Ukuran lazim diguna pakai para profesor seni di Eropah merujuk empat perkara yang melambangkan penguasaan karyawan terhadap tuntutan disiplin ilmu kesenian, iaitu pemikiran tinggi dalam karya, penguasaan emosi berfalsafah dan karya berperwakilan (respresentatif) falsafah bangsa serta kenegaraan.

Merujuk sejarah kesenian tampak di Tanah Melayu sejak dekad 1940-an, dekad migrasi sejumlah graduan seni dari Tanah Besar China hinggalah ke hari ini, terdapat ribuan karya amat bermutu tinggi. 

Tidak hairan andai diperhatikan bahawa sejak sedekad lalu harga karya lukisan yang dilelong di negara ini ada yang mencecah jutaan ringgit sebuah.

Pada 12 hingga 14 Oktober lepas, telah dipamerkan sejumlah karya yang berprestij di Matrade, Kuala Lumpur. Antara karya itu, Ronggeng karya Seniman Negara Syed Ahmad Jamal (Allahyarham), 1957, saiz 121-98 sm, cat minyak di atas bod; karya ‘tanpa tajuk’ Ibrahim Husein (Allahyarham), 1982, gouche di atas kertas, saiz 37x60sm.

Selain itu turut dipamerkan karya Kucing Sakit oleh Dzulkifli Buyong (Allahyarham), 1986, cat minyak di atas bod; Lampit dan Rumbia 111, 1993, media campuran di atas kanvas; dan Mother and Child, karya Chuah Thean Teng (Mendiang), tiada rekod tahun, saiz 46x45sm, batik.

Ronggeng dihasilkan oleh seniman negara yang memiliki ijazah sarjana universiti di Amerika Syarikat sesudah belajar di beberapa universiti dan Allahyarham juga yang menghasilkan Ledang, adikarya di Istana Budaya sejak dekad 1960-an.

Diamati bahawa Syed amat memahami akal budi Melayu secara sempurna, malah simbol awal Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut diciptanya.

Malah simbol Bank Negara diciptanya dan berkedudukan di tahap kesenian tinggi. Allahyarham layak dianggap Picasso Malaysia.

Dalam Ronggeng, Syed Ahmad utarakan falsafah sebaik kesenian tari yang jalurnya lebih menjurus ke arah pergerakan kesenian Melayu yang saling melengkapi. Harga yang ditetapkan untuk lelongan ialah RM400,000 hingga RM600,000.

Karya Ibrahim Husein, ciptaan tahun 1982 berupa lukisan di atas kertas dengan latar ungu cerah.

Sekalipun tajuk tidak diberikan namun, karya yang harganya antara RM35,000 hingga RM60,000 ini mengandungi cerita berfalsafah perihal sekumpulan manusia yang begitu asyik terhadap sesuatu, benda dan isu.

Kucing Sakit berharga antara RM120,000 hingga RM200,000, berupa karya impresionisme yang dihasilkan bukan calang-calang seniman, Dzulkilfi Buyong.

Dzul kaya pengalaman dan ilmu seni yang diperolehnya dalam kembaranya ke Eropah Lampit dan Rumbia 111 merupakan karya mantan profesor, Awang Damit Ahmad.

Warnanya klasik manakala falsafah karya begitu mendalam. Ceritanya mengenai rumbia memaut kisah masyarakat yang ‘tenggelam’ dalam paya kehidupan. Harga yang ditetapkan ialah RM38,000 hingga RM68,000.Mother and Child berupa lukisan batik yang harganya antara RM11,500 hingga RM20,000. Seperti kebanyakan karya Thean Teng, pelukis batik awal Tanah Melayu, motif berkaitan orang Melayu menjadi fokus. Dan uniknya (malah cekap dan cerdas), seniman kaum Cina gigih perjuang akal budi Melayu.