Petang itu sama seperti hari-hari yang lain. Saat orang lain mula pulang ke rumah, aku berseorangan sahaja tinggal di pejabat, menghabiskan sedikit lagi pekerjaan yang tertangguh sejak beberapa hari lepas.

Bukan aku terlalu obses akan pekerjaanku, tetapi aku berusaha untuk bekerja sedaya upaya supaya nanti orang atasan akan menaikkan gajiku. Masakan tidak, isteriku tidak bekerja, dan aku

 

mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Semuanya memerlukan wang.

Pukul 9.45 malam, aku mengemas beg dan bersedia untuk pulang. Aku sudah terlalu letih tetapi aku memaksa diriku untuk memandu pulang ke rumah.

Bukan jauh mana, hanya empat kilometer sahaja jaraknya, getus hatiku apabila fikiran aku tiba-tiba ibarat menyoal patutkah aku pulang dengan memandu keretaku sendiri atau patutkan aku menempah Grab sahaja.

Begitulah, apabila aku memikirkan jaraknya yang tidak jauh mana, aku membuat keputusan untuk memandu pulang. Membazir pula rasanya untuk memmbayar Grab untuk jarak yang begitu dekat. Lagipun, kalau pulang dengan Grab, bermakna esok aku perlu menempahnya sekali lagi untuk datang ke pejabat. Keluar wang lagi.

Malam yang gelap serta hujan renyai menyebabkan penglihatan aku sedikit terganggu. Aku mula memecut saat tiba di sebatang jalan yang agak lengang dan lurus. Dalam hatiku tidak ada lain, aku mahu cepat pulang, makan dan kemudiannya tidur. Tidak boleh bertangguh lagi.

Aku membelokkan kereta ke satu persimpangan, kurang dua kilometer sahaja untuk sampai di rumahku. Jalan lurus dan tiada lampu itu menyebabkan semuanya gelap. Aku menghidupkan lampu tinggi.

Aku mula menekan pedal minyak. Kenderaan berenjin empat lejang itu menuruti kehendak aku yang ingin sampai rumah cepat. Pendingin hawa yang menghembus udara sejuk terus-menerus menyebabkan aku semakin mengantuk. Aku cuba memaksa untuk membuka mata. Cuma beberapa ratus meter sahaja lagi tinggal, tapi mata terasa berat sekali.

Masih juga aku cuba memaksa dan aku rasakan keadaan sekeliling menjadi gelap. Apabila aku membuka mata sahaja, sekilas saat aku terlihat akan sebuah motosikal dan penunggangnya yang berjubah putih dan berserban. Ia berlaku terlalu cepat dan aku tidak sempat mengelak. Aku menekan brek kereta sekuat-kuat hati.

BOMMMM!! bunyi kenderaan aku melanggar motosikal itu.

Aku dapat lihat penunggangnya melambung dan tercampak ke atas cermin hadapan keretaku. Kereta aku masih lagi gagal berhenti dan aku dapat lihat sebatang pokok di sisi jalan semakin lama semakin dekat. Aku tidak boleh berbuat apa-apa. Aku memejam mata dan…

BANG!

Sekali lagi kedengaran bunyi kuat yang membingitkan. Gegaran yang sebegitu kuat menyebabkan beg udara keretaku terbuka, menyerap momentum kepalaku dan menolak ke belakang semula. Hentakannya begitu kuat, bahagian belakang kepalaku terhantuk pada kerusi dan semuanya menjadi gelap gelita.

DARAH

Bunyi siren ambulans mengejutkan aku. Aku tersedar dan kaki kananku terasa sangat sakit.

“Encik okey?” tanya seorang anggota paramedik sambil menekan-nekan dadaku.

“Ya, ya… saya okey,” jawabku.

“Kaki kanan encik ini patah, kita hantar ke Hospital Muar, ya,” ujarnya lagi seraya memperkenalkan dirinya sebagai Luqman, seorang pembantu perubatan (MA).

Aku diangkat ke atas pengusung. Mungkin pada saat itu, deruan adrenalin yang membuak-buak dalam darahku menyekat segala kesakitan yang aku alami.

