Namun, bagi gadis manis berusia 24 tahun ini, Fhellagia Ferraldisha Fikd atau mesra disapa sebagai Fhelsha lebih gemar mendekatkan diri dengan kucing atau digelarnya Bulus untuk menghilangkan tekanan atau masalah dihadapi.

‘Membesar’ bersama kucing sejak kecil, ekoran ibunya yang juga pencinta haiwan membuatkan Fhelsha merasa akrab dan serasi dengan haiwan comel itu serta menjadikannya sebagai pencinta kucing sehingga kini.

Zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan bermain bersama puluhan kucing yang dikutip di jalanan dan dibawa pulang ke rumah untuk dirawat dan dibela kerana cintanya kepada haiwan berkenaan.

“Mungkin sifat kasihkan haiwan ini diwarisi daripada ibu kerana ibu pelihara begitu banyak kucing jalanan yang dikutip. Malah, kami sering pergi ke Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) atau ambil kucing daripada pemilik yang tidak mahu memelihara kucing lagi.

“Ditambah pula, sejak kecil saya memang membesar dengan kucing-kucing jalanan semasa tinggal di kampung. Namun, kini saya tidak lagi memelihara kucing dengan banyak kerana tinggal di perumahan kondominium,” katanya yang kini bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Tambahnya, kucing mempunyai aura positif dan memiliki sifat manja yang mencuit hati sehingga membuatkan dia berasa senang serta gembira apabila berada di sekeliling haiwan itu.

“Bagi saya kucing ni boleh buat saya hilang segala tekanan apabila bermain bersamanya dan sangat manja membuatkan kita rasa sayang kepadanya.

“Selain itu, kucing ini seperti ada satu sifat iaitu naluri bila kita rapat dengannya. Contohnya, bila rasa sedih saya dapat rasakan ia tahu saya sedang sedih dan ia memahaminya,” jelasnya.

Di samping itu, gadis cantik ini juga tidak lokek untuk membelanjakan ratusan ringgit setiap bulan untuk makanan dan perawatan kucing-kucing kesayangannya.

Peruntukan sebulan untuk makanan untuk kucing dianggarkan mencecah sehingga RM200 setiap bulan termasuk makanan tambahan yang dibeli untuk memberikan penjagaan kesihatan optimum kepada kucing kesayangannya itu.

Malah, dia turut memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli makanan kucing dan diletakkan dalam beg tangannya untuk diberi kepada kucing jalanan yang ditemuinya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau di mana-mana sahaja setiap hari.

Baginya, dia gembira untuk berkongsi rezeki bersama si Bulus kerana dia yakin berbuat baik kepada binatang tidak kiralah sama ada yang dipelihara atau terbiar di jalanan akan mendapat ganjaran pahala.