Minatnya yang mendalam terhadap perusahaan buah tin mendapat sokongan suami, Ridzuan Abdullah,55. Justeru, pasangan suami isteri ini mula mengusahakan perusahaan tersebut di bawah syarikat Figs Fiesta Sdn. Bhd. sejak 2014.

Berpegang pada prinsip setiap rezeki datang dengan izin Allah, mereka berjaya membuka ladang buah tin seluas 0.4 hektar di Sungai Buloh, Selangor.

“Saya mula berminat untuk menanam buah tin selepas saya dan suami mendapati terdapat begitu banyak khasiat yang terkandung dalam buah tin.

“Keunikan buah ‘syurga’ ini ada disebut dalam al-Quran Ayat 95 : At Tin. Buah ini mempunyai 1001 khasiat, sekali gus menarik hati saya dan suami untuk mengusahakan tanaman tersebut secara komersial,” katanya kepada Mega Rona ketika ditemui di pejabatnya di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buah tin atau nama saintifiknya Ficus Carica sangat terkenal dengan khasiat yang tinggi, selain mengandungi zat anti oksidan, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, kalsium, zat besi, fosforus, mangan, sodium, potassium dan klorin serta fiber. Ia boleh membantu mengatasi masalah usus dan kolesterol.

Tambah Jamaliah, sehingga kini permintaan terhadap buah tin sangat memberangsangkan kerana semakin ramai menyedari khasiat yang terkandung di dalam buah berkenaan.

“Khasiat buah tin mampu membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan seperti perkumuhan, menstabilkan kandungan glukos dalam darah, menstabilkan tekanan darah rendah dan darah tinggi, membantu mengawal kandungan kolesterol serta menurunkan berat badan.

“Kami bercadang untuk membesarkan lagi ladang bagi menampung permintaan yang kian meningkat,” ujarnya.

Pengalaman berlatarbelakangkan bidang hiasan dalaman, seni reka dan binaan di bawah syarikat Isotex Services Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak 1994 tidak menghalang dirinya dan suami untuk mengembangkan aktiviti perladangan mereka.

Ibu kepada tiga orang anak itu juga berkata, pengalaman dalam bidang perhubungan awam yang dikumpul ketika bekerja di beberapa hotel dan bank sebelum ini dimanfaatkan untuk memperkasakan platform perniagaan bersama suami dan anak-anak agar pelanggan menerima kepuasan apabila berurusan dengan kedua-dua syarikat miliknya itu.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak pernah mengaku kalah dan sentiasa mencari peluang untuk terus kekal dalam kedua-dua perniagaan itu.

“Tanaman buah tin memerlukan cuaca panas untuk pokok berbuah dengan baik. Kalau musim hujan, selalunya buah dan daun akan gugur.

“Tetapi saya anggap itu sebagai satu risiko yang perlu dihadapi dan tidak sesekali perkara ini menjadi penghalang buat kami,” ujarnya lagi.

Perladangan organik untuk kualiti

PRINSIPNYA hanya satu iaitu menjual produk yang suci, halal dan selamat, bukan berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.

Oleh itu, Jamaliah Osman mengamalkan perladangan organik bagi mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi, sekali gus mengekalkan khasiat buah berkenaan.

“Kami mengamalkan konsep perladangan organik dan menjaga kualiti dari segi penanaman serta pembajaan untuk mendapatkan buah tin yang terbaik untuk pelanggan.

“Ini kerana saya tahu, orang makan buah tin sebab nak sihat. Jadi, takkan kita nak rosakkan khasiat itu dengan penggunaan bahan-bahan kimia bagi tujuan menggemukkan buah dan sebagainya demi mengaut keuntungan?,”soalnya.

Pada permulaannya, dia dan suami menanam sebanyak 300 pokok buah tin di ladang seluas 0.4 hektar di Sungai Buloh.

Kini, ladangnya mempunyai 1,000 pokok buah tin yang terdiri daripada 110 spesies yang diperoleh dari seluruh dunia dan mampu mengeluarkan hasil antara 10 hingga 20 kilogram setiap hari.

Antara yang ditanam ialah spesies de la roca yang berasal dari Sepanyol, jacques cartier (Perancis), verdino (Itali), red Saudi (Arab Saudi), sunee (China), Taiwan golden fig (Taiwan) dan masui dauphine (Jepun).

Ladang Jamaliah juga mampu mengeluarkan sebanyak 10 hingga 20 kilogram hasil bagi setiap hari tuaian, bergantung kepada keadaan cuaca dan mampu berbuah dua kali dalam setahun.

Di samping itu, beliau turut menawarkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan perladangan buah tin secara komersial.

Bimbingan itu, katanya, meliputi kaedah penanaman dan pembajaan yang betul untuk mendapatkan hasil yang memberangsangkan.

“Ramai yang berminat dengan perladangan buah tin kerana mereka tahu ia berpotensi besar untuk dikomersialkan, cuma mereka tidak tahu cara bagaimana untuk memulakannya.

“Jika mereka ada tanah, mereka boleh datang berjumpa kami atau kami yang turun padang untuk berjumpa mereka bagi memberikan khidmat nasihat serta berkongsi pengalaman,” jelasnya.

Produk hiliran buah tin

 BERSIFAT oportunis, usahanita berjaya ini tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada di depan mata.

Baginya, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.’

Selain menjual buah tin secara segar, Jamaliah Osman turut menghasilkan produk hiliran berasaskan buah tin untuk kesihatan dan kecantikan di bawah jenama Figgaro.

Antara yang telah dihasilkan ialah produk kesihatan meliputi jus dan teh kesihatan, produk makanan seperti sos, serunding dan acar buah tin, dan produk kecantikan iaitu pelbagai jenis sabun dan pelembap bibir.

“Produk-produk yang dihasilkan ini selamat kerana kami hanya menggunakan bahan-bahan alami yang tidak memudaratkan.

“Saya gembira apabila ada antara pelanggan yang semakin baik kesihatannya selepas mengamalkan produk ini. Saya tidak kata produk saya ubat, tetapi ia boleh membantu mengurangkan masalah kesihatan,” tegasnya.

Platform perniagaannya kini hanya bertumpu secara dalam talian melalui laman sosial Instagram Figgaro.co dan Facebook, Fig Fiesta Malaysia.