Sememangnya, bukan mudah mendapatkan umbut kelapa. Jenis sayur yang diperoleh dari pokok kelapa ini sangat jarang dijual di pasar.

Ini kerana, bagi mendapatkan umbut, sebatang pokok kelapa terpaksa ditebang kerana umbut yang hendak diambil berada pada bahagian pucuk paling muda.

Restoran, kedai makan dan gerai juga tidak ada hidangan ini kerana faktor kesukaran tersebut.

Bagaimanapun, negeri-negeri di utara masakan atau gulai umbut kelapa dan batang pisang menjadi antara sajian pilihan ketika kenduri kahwin.

Justeru, bagi mereka yang dapat menikmati hidangan umbut kelapa sudah tentu gembira dan puas kerana kesukaran mendapatkan umbut kelapa ini.

Rasanya yang manis berlemak sememangnya sedap dimasak apa sahaja seperti kerabu, masak lemak putih, masak lemak cili api atau acar berempah.

Jika ada yang teringin atau mengidam hendak makan hidangan umbut kelapa, boleh berkunjung ke HDN Deli Catering & Services (ChillX Cafe @Magic Cyberjaya).

Di sini anda dapat memenuhi selera yang sudah lama menginginkan hidangan yang biasanya dinikmati di kampung. Hidangan umbut kelapa di restoran ini dimasak kawah bersama-sama dengan daging tetel.

Menikmatinya, pasti membuatkan selera terbuka, sehingga tidak perlu lagi lauk-pauk lain, cukup dengan ulam-ulaman dicecah dengan sambal belacan yang pedas menyengat.

Menurut pengarahnya, Muhammad Daniel Amiruddin, 30, gulai kawah umbut kelapa menjadi pilihan utama kafe ini kerana mahu menghidangkan sesuatu yang berbeza dengan restoran lain.

Katanya, dia menyedari hidangan umbut kelapa sangat sukar diperoleh, tetapi masih ramai yang menggemari.

Jadi, setelah berbincang dengan dua orang lagi pengarah kafe ini, iaitu Mohd Hairulnizam Elias, 37, dan Norafizah Abd Jalal, 38, mereka bersetuju bagi menjadikan hidangan tersebut tarikan utama.

“Bagi mendapatkan umbut kelapa ini saya terpaksa menempah seminggu lebih awal daripada peniaga di pasar. Kalau tak tempah memang tak dapat.

"Harganya pun agak mahal, iaitu RM40 sebatang. Umbut kelapa ini dimasak gulai kawah oleh tukang masak, Che Normah Nayan, 58, yang berasal dari utara dan berpengalaman menjadi tukang masak selama 15 tahun.

“Dalam seminggu, kami menyediakan dua kali hidangan umbut kelapa ini. Pelanggan yang mengetahui mengenai hidangan ini biasanya akan datang semula. Kadang-kadang kami menyediakan juga hidangan umbut pisang.

“Harga bagi semangkuk hidangan umbut kelapa ialah RM5 untuk seorang makan,” katanya semasa ditemui di kafe tersebut di Cyberjaya baru-baru ini.

Selain umbut kelapa, kafe ini turut menyediakan pelbagai jenis hidangan lain seperti rendang tok, nasi utara, laksa Kedah, laksa Pulau Pinang, pelbagai masakan Melayu, Barat, India dan Cina.

Setiap hari akan ada menu berbeza dan terdapat sehingga 50 jenis hidangan.

Dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 7 pagi hingga 6 petang, kafe ini turut menerima tempahan bagi sebarang bentuk majlis seperti perkahwinan, hari jadi, mesyuarat, perpisahan dan sebagainya. Jika ingin membuat tempahan bolehlah e-mel ke [email protected]