Mudah mesra dan sentiasa mengamalkan sikap merendah diri menjadikan anak kelahiran Johor ini memiliki beberapa keistimewaan dalam dirinya.

Kini pada usia 36 tahun, dia berjaya memiliki segala yang diimpikan setiap wanita iaitu keluarga bahagia, perniagaan yang baik dan kehidupan sempurna menjadikan Ummi Hani Ismail antara wanita wajar dicontohi.

Menerajui perniagaan berasaskan fesyen atas jenama Youme & Hunny sejak 2016, dia kini turut meluaskan perniagaan sebagai pengeluar produk kecantikan dan kesihatan selain aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Berkongsi kisah suka dukanya, Ummi Hani berkata, dia memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang sains komputer namun minatnya pada kecantikan dan fesyen mengatasi segala-galanya.

“Saya sukakan semua perkara yang kelihatan cantik. Atas sebab itu saya sering pastikan penampilan diri perlu dilihat cantik walaupun dalam fesyen sederhana. Inilah antara faktor tertubuhnya perniagaan saya ini.

“Saya sukakan gaya ringkas namun tampak elegan. Ramai rakan dan saudara-mara gemar dengan cara saya berfesyen dan bermula daripada itu saya tekad memulakan perniagaan fesyen ini. Saya mahu berkongsi dengan wanita lain mengenai gaya yang tepat dengan diri masing-masing,” katanya.

Ujar Ummi Hani, untuk jenamanya, dia memilih fesyen Jepun dan Korea sebagai sumber inspirasi dalam setiap rekaannya.

“Kebanyakan idea saya terhasil daripada penyelidikan dan penelitian fesyen di Jepun dan Korea. Kemudian saya olah untuk menjadi satu rekaan terbaik untuk jenama saya.

“Selain itu, ahli keluarga dan rakan dari pelbagai negara turut menjadi pembantu setia saya. Mereka berkongsi pelbagai idea menarik untuk menghasilkan satu rekaan lain daripada yang lain,” ujarnya.

Atas faktor itu juga dia yakin hala tujunya dalam bidang diceburi itu tepat.

Bermula hanya 
dengan RM5,000

Siapa sangka, dengan kejayaan dimilikinya itu, wanita yang mempunyai dua cahaya mata ini memulakan perniagaan dengan modal RM5,000.

Ummi Hani berkata, dia memulakan perniagaan pada 2016 dengan modal tersebut tanpa melakukan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Syukur, berkat usaha gigih perniagaan yang saya usahakan, kini semakin berkembang maju dan dalam masa sama saya tidak menanggung bebanan hutang pinjaman untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Baginya, segala-galanya memerlukan perancangan. Tidak semestinya perlu modal yang besar untuk memulakan perniagaan. Asalkan berusaha dengan gigih dan tahu apa yang dimahukan, pasti akan berjaya,

“Sejujurnya, saya memberikan sepenuh perhatian dan usaha dalam mengembangkan jenama ini. Sebab itu dalam setiap rekaan, saya sentiasa mengikut perkembangan arus fesyen terkini selain gemar berkongsi idea dengan pelanggan.

“Memandangkan pelanggan adalah paling utama, saya akan pastikan setiap kehendak pelanggan dapat dituruti terutama dalam menghasilkan rekaan terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Ummi Hani berkata, selain fokus jenama fesyennya, dia juga menguruskan produk suplemen kecantikan, Youkachi. Menurutnya, sepanjang proses penyelidikan dan pembangunan Youkachi, penyesuaian bahan dilakukan beberapa kali bagi memastikan kualiti produk itu menepati standard.

“Youkachi dihasilkan dengan memfokuskan kepada kesihatan dan kecantikan. Prun yang digunakan adalah prun kering terbaik dari California dan prun ini kemudian dihantar ke Jepun untuk dijadikan ekstrak.

“Selepas itu, proses adunan ekstrak ketiga-tiga bahan utama itu dilakukan di Malaysia dengan menggunakan mesin dan teknologi dari Jepun yang pertama kali digunakan di negara ini,” katanya yang memberitahu produk itu dihasilkan menerusi gabungan prun, delima, kurma dan bahan aktif cerepron-F.

Selain mengharapkan produknya semakin dikenali di negara ini, Ummi Hani turut merancang memperluaskan rangkaian produknya ke luar negara.

“Itu adalah perancangan saya buat masa ini dan saya akan berusaha keras bagi merealisasikan impian tersebut dalam tempoh terdekat. Walaupun bukan mudah, saya yakin mampu mencapainya dengan usaha serta perancangan rapi,” katanya.

Menurut Ummi Hani, selain perniagaan, dia yang memegang status sebagai seorang isteri amat bersyukur kerana dianugerahkan suami, Andy Othman, 40 yang memahami dan menyokong kerjayanya.

“Bukan mudah untuk membahagikan masa antara keluarga dan perniagaan memandangkan ia menuntut banyak masa. Suami, keluarga dan rakan sepasukan adalah tulang belakang kekuatan saya untuk terus maju dalam bidang ini,” ujarnya.