Tiba-tiba sahaja aku teringatkan penunggang motosikal tadi. Ya, lelaki berjubah putih itu. Aku cuba untuk duduk tatkala MA tersebut meletakkan topeng oksigen kepadaku. Tujuanku adalah untuk menjengah di balik pintu belakang ambulans yang terbuka.

Aku terkejut apabila di sisi MA tersebut, ada sebuah kerusi dan seorang lelaki berserban duduk di situ sambil senyum terhadapku. Aku dapat lihat muka dan badannya berdarah. Jubah putih dan serbannya juga dipenuhi darah. Ya, sudah tentu dialah mangsa kemalangan tadi. Serta-merta timbul rasa bersalah dan kasihan dalam diriku kepada pak cik tersebut.

“P… pak cik… pak cik tak apa-apa ke,” aku bertanya

“Tenang… tenang, anak ni nama siapa?” dia bertanya.

“Nama saya Firdaus… pak cik nama apa?” aku mula bertanya.

Dalam hatiku sedikit lega kerana sekurang-kurangnya, orang yang aku langgar itu masih hidup dan masih boleh berkata-kata.

“Nama pak cik, Ibrahim. Anak rehat ya, jangan risaukan keadaan pak cik, pak cik okey. Anak kena rehat, teruk patah kaki itu,” jawabnya sambil tersenyum.

“Saya minta maaf pak cik, saya terlelap tadi, lagipun jalan itu gelap, tak sempat nak elak motosikal pak cik,” jawabku, menerangkan dan mengaku bahawa kemalangan ini adalah salah aku sendiri.

“Tidak mengapa, yang penting kita dapatkan rawatan dulu. Mungkin awak bekerja terlalu berat dan penat sampai terlelap memandu,” katanya.

GELAP

Setibanya di hospital, aku diturunkan daripada pengusung dan terus ditolak ke zon merah. Beberapa minit kemudian, selepas kedua-dua belah tanganku disuntik dan diberikan air, mereka menolak aku ke bilik Computed Tomography Scan (CT Scan) pula.

Aku dibaringkan di atas katil, menunggu rawatan yang hendak diberikan. Sambil berbaring aku dapat lihat pak cik Ibrahim yang tadinya berada di dalam ambulans, turut turun berjalan menuju ke zon kuning. Melihat dia berjalan dengan pakaian yang dipenuhi darah, sekali lagi aku diburu perasaan bersalah yang amat sangat.

“Encik Firdaus, kami dapati ada pendarahan sedikit di bahagian otak encik. Jadi kami perlu dapatkan kebenaran untuk melakukan pembedahan,” kata seorang pegawai perubatan terhadapku.

“Bedah otak ya? Kalau tak bedah jadi macam mana?” aku bertanya.

“Kita takut pendarahan makin teruk, jadi saya sarankan untuk encik bersetuju dengan pembedahan ini,” katanya lagi.

“Tak bolehkah tunggu isteri saya datang terlebih dahulu, kemudian baru operate?” tanyaku.

“Bukan apa encik, kita takut pendarahan itu semakin lama semakin teruk. Jadi, lagi awal kita bedah, lagi tinggi peluang untuk encik sembuh tanpa apa-apa komplikasi,” terang doktor tersebut.

Aku ambil borang kebenaran pembedahan yang dihulur tadi, serta menandatanganinya. Walaupun aku ada pendarahan dalam otak, alhamdulillah aku masih lagi boleh berfikir dan bergerak.

Aku ditolak ke wad pembedahan. Seorang doktor pakar bius memberikan aku sejenis gas yang mengalir di dalam topeng oksigenku, serta menyuntik ubat-ubatan melalui jarum yang tertusuk di tanganku.

Sebentar kemudian kelopak mataku terasa berat. Akhirnya segala-galanya menjadi gelap (Dr. Onn Azli Puade, Muar, Johor.)

Apa berlaku seterusnya? Kisah ini sangat menarik dan menginsafkan. Ditulis oleh seorang doktor berdasarkan kejadian yang menimpa seorang pesakit. Dapatkan naskhah Mingguan Malaysia anda pada minggu depan untuk mengetahui pengakhiran cerita ini. Jumpa lagi.