Teck Sheng, 32, adalah Presiden Pantop Corporation, sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan peralatan, komponen dan instrumen elektronik selain turut terlibat dalam syarikat pelaburan kewangan serta hartanah. Beliau juga adalah pengasas Persatuan Zon Ekonomi Perdagangan dan Pelaburan Asia Pasifik (ASIAPEZ).

Menyifatkan kegagalannya itu sebagai kejayaan, tegas Teck Sheng setiap kali menghadapi kesusahan, beliau akan kuatkan semangat dan tetapkan pendirian agar tidak terikut-ikut dengan cara orang lain.

“Memang Tuhan beri kita ujian namun jika kita berjaya melepasi ujian ini Tuhan akan beri yang terbaik kerana setiap kali Tuhan tutup satu pintu, Dia akan buka satu pintu lain. Selain itu kita perlu bersikap jujur kerana ia adalah aset paling penting dalam hidup,’’ katanya yang bergelar jutawan pada usia 22 tahun.

Menyingkap kisah hidupnya, beliau mengakui mempunyai sikap panas baran semasa di bangku sekolah bukan sahaja suka bergaduh dengan rakan-rakan sekolah malah guru termasuk guru besar pernah merasa ‘pukulan tangannya’.

Berasal dari Setiawan, Perak, anak sulung daripada dua beradik ini bukanlah daripada keluarga yang mewah sebaliknya ibu dan bapanya bekerja menoreh getah dan untuk menambah pendapatan, bapanya bekerja menjual insurans manakala ibunya bertugas sebagai guru tadika.

Beliau dan adik lelakinya telah terdidik sejak kecil untuk bekerja maka setiap kali selepas waktu sekolah, Teck Sheng akan bergegas ke sebuah restoran di Setiawan untuk bekerja sebagai tukang masak sehingga larut malam.

Namun ‘senakal-nakal’ beliau, tidak sekali-kali Teck Sheng mengabaikan pelajaran malah ketika kawan-kawan lain sibuk dengan komputer beliau tekun menelaah pelajaran dan berjaya memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Cita-cita saya ketika itu untuk mengikuti program matrikulasi tetapi sebab perangai saya seperti 'samseng’ saya gagal melanjutkan pelajaran. Itulah, pelajaran lulus tetapi kelakuan tidak lulus,’’ katanya sambil ketawa.

Oleh kerana keinginan kuat untuk belajar, beliau memohon untuk memasuki tingkatan enam dan berjaya memperoleh keputusan 2A dan 2B pada peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) walaupun sikap panas barannya tidak berubah.

Katanya, selesai STPM beliau merantau ke Singapura namun terpaksa hidup merempat. Bagaimanapun beliau bernasib baik apabila dipertemukan dengan seorang wanita Melayu yang dipanggil Mak Zaliah (kini telah meninggal dunia) yang membawanya tinggal bersama dan menjadi ibu angkatnya selama lima bulan dan wanita inilah yang banyak memberi dorongan untuk beliau mengubah hidup.

Teck Sheng kemudian melanjutkan pengajian melalui program luar kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui program berkembar di peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan melanjutkan pengajian satu semester lagi dalam pengkhususan Ekonomi di Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).

‘Kegilaan’ terhadap kerja terutama dalam bidang perniagaan membawa beliau ke China dan Hong Kong namun banyak rintangan yang terpaksa dihadapinya. Bukan sahaja dibebani hutang ketika itu malah beliau turut ditipu oleh rakannya. Beliau juga pernah ditinggalkan bersendirian di Shanghai selepas diperdaya oleh rakannya yang menjanjikannya pekerjaan.

Walaupun begitu Teck Sheng tidak berputus asa. Malah selama empat tahun di Shanghai beliau mula berjinak-jinak dalam industri kewangan dan hasil survival itu, beliau berjaya bergelar jutawan dan kembali ke Malaysia ketika berusia 25 tahun lantas membuka perniagaan di Ipoh, Perak. Beliau kemudian berjaya memenangi Anugerah Usahawan Muda daripada kerajaan negeri Perak.

Ketika ini beliau mula menceburi perniagaan hartanah namun bak kata pepatah ‘langit tidak selalunya cerah’. Ketika berusia 29 tahun, beliau dipalit dengan peristiwa paling pahit dalam hidupnya apabila perniagaannya mengalami kerugian sebanyak RM25 juta.

“Saya pernah jatuh, sembilan kali saya jatuh tetapi kali ini yang paling teruk. 
Saya cuma ada RM100,000 tetapi hutang yang ditanggung adalah sebanyak RM25 juta,’’ katanya.

Namun beliau bingkas bangkit kerana sedar banyak yang perlu dipelajari dan amat bertuah kerana sifu yang juga ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Chin Yung Kong banyak membantunya terutama tentang selok-belok perniagaan kewangan.

Kejayaan yang diperoleh itu tidak menjadikannya lupa diri sebaliknya Teck Sheng mahu berkongsi rezeki yang diperoleh dengan mereka yang tidak bernasib baik selain aktif menyertai persatuan-persatuan kemasyarakatan.

Atas kesedaran itu, beliau mengasaskan ASIAPEZ yang berperanan sebagai platform untuk menyalurkan segala bentuk sumbangan kepada anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang memerlukan. Bahkan sejak ditubuhkan, lebih 100 rumah kebajikan telah dibantu malah beliau sendiri telah menyumbang RM3.5 juta kepada golongan berkenaan. Beliau juga amat mengharapkan syarikat-syarikat besar dapat melakukan perkara sama kepada golongan terlibat.

“Saya percaya di samping saya seorang melakukan kebajikan, syarikat-syarikat besar yang menganggotai ASIAPEZ juga boleh membantu golongan ini bukan sahaja untuk kelangsungan hidup mereka tetapi menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk biasiswa pendidikan kepada anak-anak yatim agar mereka dapat menyumbang semula kepada syarikat di samping menyubur pemikiran golongan muda,’’ katanya.