Makanan pelengkap pula perlu dimulakan semasa anak berumur enam bulan. Ini bermakna dari lahir sehingga berumur enam bulan, bayi hanya diberi susu ibu sahaja, tidak perlu air suam atau susu tambahan dan tidak perlu makanan pelengkap.

Kajian telah menunjukkan bahawa banyak faedah menyusukan bayi dengan susu ibu. Di antaranya ialah perkembangan psikomotor, emosi dan sosial yang lebih baik, perkembangan daya intelek yang lebih baik (IQ tinggi), kurang risiko diabetes, kanser, jangkitan telinga dan pneumonia, antibodi tinggi untuk melawan penyakit, kurang risiko Sindrom Kematian Mengejut, penghadaman yang mudah, menggalakkan tumbesaran dan banyak lagi.

Menurut Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perbidanan dan Ginekologi Hospital Pusrawi Sdn. Bhd., Dr. Habibah Abdul Ghani, bagi pihak ibu pula, penyusuan susu ibu mengurangkan risiko mendapat kanser payu dara dan beberapa jenis kanser ovari, kurang risiko kerapuhan tulang pinggul di kemudian hari, kurang tekanan perasaan selepas bersalin, pemulihan fizikal yang cepat selepas bersalin, mempercepatkan proses penurunan berat badan jika disertai dengan senaman, pengecutan rahim dan kurang risiko pendarahan.

Beliau berkata, bagi memastikan penyusuan awal dapat dimulakan, lakukan sentuhan kulit ke kulit sejurus sahaja bayi dilahirkan sekurang-kurangnya selama satu jam. Setelah itu segera menyusukan bayi apabila bayi menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu.

“Bayi menunjukkan tanda ingin menyusu apabila dia menggerak-gerakkan mata, membuka mulut, menjelirkan lidah serta memusingkan kepala untuk mencari payu dara ibu, menghisap jari, tangan, selimut, kain atau sebarang objek yang menyentuh bibirnya. Apabila melihat tanda-tanda ini, segera susukan bayi dan jangan tunggu sehingga bayi menangis.

“Semasa hendak mula menyusu, biasanya bayi menegangkan tubuhnya tetapi setelah dapat menghisap dengan baik, tubuh bayi akan beransur relaks. Kebanyakan bayi melepaskan payu dara ibu dengan sendiri selepas berasa kenyang tetapi sesetengahnya akan terus menghisap sehingga tertidur.

“Bagi mengeluarkan payu dara ibu daripada mulut bayi, masukkan jari kelingking di celah bibir bayi, tekan sedikit untuk mengeluarkan puting payu dara daripada mulut bayi. Susukan bayi pada sebelah payu dara sebelum memberikan payu dara lain bagi meningkatkan penghasilan susu.

“Susui bayi mengikut kehendak bayi bukan mengikut waktu tertentu, susui dengan kerap pada waktu terluang termasuk waktu malam, perah susu selepas susukan bayi kerana cara ini akan membantu payu dara menghasilkan lebih banyak susu dan jangan beri puting kosong kepada bayi,” ujar Dr. Habibah.

Tambah beliau, bayi mendapat susu yang mencukupi apabila dia kerap membuang air kecil (berwarna kuning jernih lebih enam kali sehari), buang air besar tiga hingga lapan kali sehari (kekerapan berkurang apabila berumur lebih sebulan), sihat dan tidur nyenyak, tona otot yang baik dan kulit sihat serta peningkatan berat badan yang normal.

Dalam situasi tertentu seperti bayi mengantuk disebabkan pramatang, kuning atau kesan penggunaan ubat semasa proses kelahiran atau payu dara ibu terlalu penuh dan ibu berasa tidak selesa, ibu perlu mengejutkan bayi untuk disusukan.

Penyusuan susu ibu secara eksklusif perlu diteruskan sehingga bayi berumur enam bulan kerana kandungan nutrien dalam susu ibu adalah mencukupi bagi pertumbuhan bayi dari lahir hingga berumur enam bulan. Penyusuan susu ibu selama enam bulan tanpa makanan lain tidak menjejaskan kadar pertumbuhan bayi.

Ini juga dapat memastikan penyerapan zat besi yang optimum daripada susu ibu. Pengambilan bahan lain boleh mengurangkan penyerapan nutrien di dalam susu ibu seperti zat besi. Air atau cecair lain selain susu ibu bertindak menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu terhadap sistem pencernaan. Ia mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko seperti jangkitan dan alahan.

Amalan pemberian air kosong, jus buah atau air teh juga kata beliau, boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan bayi kerana boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi, risiko penyakit dan jangkitan, risiko keracunan air dan kegagalan penyusuan.

Mengenai bahaya atau risiko bayi yang tidak diberikan susu badan, Dr. Habibah menjelaskan, bayi tersebut akan mengalami jangkitan seperti pada usus, cirit-birit dan jangkitan sistem pernafasan.

“Mereka akan turut mengalami ekzema dan lain-lain alahan, keradangan usus besar yang serius bagi bayi pramatang, rendah IQ, diabetes dari peringkat kanak-kanak lagi, kekurangan zat makanan dan kematian bayi serta kanak-kanak di peringkat awal usia.

“Oleh itu, susu ibu amat sesuai untuk bayi dan sentiasa berubah dari hari ke hari, bulan ke bulan mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Bayi dapat mempelajari rasa makanan keluarga melalui susu ibunya.

“Susu ibu adalah unik dan amat istimewa, mengandungi cecair yang hidup secara aktif dalam melindungi bayi dari jangkitan yang tidak terdapat pada susu formula,” katanya lagi.

 

Panduan penyusuan susu ibu bekerjaya

  • Berlatih memerah susu dua minggu selepas kelahiran.
  • Pastikan peralatan penyusuan telah dibersihkan dan dinyahkuman.
  • Sebelum mula memerah, basuh tangan dengan bersih.
  • Pada awalnya, jumlah susu yang dapat diperah sememangnya sedikit tetapi lama-kelamaan, jumlahnya akan meningkat selepas beberapa kali percubaan.
  • Perah susu ke dalam bekas bersih yang mempunyai penutup.
  • Biarkan susu yang baru diperah sebentar dalam suhu bilik dan kemudian simpan susu perahan tersebut ke dalam peti sejuk.