebih 1,000 kuih bakul terjual ke seluruh negara setiap tahun termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.

“Kebiasaannya pada Tahun Baharu Cina tidak ramai pelanggan berbangsa Cina membelinya. Kebanyakan yang beli adalah orang Melayu. Tetapi di luar musim Tahun Baharu Cina, ramai masyarakat Cina membeli serta membuat tempahan,” katanya.

Tambahnya, tempahan yang diterima semakin meluas termasuk dari Sabah dan Sarawak selepas video kuih bakulnya dimuat naik ke dalam Facebook dan Instagram.

“Ramai pelanggan mendapat tahu mengenai kuih bakul saya menerusi media sosial. Biasanya saya mengambil tempahan seminggu lebih awal dari tarikh yang diperlukan.

“Kuih bakul perlu dibiarkan sejuk selama tiga hari pada suhu bilik selepas dimasak atau dibiarkan dua hari di dalam peti sejuk bagi memudahkannya dipotong dan dihidangkan,” katanya.

Selain dimakan begitu sahaja, ada yang gemar menikmati kuih bakul yang digoreng dengan ubi keladi dan keledek atau dicicah dengan kelapa parut.

“Mulanya hanya saya yang suka, tapi sekarang kesemua keluarga sangat menggemari kuih bakul terutama ketika dihidangkan selepas dikukus dan dicicah dengan kelapa parut.

“Kuih ini sedap dimakan selepas dikeluarkan dari peti sejuk kerana rasanya seperti makan kuih dan gula-gula,” kata Abdul Hadi. – BERNAMA