LEE LAM THYE
LEE LAM THYE 

Kajian yang dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama universiti awam mendapati 76.9 peratus kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berbanding pemandu kenderaan lain.

Statistik Perkeso itu sudah tentu membimbangkan, malah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu Bernama ia semakin serius.

“Secara purata, dua orang pekerja maut setiap hari dalam kemalangan sewaktu perjalanan pergi dan balik kerja. Yang menyedihkan kebanyakannya membabitkan motosikal,” katanya dalam wawancara melalui emel baru-baru ini.

Keadaan itu sudah tentu tidak boleh dipandang ringan kerana statistik Perkeso mendapati jumlah kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik kerja menunjukkan peningkatan agak ketara tahun demi tahun.

Pada 2018 sebanyak 35,195 kes atau 48 peratus adalah kemalangan perjalanan semasa berulang-alik ke tempat kerja daripada 72,631 pelbagai kes kemalangan direkodkan.

Berbanding 2017, bilangan kemalangan perjalanan berkaitan pekerjaan adalah sebanyak 33,319 kes dilaporkan, manakala pada 2016 mencatatkan sebanyak 31,314 kes.

Sementara itu, sebanyak 28,579 kes dilaporkan berlaku pada 2015 berbanding 28,037 kes pada 2014 dan 27,659 kes pada 2013.

Apa yang turut membimbangkan adalah statistik juga menunjukkan trend kematian akibat kemalangan perjalanan pergi balik ke tempat kerja adalah lebih tinggi berbanding kemalangan di tempat kerja atau industri.

Ini jelas menunjukkan permasalahan itu perlu ditangani segera.

Misalnya pada 2018 kematian akibat perjalanan pergi balik ke tempat kerja melibatkan 666 pekerja berbanding 222 kematian kemalangan di tempat kerja.

“Kajian sebelum ini juga menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan perjalanan berlaku dalam perjalanan pergi ke tempat kerja dan hanya dalam lingkungan lima kilometer dari destinasi.

“Biasanya kemalangan berlaku pada waktu puncak, waktu pagi di mana pekerja bergegas ke tempat kerja. Ada yang terpaksa bergerak ke beberapa destinasi termasuk menghantar anak ke sekolah atau membeli sarapan sebelum ke pejabat.

“Akibat mengejar masa, ada yang memandu atau menunggang kenderaan secara tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek keselamatan” kata Lam Thye.

APA PENYEBABNYA?

Menurut Pengerusi NIOSH itu lagi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlaku kemalangan perjalanan berkaitan pekerjaan. Antaranya, pemakaian topi keledar tidak betul, cara menunggang berbahaya, memandu melebihi had laju, keletihan dan kenderaan tidak diselenggara dengan betul.

Bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal dikenal pasti menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap 300 pemandu di sekitar Lembah Klang pada 2016 mendapati 43.4 peratus daripada responden mengaku menggunakan telefon bimbit ketika memandu manakala 61.9 peratus menggunakannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Sesuatu yang menyedihkan adalah majoriti pengguna jalan raya menyedari penggunaan gajet tersebut merupakan antara punca kemalangan, namun masih ramai enggan berubah sikap, kurang disiplin dan degil meneruskan tabiat buruk itu.

Walhal, budaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu secara tidak langsung boleh mengakibatkan fokus pemanduan terjejas sekitar lima hingga 10 saat atau pada kelajuan normal di lebuh raya kenderaan seolah-olah bergerak tanpa kawalan kira-kira 160 meter.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan pekerja semata-mata kerana ada di antara mereka terpaksa membaca mesej atau menjawab panggilan ketua pejabat. “Masih ramai majikan yang tidak prihatin terhadap keselamatan pekerja mereka dan menghantar mesej arahan atau membuat panggilan tanpa kisah sama ada pekerja tersebut sedang memandu atau menunggang motosikal.

“Pekerja pula selalunya berasa serba-salah dan terpaksa menjawab mesej atau panggilan majikan bagi mengelakkan dikenakan tindakan,” katanya.

IMPAK KEMALANGAN

Mengulas isu ini, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John R Marin berkata, impak kemalangan ulang-alik ke tempat kerja adalah sangat besar kerana ia bukan sahaja mengakibatkan pelbagai kecederaan kepada pekerja sehingga ada mengalami kecacatan kekal, bahkan kehilangan nyawa.

Kesannya, keluarga mangsa kehilangan punca pendapatan manakala organisasi serta negara kehilangan pekerja mahir. Bagi Perkeso pula, situasi itu akan meningkatkan perbelanjaan agensi tersebut dari segi pampasan dan faedah yang perlu dibayar kepada waris mangsa.

Bagi 2018, anggaran jumlah perbelanjaan Perkeso untuk kemalangan perjalanan yang melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan adalah dalam lingkungan RM600 juta hingga RM800 juta.

“Situasi ini pasti membimbangkan kerana Malaysia kini hampir mencapai status negara maju dan memerlukan ramai tenaga kerja mahir serta profesional. Jika ramai pekerja maut di jalan raya, ia merupakan satu kerugian.

“Kajian kami bersama universiti awam mendapati 65 peratus kemalangan perjalanan ulang-alik kerja melibatkan golongan muda berusia bawah 40 tahun dengan 80 peratus adalah pekerja lelaki,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa Perkeso memandang berat permasalahan ini.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pencarum, Perkeso telah melaksanakan pelbagai program berkaitan termasuk menjalin kerjasama dengan MIROS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Misalnya, Program Sokongan Pematuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kepada industri kecil dan sederhana, Program Sokongan Keselamatan Perjalanan bersama MIROS serta Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Pemutihan ‘Black Spot’ iaitu inisiatif bersama PDRM.

Hakikatnya, permasalahan ini memerlukan usaha bersepadu semua pihak termasuk peranan majikan mendidik pekerja mengenai kepentingan pemanduan berhemah selain pekerja sendiri perlu mengubah sikap untuk lebih berhati-hati di jalan raya. – BERNAMA