Lebih mencabar lagi apabila terpaksa menghias rumah sewa yang ditinggalkan oleh penyewa terdahulu.

Persekitaran yang tidak bersih mengundang rasa kurang menyenangkan apatah lagi apabila terdapat kesan kotor dan kerosakan terutama pada dinding dan lantai rumah.

Namun, ia bukan alasan untuk tidak menghias ruang yang sempit terutama bagi mereka yang tinggal di rumah kos rendah. Usaha itu mungkin memerlukan daya kreativiti dan kesabaran yang tinggi.

Begitu juga yang dirasai pemilik rumah sewa, Nor Hanisah Abdullah, yang akhir-akhir ini tular dalam media sosial melalui tanda pagar (hashtag) #kemasrumahwithhani #hanideko2.

Menyewa kediaman rumah pangsa yang mempunyai keluasan 650 kaki persegi, tidak menghalang dia menghias rumah sebaik mungkin hanya dengan menggunakan bajet yang rendah.

Apatah lagi baginya, menata rias rumah merupakan terapi diri.

Menurutnya, rumah sewa yang didiami sejak 13 tahun lalu, merupakan rumah lama dan terdapat banyak kerosakan serta kesan comot pada setiap ruangan.

Dia memutuskan untuk membaik pulih dan mengecat semula agar selesa didiami bersama suami dan anak lelaki yang berusia empat tahun.

Tiada tema yang ditetapkan cuma perkara yang dititikberatkan oleh Hanisah ialah kebersihan.

"Bagi saya, tidak kisah rumah kecil asalkan bersih dan bijak menyusun atur.

"Lebih menarik, saya menata hias rumah ini kebanyakannya menggunakan barangan terpakai dan hiasan yang dibuat sendiri (DIY)," katanya.

Gara-gara kreativiti tersebut, pengikut di akuan Instagram Hanisah meningkat hingga mencecah lebih 28,000 apabila ramai tertarik dengan gambar-gambar yang dimuat naik.

Rata-rata warganet kagum dengan idea Hanisah mengubah rupa rumah pangsa dengan ruang terhad kepada kediaman yang nampak mewah dan menarik.

Wanita berkelulusan dalam bidang kejuruteraan kimia dan kini bekerja sebagai pegawai penyelidik di sebuah universiti awam, itu juga tidak lokek berkongsi idea-idea menarik tentang dekorasi, selain tip mengemas rumah.

Katanya, sengaja dia meletakkan perkongsian tanda pagar #kemasrumahwithhanin bagi memudahkan pengguna laman sosial mencari dan mengaplikasikan tip yang dikongsi.

Dekorasi minimalis jimat, tidak membebankan

Dalam menyusun atur hiasan rumah, Hanisah memberi tumpuan kepada tiga ruang utama, iaitu dapur, ruang tamu dan bilik air.

“Sejujurnya, saya lebih gemar memasak berbanding mengemas. Jadi, dapur tempat pertama saya beri tumpuan,

“Dekorasi dapur bermula dengan membeli perabot kos rendah, bekas-bekas kecil dan koleksi rak serba guna yang direka sendiri dengan berbekalkan modal milik suami,” katanya.

Menggunakan kertas dinding warna hijau pucuk pisang menimbulkan rasa sejuk mata memandang, dipadankan pula lantai tikar getah dan karpet melengkapkan lagi gaya santai.

Hanisah berkata, terdapat beberapa tip mudah untuk menyusun atur ruang kecil kelihatan lebih luas .

Antaranya, dengan penstoran, pemilihan saiz perabot yang sesuai dengan ruang dan pengkhususan tempat.

Jika tiada kabinet dapur, bakul kecil juga boleh dijadikan pengganti untuk menyimpan barang.

Di sudut tengah ruang dapur, dia meletakkan hiasan minimum, iaitu jam dinding DIY. Dia menyusun sudu plastik di kelilingnya untuk menampilkan keunikan.

Bagi pengurusan penstoran dalam peti sejuk pula, pengkhususan tempat, label, warna dan pemilihan bekas bersesuaian dengan jangka hayat dan ketahanan sesuatu makanan perlu diambil kira bagi menjamin kebersihan.

Dalam pada itu, Hanisah tidak menjangka dekorasi bagi ruang tamunya turut perhatian termasuk oleh tetamu yang datang ke rumahnya.

Menjadikan aplikasi Pinterest dan Facebook sebagai rujukan, dia menggunakan daya kreativiti dalam mencipta kelainan bagi setiap rekaan.

Lebih menarik, hanya sofa dan lampu sahaja yang dibeli di pasar raya terkemuka, selebihnya dibeli dari pusat pelupusan barang, manakala kebanyakan hiasan lain dihasilkan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan kos rendah.

Dia turut menghasilkan buku Home Binder sendiri sebagai rujukan mengemas rumah dan mencatat segala aktiviti harian, yang baginya dapat menjimatkan masa, di samping tidak terbeban dengan kerja mengemas dan menyusun atur rumah.