Justeru, krisis yang berlaku di Syria dengan pelbagai kemusnahan dan kematian yang berlaku setiap hari sudah semestinya menjentik naluri simpati seorang insan yang bergelar manusia.

Walaupun berlaku jauh dari sempadan negara, namun kecanggihan teknologi maklumat membuatkan kisah-kisah itu dapat ditatap setiap hari menerusi laman sosial. Ada kisah yang menjadi tular sehingga mengundang kesedihan netizen.

Mengambil iktibar untuk membantu rakyat Syria yang memerlukan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Briged Negaraku nekad meringankan beban mereka dengan menyampaikan misi bantuan ke negara itu.

Menurut Presidennya, Khairul Nizam Mohd. Sopery, satu misi kemanusiaan ke Syria telah diadakan pada tahun lalu bagi membantu golongan yang memerlukan di negara terbabit.

“Program misi kemanusiaan yang diadakan di Syria selama lima hari mendapat kerjasama NGO di sana, Humanitarian Relief Foundation (IHH).

Misi yang diadakan adalah untuk menyalurkan bantuan makanan, barang keperluan dan perubatan kepada penduduk yang memerlukan.

“Seramai empat orang sukarelawan yang terdiri daripada golongan profesional seperti doktor dan pendidik telah dihantar ke sana untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam memberitahu bahawa tujuan utama program itu dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai krisis yang berlaku di negara berkenaan.

“Isu peperangan dan kemusnahan yang berlaku di sana bukan bermusim seperti yang selalu dikongsi dalam laman sosial, sebaliknya berlaku sepanjang masa.

“Oleh itu, selain menyalurkan bantuan secara terus kepada mereka, kami juga ingin menyedarkan masyarakat negara kita mengenai isu ini secara berterusan,” katanya.

Sepanjang lima hari berada di sana, Briged Negaraku yang terdiri daripada empat ahli termasuk kumpulan perubatan membantu merawat dan menyalurkan bekalan makanan kepada penduduk.

“Dana yang kami peroleh daripada sumbangan rakyat Malaysia ini dianggap sebagai satu amanah dan bantuan makanan dan barangan keperluan telah disalurkan di sana.

“Kami juga menjalankan aktiviti dengan kanak-kanak iaitu menghiburkan mereka, selain memberikan rawatan kepada yang memerlukan,” katanya.

Bina hospital rehabilitasi

Sepanjang lima hari berada di Kem pelarian Syria, Briged Negaraku melakukan tinjauan mengenai perkara yang paling diperlukan penduduk. Hasil tinjauan mendapati penduduk memerlukan sebuah pusat rehabilitasi.

“Jadi, pihak kami memu­tuskan bahawa sebuah pusat rehabilitasi perlu dibina di sana,” kata Khairul Nizam.

Menurutnya, tinjauan juga mendapati jumlah pesakit di sana terlampau ramai sama ada kanak-kanak dan golongan wanita sehinggakan pihak hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai itu.

Khairul Nizam berkata, pesakit dibenarkan mendapat rawatan di sebuah hospital yang terletak di sempadan Turki, namun selepas mendapatkan rawatan, mereka perlu pulang kerana kekurangan tempat untuk pesakit ditempatkan di dalam wad.

“Kami lihat sebuah pusat rehabilitasi boleh dibuka di sebuah rumah banglo dua tingkat yang sudah usang, tetapi boleh dibaik pulih untuk menempatkan pesakit sehingga sembuh sepenuhnya.

“Kami sedar bahawa perkara yang paling diperlukan adalah sebuah pusat rehabilitasi yang selesa bagi menempatkan pesakit yang sudah menjalani rawatan, tetapi belum sembuh sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM100,000 diperlukan bagi membaik pulih rumah usang tersebut dan apabila siap kelak akan dilengkapi dengan beberapa peralatan perubatan dan barang keperluan yang sesuai.

“Pusat ini juga akan dijadikan pusat sehenti bagi kumpulan sukarelawan yang tiba untuk membantu golongan yang memerlukan di sana sekali gus meneruskan kesinambungan bantuan yang disalurkan.

“Oleh itu, kami telah menganjurkan pelba­gai aktiviti amal untuk mengutip dana supaya proses pembukaan pusat tersebut dapat dilakukan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Selain itu, program amal seperti pemeriksaan kesihatan percuma dan program berkhatan beramai-ramai turut diadakan bagi mengutip dana.

“Menerusi program amal seperti ini, kami mengambil kesempatan untuk mengedarkan tabung bantuan bagi mengutip sumbangan daripada orang ramai khusus untuk penduduk Syria,” katanya.