Atas sebab itu, Syazwani Mohamad Salleh, 28, sentiasa meletakkan batasan dalam memilih sahabat agar ruang privasinya tetap terpelihara.

Katanya yang merupakan bekas penyampai radio, seorang sahabat baik tidak semestinya kerap berjumpa sebaliknya sentiasa bersama dalam apa jua keadaan seperti sedih dan gembira.

SYAZWANI MOHAMAD SALLEH
SYAZWANI MOHAMAD SALLEH 

“Saya mengekalkan prinsip untuk membezakan persahabatan di pejabat dengan sahabat baik. Saya tidak akan bekerja dalam satu bangunan dengan sahabat baik bagi mengelakkan sebarang konflik.

“Sahabat yang baik dan setia tidak perlu sentiasa ‘berkepit’ atau ‘bergayut’ sepanjang masa, sebaliknya mereka sentiasa memahami gelodak masalah kita tanpa perlu diberitahu,” ujarnya.

Dia mendedahkan, pernah terlibat dengan isu persahabatan ‘kawan makan kawan’ membuatkan dia lebih berjaga-jaga dalam memilih sahabat.

“Pengalaman tersebut mengajar saya erti persahabatan. Saya sedikit pun tidak berdendam atau berniat membalas dendam pada mereka. Apa saya lakukan adalah sentiasa berbuat baik dan tersenyum kerana rakan yang memiliki sifat busuk seperti itu hanya mahu melihat kita jatuh,” jelasnya.

MAHU BUKA KEDAI DOBI

Syazwani yang kini bekerja sebagai Penerbit Digital dan Televisyen di sebuah syarikat televisyen swasta memiliki impian untuk membuka sebuah kedai dobi sebelum mencecah usia 30 tahun.

Tugasnya kini adalah bagi memastikan segala kandungan digital berjalan dengan lancar sama ada dari segi pemasaran untuk rancangan televisyen ke digital, kandungan asal digital dan hantaran dalam media sosial setiap hari.

“Tugas sebagai seorang Penerbit Digital dan Televisyen bukanlah mudah kerana memerlukan pemikiran yang kreatif dan peka dengan keadaan sekeliling. Tanggungjawab dipikul amat berat sehingga ada masanya perlu bekerja selama 23 jam sehari. Kerana itu saya bersiap sedia dengan perancangan untuk membuka sebuah perniagaan dobi,” ujarnya.

Menurutnya, pada permulaan kedai tersebut akan menjalankan perniagaan membasuh, mengering, menggosok dan melipat pakaian selain merancang memberi tambah nilai seperti membuat perkhidmatan mengambil serta menghantar pakaian.

“Menjadi seorang ahli perniagaan merupakan impian saya. Memandangkan waktu pekerjaan sekarang agak sibuk sehingga tiada masa untuk bersama keluarga, saya merancang membuka perniagaan itu bersama ahli keluarga pada Julai tahun ini.

“Perniagaan ini sebagai persediaan masa depan kerana tidak terlintas di fikiran untuk berada selama-lamanya dalam dunia seni. Lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita saya perlu memberi lebih tumpuan kepada keluarga,” katanya.