Justeru, setiap peristiwa hitam yang berlaku tidak seharusnya ada dalam fikiran, hati dan mulut perkataan ‘kalau’ yang sering dijadikan alasan untuk menolak kuasa qada dan qadar Allah SWT. Contohnya, apabila berlaku kemalangan kereta yang dipandu oleh isteri, kita tidak akan berkata; “Kalau aku tidak mengantuk hari itu dan suruh isteri aku memandu, tentu kemalangan itu tidak akan terjadi.”

Ingatlah siapa yang menggenggam hati kita? Allah yang menggerakkan hati kita untuk membuat sesuatu keputusan atas segala tindakan. Yakinlah tiada satu pun perancangan Allah yang buruk untuk hamba-Nya, walau sedih dan mengecewakan pada waktu kejadian itu tetapi sebenarnya ada rahmat di sebaliknya. Mungkin kita akan dapat jawapannya suatu masa kelak. Manusia tidak boleh mengawal apa-apa yang bakal berlaku dan telah pun berlaku tetapi kita boleh mengawal reaksi terhadap apa-apa yang berlaku sama ada perkara itu buruk atau baik.

Semua reaksi itu melibatkan kawalan emosi yang akan membabitkan tindak-tanduk sama ada positif atau negatif. Demikian juga apabila kita dilimpahkan dengan kesenangan dan kejayaan, janganlah lupa bahawa semua yang dimiliki itu bukan kerana kehebatan yang ada tetapi kerana anugerah daripada Allah. Malah perlu diingatkan mungkin juga satu ujian daripada-Nya. Adakah kelebihan ini akan membuatkan kita semakin dekat dengan-Nya atau semakin jauh. Jika kita menjadi bongkak dan sombong serta ego, itu adalah tanda kufur nikmat.

Satu perkara yang perlu dicari dan dijaga ialah kekayaan. Kita perlu kaya kerana dengan kekayaan itu dapat menjamin keselesaan hidup berkeluarga, keselesaan hubungan dengan Tuhan dan dapat membantu orang lain. Memang benar kekayaan bukan jaminan kebahagiaan kerana wang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan wang. Semoga semakin kita kaya, semakin kita dekat dengan Allah.

Jadikan kekayaan dan kejayaan dalam hidup ini mendorong kita untuk banyak memberi, bukan banyak menerima. “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. Kalau tidak, maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, ‘Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal matiku) – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula menjadi orang yang soleh.” Demikianlah maksud firman Allah dalam surah al-Munafiqun, ayat 10 yang perlu difahami dan renungi supaya kita tidak menyesal, apabila semua peluang untuk berbuat kebaikan sudah terlambat.

Jom audit diri, lupakan masa silam yang gelap, tetapi bayangkan masa hadapan yang terang-benderang bagi mengatasi rasa kebimbangan untuk meneruskan kehidupan. Jauhi diri daripada terperangkap dengan `dua pencuri’.

Pertama, pencuri masa lalu, yakni penyesalan masa lalu. Kedua, pencuri masa hadapan, yakni kebimbangan masa hadapan. `Penyesalan’ menyebabkan kita tidak ada masa hendak menggunakan masa sekarang dengan sebaiknya, kerana asyik mengenang masa silam yang kelam dan menyeramkan.

Fokus kepada perkara-perkara positif, pada masa yang sama berjaga-jaga dengan ancaman atau cabaran yang negatif. Ancaman atau cabaran ini ibarat nelayan dengan ombak, tidak boleh dipisahkan. Oleh sebab sudah biasa mengalami cabaran ini sejak sekian lama, bertenang dan jangan panik. Fokus, bertenang dan tidak melawan kuasa ombak. Jangan melawan arus. Biarkan arus itu menghanyutkan kita dan usah persoalkan keupayaan kita untuk terus hidup. Kita sudah dilatih untuk bersedia seumur hidup untuk menghadapi saat dilambung dan dihempas ombak. Sesungguhnya saat kita muncul di permukaan selepas dilambung dan dihempas ombak, akan ada ombak lain yang akan menghempas kita sekali lagi. Kelangsungan hidup bergantung pada bagaimana kita berkongsi kesakitan dan menangani keperitan itu secara positif.

Dengan cara ini, kita akan sanggup menghadapi semua cabaran kehidupan yang mendatang dengan penuh semangat dan kecekalan. Dan kalau kita diuji Allah dengan kejayaan, kesenangan, kejayaan dan ketenangan hidup jadikan anugerah itu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, bukan menjauhkan lagi diri dari-Nya dan melupakan-Nya. Allah berfirman dalam surah (al-Munafiqun) ayat 9 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Alangkah baik jika kita semua mengadu kepada Allah pada setiap saat dan melihat kuasa Allah dalam segala hal. Cara ini akan membuatkan kita sentiasa ingat Allah dan yakin Allah Maha Besar dan manusia tidak punya apa-apa. Sesungguhnya kita sangat lemah di sisi Allah. Kunci kebahagiaan menurut Ali bin Abi Talib ada tujuh. Pertama, jangan membenci sesiapa pun walaupun ada yang menyalahi hakmu. Kedua, jangan bersedih secara berlebihan sekalipun masalah memuncak. Ketiga, hiduplah dalam kesedaran sekalipun serba ada. Keempat, berbuatlah kebaikan sekalipun dalam kamu kesusahan. Kelima, banyakkan memberi walaupun anda sedang susah. Keenam, tersenyumlah walaupun hatimu sedang menangis. Ketujuh, jangan memutuskan doa untuk saudara seislam. Sesungguhnya kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya memerlukan seribu macam pengorbanan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”